Menu Dim Sum yang Sedap dan Wajib Cuba di Dolly Dim Sum

Cheong fun, kaki ayam dan har gao
Penulis percaya bukan penulis je pernah silap fikir yang dim sum dan shumai tu benda yang sama. Sebenarnya shumai, yang kita pernah nampak orang jual di gerai-gerai tepi jalan tu; hanyalah sejenis daripada banyak jenis dim sum.

Kalau pernah baca blog penulis waktu ke Dim Sum Valet di George Town, mesti tahu yang dim sum ni ada pelbagai jenis. Ada yang dikukus macam shumai dan har gow, ada juga yang digoreng macam fu pei guen dan wantan.

Dolly Dim Sum

Restoran Dolly Dim Sum
Untuk Dim Sum yang best di Selangor, boleh ke restoran Dolly Dim Sum — antara restoran dim sum terbaik di sekitar Lembah Kelang. Buat masa ni, Dolly Dim Sum cuma ada 10 cawangan di sekitar Lembah Klang dan 1 di Kuantan.

Cawangan Dolly Dim Sum
Avenue K NU Sentral
Pavillion Kuala Lumpur Sunway Putra Mall
IOI City Mall Sunway Pyramid
The Curve KL East
Setia City Mall Aeon Shah Alam
East Coast Mall

Bagi penulis, cawangan Dolly Dim Sum yang penulis pergi di Setia City Mall memang teratur dan selesa. Meja makannya banyak tapi tak terlalu sempit, pencahayaannya pun baik.

Salah sebuah tempat makan di Dolly Dim Sum
Selesai duduk di meja, menu dan kertas akan diberikan untuk kita membuat pesanan. Dalam kertas pesanan pun ada siap tulis harga makanan jadi bolehlah kira siap-siap waktu nak buat pesanan tu.

Menu Dolly Dim Sum

Buku menu Dolly Dim Sum
Menu di Dolly Dim Sum tak terhad kepada dim sum je, ada juga nasi goreng, kuetiau goreng, bubur ayam bersama telur masin, cheong fun, teh cina, dan pencuci mulut. Boleh ke sini untuk menu penuh.

Penulis tak pesan shumai, bukan sebab tak suka tapi sebab nak cuba makanan lain. Lagipun untuk restoran yang berkualiti macam ni, harganya pun lebih premium. Bila nak buat pesanan, akan fikir dua tiga kali.

Cheong fun udang dan ayam, kaki ayam, dan ladu udang
Jadi, penulis cuba crispy shrimp cheong fun, BBQ chicken cheong fun, salted egg & chicken congee, yam croquette, har gao, steamed chicken wing, spicy chicken feet dan iced sea coconut surprise.

Crispy Shrimp Cheong Fun

Crispy shrimp cheong fun
Cheong fun udang rangup ni memang antara menu wajib pesan setiap kali penulis ke Dolly Dim Sum. Bahagian luarnya cheong fun yang lembut, dalamnya pula ada satu lapisan rangup yang penulis tak pasti apa — mungkin fucuk goreng.

Intinya udang bersama sengkuang, di atasnya pula diletakkan serunding ayam, sedikit hirisan cili dan daun bawang. Bahagian bawahnya pula dibasahkan dengan kicap cair yang boleh dijadikan sebagai pencecah.

BBQ Chicken Cheong Fun

Cheong fun BBQ ayam bersama sayur dan sambal
Untuk yang tak berapa suka udang, boleh cuba cheong fun ayam barbeku. Isi ayam yang digunakan rasa macam ayam honey BBQ yang kita makan dengan nasi ayam di medan selera atau TCRS.

Beza dengan cheong fun udang tadi, cheong fun ayam datang dengan sayur - penulis percaya pakchoy - dan sambal. Rasa sambalnya tak pedas dan ada sedikit rasa udang kering.

Yam Croquette

Begedil keladi dan bubur
Bahasa mudahnya, begedil keladi. Bahagian luarnya yang rapuh kelihatan seperti sarang burung, rasa lembut pada gigitannya hampir sama macam begedil kentang yang kita biasa makan.

Bahagian dalam yam croquette
Bezanya, inti di lapisan dalamnya tak digaul sekali bersama keladinya yang dijadikan lapisan luar. Kalau dipotong, kita akan nampak cendawan, kacang pis dan isi yang penulis tak pasti sama ada ayam atau daging.

