Pelbagai Makanan Timur Tengah di Restoran Damascus Bukit Bintang, Kuala Lumpur

Sepinggan nasi mandi bersama kambing di Damascus Bukit Bintang
Titik permulaan penulis dengan makanan timur tengah yang penulis masih ingat sampai sekarang, mungkin sebab dah beberapa kali singgah setiap kali pulang daripada bercuti di melaka; adalah di Restoran Damsyik Empire di Senawang. Pada waktu tu namanya Nasi Arab Damsyik, diambil sempena nama kota Damsyik di Syria yang dikenali sebagai Damascus dalam bahasa inggeris.

Bercerita tentang Damascus pula, ada satu restoran nasi arab dengan nama sedemikian yang agak terkenal dalam beberapa tahun kebelakangan ni di Bukit Bintang, Kuala Lumpur. Pada permulaannya hanyalah sebuah kiosk yang terkenal dengan shawarma, sekarang dah berkembang menjadi restoran empat tingkat (atau lima?) berlif yang menyediakan pelbagai jenis makanan timur tengah yang ada diantaranya penulis belum pernah cuba di tempat lain.

Pelanggan di luar restoran Damascus Bukit Bintang dengan payung untuk berteduh daripada cuaca yang panas
Kalau datang pada hujung minggu atau musim cuti, memang ramai terutamanya bermula tengah hari. Tak pelik kalau kena beratur sehingga setengah jam untuk dapatkan meja. Ada masanya barisan terlalu panjang sampaikan perlu beratur di kawasan yang tak berbumbung, tapi jangan risau sebab restoran Damascus sediakan payung yang boleh digunakan ketika matahari sedang terik.

Lapisan daging shawarma yang tinggi dan besar di restoran Damascus
Ada beberapa cara untuk ke sini, kalau datang dengan kereta penulis akan letakkan kereta di Sungei Wang. Bagi penulis lebih mudah kalau datang dengan MRT sebab stesennya cuma bersebelahan dengan Damascus Bukit Bintang, terutamanya pada waktu sibuk walaupun perlu berhimpit sedikit di dalam gerabak pada waktu balik. Lagipun dengan MRT penulis boleh lajak sedikit ke stesen seterusnya untuk singgah di TRX Mall.

Keadaan restoran terang, toiletnya bersih, dan tempat makannya pun sejuk, selesa, dan sesuai untuk kumpulan yang ramai. Surau di sini agak luas dan bersih, tempat mengambil wuduk juga disediakan di dalam surau. Termasuk kali ni, dah tiga kali penulis ke Damascus Bukit Bintang sejak siap diubah suai, belum pernah ada masalah dengan tempat makan, dan paling ramai penulis pernah bawa ke sini ialah 10 orang, 7 dewasa dan 3 kanak-kanak.

Menu di Damascus Bukit Bintang tak terhad kepada shawarma, nasi arab, dan kebab. Ada juga pembuka selera dan menu ala sarapan yang penulis tak dapat di tempat lain seperti cheesy samosa dan telur hancur bersama kambing kisar. Ada juga mixed grill yang datang bersama kepak ayam, lamb chop, dan udang bakar selain daripada kebab atau tawook.

Nasi arab kabsa dengan ayam
Untuk nasi sahaja ada pilihan antara mandi, maqluba, kabsa, dan beriani. Nak sedikit kelainan boleh cuba makanan dari Maghribi seperti tajine. Kalau datang dalam 10 orang, boleh pesan satu untuk setiap jenis. Setiap satu pesanan nasi boleh dimakan dua ke tiga orang, lagipun kita ke Damascus bukit bintang bukanlah semata-mata untuk makan nasi.

Boleh juga cuba makanan seakan-akan piza dari Turkiye seperti pide (IPA: /pɪdɛ/). Yang ni kanak-kanak memang suka mungkin sebab kejunya banyak, silap-silap tak cukup satu. Sama juga dengan cheesy samosa, kejunya banyak, tak pedas, dan menjadi kegemaran kanak-kanak. Di timur tengah samosa ni dipanggil sebagai Sambousek bil Jibneh dan bentuknya sama ada seperti samosa ataupun karipap. Di Damascus Bukit Bintang khususnya ia berbentuk samosa dan diperbuat menggunakan mozzarella, feta, dan krim keju.

