Ceiling atau Selling? Perbezaan Harga Siling, Harga Lantai, dan Harga Jualan.

Baru ni tular tentang pengguna Twitter yang menegur ejaan "ceiling" pada ciapan Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkenaan dengan tetapan harga baharu bagi kit ujian kendiri Covid-19.

Disebabkan ciapan tersebut ditulis dalam bahasa inggeris, ada pengguna yang menegur bahawa ejaan "ceiling" seharusnya ditulis sebagai "selling". Mungkin penegur tersebut fikir ejaan itu disebabkan oleh "autocorrect" atau typo yang tidak disengajakan.

Baca juga:
Harga Siling Ayam Ditetapkan Pada RM9.40 Sekilogram Bermula 1 Julai 2022

Ceiling dan Selling Berbeza

Sebenarnya, ceiling dan selling adalah dua perkataan yang membawa makna berbeza dalam memberi penerangan tentang satu perkara yang sama, contohnya dalam hal ni ialah harga jualan.

Ceiling price, bahasa melayunya harga siling; merujuk kepada harga tertinggi yang boleh diletakkan untuk sebuah jualan. Selling price pula hanyalah bermakna harga jualan.

Harga Siling ialah Harga Tertinggi

Meletakkan harga siling pada RM19.90 bermakna harga jualan boleh diletakkan lebih rendah, tetapi tidak lebih tinggi dari RM19.90. Meletakkan harga jualan pada RM19.90 pula bermakna harga jualan tidak boleh lebih rendah atau lebih tinggi daripada RM19.90.

Lawan bagi harga siling ialah harga lantai (floor price). Harga lantai ialah harga minima jualan. Contohnya, meletakkan harga lantai pada RM10 bermakna harga jualan boleh sama atau melebihi, tetapi tidak kurang dari RM10.

Apa Pula MSRP?

Selain daripada harga siling dan lantai, ada juga istilah-istilah lain seperti MSRP, RRP, atau harga runcit yang disyorkan. Harga-harga ini selalunya akan ditetapkan oleh pengilang atau pembekal.

Berbeza dengan harga siling atau lantai, MSRP (Manufacturer's Suggested Retail Price), RRP (Recommended Retail Price), atau harga runcit yang disyorkan membolehkan penjual menjual pada harga yang lebih rendah atau tinggi.

Tujuan MSRP adalah sebagai panduan harga jualan bagi memastikan persaingan yang lebih sihat. Penjual yang meletakkan harga yang terlalu rendah berbanding MSRP boleh dinafikan hak untuk dibekalkan barang jualan oleh pembekal atau pengilang.

Jadi, dari ciapan tadi memang jelaslah tidak ada sebarang kesalahan atau typo pada ejaan "ceiling" seperti yang ditegur seorang pengguna Twitter.

azizinet00 | Hari3aku

Post a Comment

To Top