Salted Egg & Chicken Congee

Bubur ayam bersama telur masin
Dari segi bahan, sama je dengan bubur di kebanyakan tempat lain — ayam, telur masin, halia, daun bawang dan minyak bijan. Cuma perasanya cukup, tak tawar, dan buburnya lebih likat — mungkin kesan daripada jenis beras yang digunakan.

Kalau nak sedikit kelainan, boleh pesan bubur ayam dengan century egg. Bagi penulis; tak jauh beza rasanya dengan telur masin, cuma teksturnya sedikit kenyal.

Steamed Chicken Wing

Kepak ayam yang dikukus
Daripada kesemua menu yang dipesan, yang ni sampai paling lewat. Boleh jadi menu ni cuma akan mula disediakan bila ada pesanan je, sebab sebelum ni pun sama lewat juga.

Nampak bersahaja, tapi ada rasa yang agak dominan — tak pasti halia atau bawang putih. Kuah di bawahnya jangan dibuang, disitulah terkumpulnya perasa dan perapan apabila dikukus — boleh dihirup macam sup.

Spicy Chicken Feet

Kaki ayam kukus berempah
Namanya spicy tapi taklah pedas. Perapan yang digunakan, daripada rasanya; bukan cili atau gochujang. Ada rasa seperti rempah "five-spice", tapi penulis masih tak dapat huraikan rasa sebenarnya macam mana.

Kaki ayamnya lembut dan mudah dimakan. Daripada apa yang penulis nampak, kaki ayam dikukus sehingga kembang jadi isinya tak melekat pada tulang. Cuma penulis tak nampak buah goji seperti yang tertulis pada menu.

Har Gao

Har gaw atau ladu inti udang
Sejenis ladu atau dumpling berintikan udang. Penggemar udang bolehlah cuba har gao, rasanya lebih ringkas dan klasik. Boleh dimakan bersama dua jenis sos yang disediakan, ataupun cicah dengan kicap cair dari cheong fun tadi.

Iced Sea Coconut Surprise

Minuman kelapa laut sejuk bersama laici dan limau
Nampak macam laicikang sebab warnanya yang gelap dan disediakan bersama laici dan ais ketul. Tapi, walaupun manis rasanya juga sedikit masam seakan-akan limau atau lemon.

Selain laici, dalamnya juga diletakkan isi kelapa laut. Di atasnya diletakkan sepotong limau, boleh diperah untuk rasa yang lebih masam. Bagi penulis, lebih sedap berbanding laicikang.

Piring, tisu dan chopstik
Kalau nak jimat, boleh pesan air filter. Tapi, alang-alang dah ke sini penulis rasa lebih baik cuba salah satu daripada sepuluh jenis teh cina yang ada. Sebelum ni pernah cuba pu'er, tehnya dihidang menggunakan teko dan harga dicaj mengikut kepala.

Kualiti dan Kepuasan

Cheong fun udang rangup dan kaki ayam kukus berempah
Macam yang penulis cakap tadi, harga di sini lebih premium. Tapi harganya yang premium datang dengan standard yang tinggi juga. Tempat makan sentiasa dibersihkan, rasa makanannya juga cukup.

Menu Harga
Har Gao RM11.50
Steamed Chicken Wings RM9.50
Spicy Chicken Feet RM11.50
Yam Croquette RM9.80
BBQ Chicken Cheong Fun RM11.20
Crispy Shrimp Cheong Fun RM14.80
Salted Egg & Chicken Congee RM11.50
Iced Sea Coconut Surprise RM8.90
Filtered Water RM1.20

Kualiti makanannya konsisten, setiap kali ke sini dan pesan menu yang sama rasanya akan 99% sama melainkan resepinya ditukar. Jadi kita akan dapat apa yang kita pesan.

Pelanggan sedang menjamah sesudu air kelapa laut
Untuk makanan yang berharga premium macam ni, tahap kepuasan pelanggan sangat penting untuk dijaga. Kalau ada yang tak berpuas hati, pelanggan setia mungkin akan cari cawangan lain, tapi pelanggan yang baru nak mencuba akan cari restoran lain.

Ikutkan hati banyak lagi menu lain nak cuba antaranya loh mai gai, salad prawn dumpling, Dolly mozza roll dan wok fried beef kway teow. Lain kali lah pula.

azizinet00 | Hari3aku

Post a Comment

To Top