Nasi Campur ala Nasi Kandar di Uncle Chen Gulai House, Kota Kuala Muda

Sepinggan nasi campur di Uncle Chen Gulai House
Dah banyak kali penulis tekankan, nak makan nasi kandar yang sedap dah tak perlu ke Pulau Pinang. Permintaan terhadap nasi kandar semakin meningkat, jadi semakin banyak kedai nasi kandar mula dibuka.

Sampaikan ada juga kedai makan yang menyediakan nasi campur, tapi lauk, penyediaan dan rasanya seakan-akan nasi kandar. Bergantung pada pilihan lauk, boleh jadi nasi campur ataupun nasi kandar.

UNCLE CHEN GULAI HOUSE

Restoran Uncle Chen Gulai House
Contohnya di restoran Uncle Chen Gulai House yang terletak di Kota Kuala Muda, Kedah. Bagi penulis restoran ni, dengan pilihan lauk yang ada; bagaikan jambatan yang menghubungkan antara nasi campur dan nasi kandar.


Alamat: Jalan Kampung Tepi Sungai - Pulau Sayak, 08500 Kota Kuala Muda, Kedah.
Waktu: Sabtu - Khamis (8am - 3pm).

Terletak dalam 6 kilometer dari pekan Kota Kuala Muda, restoran ni dibuka di sebuah lorong yang menghubungkan antara Pasar Bisik dan Pulau Sayak. Memandangkan ini bukan jalan utama, boleh dikatakan restoran ni agak tersorok daripada orang luar.

Semangkuk kepala ikan jenahak
Ni bukan pertama kali penulis makan 'nasi kandar' yang sedap di Kedah, sebelum ni penulis dah pernah makan di Restoran Nasi Kandar D'Cenerai. Bezanya, pada nama restoran kali ni tak ada "Nasi Kandar".

NASI CAMPUR TETAPI NASI KANDAR

Lauk pauk di Uncle Chen Gulai House
Sebaik saja beratur di kaunter lauk, yang pertama sekali penulis terpandang ialah ayam goreng bawang dan ayam goreng. Seingat penulis belum pernah lagi jumpa ayam bawang di restoran nasi campur — selalunya ayam masak kicap.

Walaupun asalnya rambang mata dengan pilihan lauk yang ada, bila tukang ceduk lauk tanya "kuah campur?" penulis dah tahu dah nak pesan apa. Jadi apa lagi, penulis pun pesanlah nasi putih kuah campur bersama ayam bawang.

Nasi lauk ayam bawang dan sayur bendi
Kali ni penulis makan dengan sayur bendi, bukannya kubis. Disamping tu, ada juga sambal kelapa macam di kedai nasi ganja atau nasi kandar ayam merah di Ipoh. Penulis memang syorkan sangat untuk cuba sambal kelapa kalau ada.

Lauk pauk di Uncle Chen Gulai House
Ada juga lauk-lauk lain yang jarang atau tak pernah dimakan atau dihidang bersama nasi kandar, antaranya kerabu perut, ikan masin, pekasam, sambal petai, pari air asam, ikan bakar, sambal belacan dan ulam-ulaman.

GULAI KARI REMPAH GILING

Nasi campur dan ulam tersusun di atas meja
Penulis percaya gulai kari di sini dimasak menggunakan rempah giling — sama macam di restoran Hameediyah — bukannya serbuk kari berjenama yang siap dipek seperti Adabi, Babas atau Alagappas.

Karinya tak ceroi, rasanya pula kuat dan tak terlalu masam. Kalau nak lebih enjoy makan gulai kari di sini, wajib order kepala ikan. Untuk kepala ikan, antara pilihan yang ada ialah jenahak, merah, bawal dan nyiur putih.

Gulai rempah giling kari kepala ikan
Kari kepala ikan akan disiapkan sebaik sahaja pesanan dibuat sebelum ia dihantar ke meja. Mudah nak tambah kari dan bendi ke nasi kalau ada semangkuk kari kepala ikan.

LAI CHI KANG

Semangkuk laicikang
Untuk basahkan tekak, boleh cuba lai chi kang. Antara bahan yang ada ialah laici, longan, nata de coco, kacang, selasih, longan, kurma cina, cincau, dan mungkin juga halwa kundur.

Bahan disusun elok, cara persembahannya pula mengingatkan penulis kepada pencuci mulut — bukan lai chi kang — di restoran Dolly Dim Sum.

NASI CAMPUR ATAU NASI KANDAR?

Nasi campur ala nasi kandar
Bergantung pada pilihan lauk, boleh jadi nasi campur ataupun nasi kandar. Macam yang penulis pesan tadi, lebih kepada nasi kandar. Tapi kalau korang makan nasi dengan ikan goreng dan sambal belacan, nasi campur lah tu.

Sejujurnya, kalau penulis tinggal dekat dengan restoran ni dah tak perlu ke kedai mamak untuk makan nasi kandar. Harganya pun berpatutan, sesuai dengan lokasinya yang jauh dari bandar.

Nasi lauk ikan sembilang goreng
Penulis tak pasti harga setiap lauk berapa, tetapi untuk empat orang makan termasuk laicikang, kari kepala ikan jenahak dan dua ekor gulai sembilang yang dibungkus, harganya cuma dalam RM60.

Selepas ni, kalau ada yang ke Pasar Bisik, Pulau Sayak ataupun Pantai Merdeka, bolehlah cari dan singgah ke Uncle Chen Gulai House. Cuma, kita takkan dapat pemandangan pantai dari sini walaupun jaraknya hanya 200 meter dari laut.

Pilihan sayur dan ulam
Selepas makan, bolehlah bergambar di Memorial Tsunami dan tengok sisa rumah atau puing yang ditinggalkan selepas bencana tsunami 26 Disember 2004 dulu di Galeri Tsunami — dalam 2 kilometer dari Uncle Chen Gulai House.

azizinet00 | Hari3aku

Post a Comment

To Top