Nasi maqluba bersama kambing dihidang bersama yogurt
Seingat penulis, nasi arab mandi dan kabsa dihidang bersama salsa atau salata hara, manakala maqluba pula dihidang bersama yogurt dan mungkin juga sos bawang putih atau toum. Terus terang penulis tak tahu pesanan menu yang mana satu datang dengan sos bawang putih sebab banyak sangat makanan yang dipesan baru ni. Ketiga-tiga jenis nasi arab ada rasanya yang tersendiri yang penulis tak dapat nak terangkan secara terperinci. Ringkasnya, mandi lebih manis, kabsa lebih berempah, dan maqluba ada sayur seperti terung dan lobak.

Kalau korang sukakan roti, selain daripada shawarma boleh juga pesan hummus. Untuk setiap satu pesanan hummus akan diberikan beberapa keping roti untuk dimakan bersama, confirm akan kenyang. Hummus pun ada beberapa pilihan, kalau nak lebih kenyang boleh pilih antara hummus bersama hirisan shawarma (ayam, daging, atau campuran kedua-duanya) ataupun kambing kisar.

Hidangan semua dalam satu, Damascus mixed grill
Nak lebih adventurous boleh pesan Damascus mixed grill. Macam-macam ada pada hidangan ni, antaranya kebab kambing dan ayam, potongan daging kambing, kepak ayam, udang, lamb chop, dan roti yang diintikan dengan daging kisar atau sesuatu yang seakan-akan pes tomato. Lamb chop di sini menggunakan bahagian rusuk (ribs) dan bukannya bahu (shoulder). Kalau cuma pesan mixed grill yang biasa, tak ada kepak ayam, udang, dan lamb chop.

 Pistachio berperisa kunafa tanpa aiskrim
Dah selesai makan makanan yang berat boleh akhiri dengan pencuci mulut seperti kunafa keju. Pada menunya ada enam jenis, lima daripadanya berperisa cokelat, pistachio, lotus (biscoff?), pistachio coklat, dan nutella. Penulis cuba kunafa berperisa pistachio, dapatlah penulis rasa dalam sesudu dua, dan rasanya tak terlalu manis dan rangup. Nak lebih manis dan berlemak boleh tambah aiskrim. Untuk potong sedikit rasa manis, boleh gandingkan kunafa dengan air teh.

Menu Harga
(4pc) Cheesy Samosa (x2) RM35.80
Hummus Lamb RM18.90
Egg & Lamb RM22.90
Maklouba Lamb RM42.90
Mandi Lamb RM42.90
Kabsa Chicken Regular RM27.90
Damascus Mix Grill RM69.90
Large Beef Arabi Plate RM37.90
Pepperoni Pide Beef RM15.90
Pistachio Kunafa RM22.90
Herbal Damascus Tea (x2) RM25.80
Soft Drink (x4) RM27.60
Barbican RM10.90
Orange & Apple (S) RM16.90
Mineral Water (x2) RM9.80
Beef Sandwich (L) (x2) RM32.80
Subtotal RM477.70
Service Charge (10%) RM47.77
SST (6%) RM28.63
TOTAL RM554.10
Harga menu di Damascus Bukit Bintang pada 30 Ogos 2026.

Sebelum ni penulis diberikan buku menu, tapi baru ni penulis perlu imbas QR untuk lihat menu. Dah selesai tengok menu boleh panggil pelayan atau staf di Damascus Bukit Bintang untuk membuat pesanan seperti biasa. Terus terang penulis lebih sukakan menu secara fizikal, namun tak ada masalahnya dengan menu digital yang lebih memudahkan restoran untuk membuat pengemaskinian pada harga dan ketersediaan makanan.

Harga makanan di sini dah tentulah tak sama macam di tempat lain, tambah pula ia terletak di tengah-tengah Bukit Bintang hanya berapa ratus meter dari Pavillion. Tapi kalau nak dibandingkan dengan restoran timur tengah lain di kawasan yang sama mungkin lebih murah di sini. Boleh sediakan bajet sebanyak RM50 seorang sebelum datang ke sini walaupun pada asalnya berniat hanya untuk datang makan nasi arab yang boleh dikongsi dua. Risaunya apabila dah tengok menu lain pula jadi ceritanya.

Memang puas hati dengan pilihan yang ada di sini walaupun harganya sedikit mahal berbanding di tempat lain. Sebelum ni, penulis dah cuba beberapa menu lain seperti butter chicken, lamb shank, tajine ayam, dan salad timun yogurt. Sehingga ke sekarang pun masih ada beberapa menu yang penulis masih belum cuba antaranya baba ghanoush, kebbeh, falafel, shakshuka, dan pide za'atar.

Post a Comment

To Top