Perbezaan antara Mahasiswa, Mahasiswi, Graduan, Siswazah, Pascasiswazah, Doktor dan Pascakedoktoran

Sebagai seorang penuntut universiti, kita mesti pernah dengar perkataan seperti mahasiswa, mahasiswi,  graduan, dan siswazah bukan? Tetapi, pernah ke kita tahu apa beza antara perkataan-perkataan tadi?

Jadi apa perbezaan perkataan-perkataan tadi? Dan bila pula masa yang sesuai untuk menggunakan perkataan-perkataan tersebut? Siapa yang kita gelar sebagai mahasiswa atau mahasiswi? Siapa pula Graduan? Dan siapa pula Siswazah?


Mahasiswa/Mahasiswi

Mahasiswa, atau siswa merujuk kepada mereka yang sedang menuntut di universiti. Perkataan mahasiswa digunakan untuk merujuk kepada penuntut universiti tidak kira lelaki atau wanita. Manakala mahasiswi, atau siswi pula merujuk kepada penuntut wanita yang sedang menuntut di universiti. Lebih tepat lagi ia merujuk kepada penuntut yang sedang mengambil ijazah sarjana muda (Degree).

Terjemahan mahasiswa atau mahasiswi dalam bahasa Inggeris ialah "undergraduate".


Graduan

Mungkin ada yang fikir graduan merujuk kepada penuntut universiti yang sudah habis belajar. Tetapi itu kurang tepat. Lebih tepat ialah graduan merujuk kepada mahasiswa yang telah habiskan pengajian dan akan menerima ijazah.

Dalam bahasa Inggeris, graduan bermakna "graduand".


Siswazah

Mereka ini lebih dikenali umum sebagai alumni atau lepasan universiti. Tetapi perkataan yang lebih sesuai, atau lebih bersifat akademik; untuk mereka sebenarnya ialah siswazah, iaitu graduan yang telah menerima ijazah. Perkataan siswizah tidak wujud ye.

Panggilan siswazah dalam bahasa Inggeris ialah "graduate".


Pascasiswazah

Siswazah atau lepasan ijazah yang menyambung pembelajaran di peringkat lebih tinggi tidak lagi dipanggil sebagai mahasiswa. Walaupun umum memanggil mereka sebagai mahasiswa kerana mereka juga penuntut di universiti, perkataan yang lebih tepat sebenarnya ialah pascasiswazah.

Perkataan pascasiswazah juga digunakan untuk merujuk kepada pembelajaran, pengajian atau penyelidikan pada peringkat ijazah sarjana (Master's) dan ijazah kedoktoran (Doctorate).  

Pascasiswazah dipanggil "postgraduate" dalam bahasa Inggeris.


Doktor

Doktor dari segi akademiknya ialah gelaran yang diberikan kepada pascasiswazah yang telah mendapat ijazah tertinggi atau kedoktoran contohnya ijazah doktor falsafah (PhD). Jangan keliru antara doktor falsafah (PhD) dan doktor perubatan (MD).

Doktor dalam bahasa Inggeris dipanggil "Doctor". Perkataan "Doctor" juga berasal daripada perkataan Latin yang bermakna 'untuk mengajar', sesuai dengan asal usul gelaran tersebut sebagai tanda kelayakan seseorang untuk mengajar.


Pascakedoktoran

Mungkin tak ramai yang sedar kewujudan perkataan ni, melainkan mereka yang berada dalam bidang akademik atau bergelar siswazah. Pascakedoktoran merujuk kepada pengajian atau penyelidikan yang dilakukan setelah mendapat ijazah kedoktoran.

Dalam bahasa Inggeris, pascakedoktoran ialah "postdoctoral" atau "postdoctorate".

Sekian perkongsian untuk hantaran kali ni, kalau ada sebarang pembetulan atau penambahan boleh sama-sama komen di bawah. Jangan lupa share ke rakan-rakan yang masih keliru tentang istilah-istilah atau perkataan-perkataan yang diterangkan tadi.

16x16-instagram azizinet00 | facebook hari3aku

Post a Comment

To Top