Harga Siling Ayam Ditetapkan Pada RM9.40 Sekilogram Bermula 1 Julai 2022

Sebarang masalah pada rantaian bekalan, baik dari segi peningkatan harga atau kekurangan bekalan; akan memberikan impak terhadap harga barang yang dijual kepada pengguna.

Akibat daripada kenaikan harga soya dan jagung yang menjadi sumber utama makanan ayam, dan mewakili 70% daripada kos ternakan ayam; kenaikan harga ayam memang sukar untuk dielakkan.

TL;DR — Harga siling baharu bagi ayam berkuatkuasa 1 Julai 2022 ialah RM9.40 sekilogram. Harga siling runcit telur ayam gred A,B, dan C pula masing-masing 45, 43, dan 41 sen sebiji.

Harga ayam pernah naik ke paras melebihi RM9 pada tahun 2021 ketika perayaan Deepavali, sehinggalah harga siling ayam RM8.90 sekilogram mula ditetapkan pada Februari 2022.

Namun, ini masih tak dapat menghalang kebanyakan peniaga daripada mencari kelemahan pada undang-undang untuk menjual lebih mahal dari harga tersebut dengan memperkenalkan caj perkhidmatan.

Subsidi dan Penghentian Eksport

Pelbagai langkah juga telah diambil untuk memastikan bekalan dan harga ayam dapat dikawal, seperti memperkenalkan subsidi, dan mengambil langkah menghentikan eksport bekalan ayam, khususnya ayam pedaging; ke negara Singapura.

Senang cerita, subsidi 60 sen sekilogram ayam yang diberikan sejak Februari gagal mengelakkan kenaikan harga ayam, negara juga perlu menampung lebih 700 juta ringgit hanya untuk melihat harga ayam semakin naik.

Penarikan Subsidi Ayam dan Minyak Masak

Oleh itu, kerajaan telah membuat keputusan untuk memberhentikan subsidi dan mengapungkan harga ayam bermula 1 Julai. Ini diikuti dengan pengumuman penarikan subsidi, yang bermula ketika pandemik Covid-19; bagi minyak masak "berbotol" 1 kg, 2 kg, 3 kg, dan 5 kg.

Tanpa subsidi, harga minyak masak pada waktu artikel ini ditulis adalah sekitar RM9 sekilogram. Kiranya, bermula Julai; harga minyak masak 5kg bukan lagi RM29.70 tetapi sekitar RM45 sekilogram — peningkatan melebihi 40%.

Walaupun demikian, subsidi bagi minyak masak paket yang dijual pada harga RM2.50 sekilogram dikekalkan, dan bayaran tambahan BKM, antara RM50 ke RM100 mengikut kategori; akan diberikan.

Harga Siling Ayam Baharu Diperkenalkan

Namun, kerajaan telah menarik balik keputusan untuk mengapungkan harga ayam. Sebaliknya subsidi ayam akan diteruskan, dan harga siling baharu yang akan berkuatkuasa bermula 1 Julai 2022 telah diperkenalkan.

Bermula Julai 2022, harga siling ayam standard telah ditetapkan pada harga RM9.40 sekilogram. Ini diikuti dengan harga siling runcit telur ayam gred A, B, dan C di semenanjung Malaysia, masing-masing ditetapkan pada harga 45 sen, 43 sen, dan 41 sen sebiji.

Secara total, kerajaan telah mengeluarkan peruntukan tambahan sebanyak 1 bilion untuk pembayaran tambahan BKM, dan mengekalkan subsidi ayam dan telur.

Kenaikan Tak Dapat Dielakkan

Walaupun subsidi diperkenalkan, kenaikan harga barang, khususnya makanan; tak mungkin dapat dielakkan. Tambah pula subsidi minyak masak berbotol dihentikan, dan pembelian minyak masak paket hanya untuk kegunaan isi rumah.

Baru semalam penulis beli ayam dengan harga RM10.70 sekilogram (RM8.90 + RM1.80 caj perkhidmatan sekilogram). Kita akan tengok sama ada penjual akan turunkan atau kekalkan caj perkhidmatan ayam.

RM100 tambahan yang diberikan cuma boleh menampung kenaikan sebanyak 6 botol minyak masak 5 kg (RM15 sebotol). Lebih ramai perlu belajar gunakan air fryer selepas ni — mungkin ada baiknya juga memperkenalkan bantuan untuk pembelian air fryer.

azizinet00 | Hari3aku

Post a Comment

To Top