Lintasan Belang dan Lintasan Undan: Lintasan Pejalan Kaki di Malaysia, dan Kekeliruan Pada Penggunaan dan Perundangannya

Photo by Khairi Harry from Pexels
Pertambahan bilangan kenderaan di Malaysia menyumbang kepada peningkatan kesesakan dan kemalangan melibatkan kenderaan dan pejalan kaki. Peranan undang-undang dalam mengurangkan kemalangan adalah penting.

Sebagai pemandu, undang-undang berkaitan had laju kenderaan, dan pematuhan lampu isyarat adalah jelas dan sering diberikan penekanan. Namun, sebagai pejalan kaki, penekanan yang sama tidak diberikan.

Contohnya ialah berkenaan hak pejalan kaki untuk melintas. Menurut Akta 333 Akta Pengangkutan Jalan 1987, adalah menjadi kesalahan bagi seorang pejalan kaki untuk melintasi jalan dalam dua keadaan:
  1. Melintasi jalan yang berada tidak jauh daripada lintasan pejalan kaki atau kemudahan melintas seperti lintasan belang, jejantas dan laluan bawah tanah tanpa menggunakan kemudahan tersebut.
  2. Kegagalan mengikut arahan pengawal lalu lintas beruniform ketika melintas.
Namun, sebagai seorang "layman" yang bukan berpendidikan undang-undang, masih banyak perkara yang belum jelas. Pencarian mengenai undang-undang lalu lintas juga agak menghampakan.

Jenis-jenis Lintasan Pejalan Kaki

Malah, peraturan paling asas untuk pejalan kaki pun masih belum diberikan penjelasan dan penekanan yang sepatutnya. Berapa ramai daripada kita yang mengenali lintasan undan?

Untuk pengetahuan semua, lintasan undan sudah diperkenalkan dalam silibus KSSR subjek Bahasa Malaysia tahun 2. Menurut JKR, ada tiga jenis lintasan pejalan kaki:

1 Lintasan Belang

Photo by Graphicgum.com via Pexels
Yang pertama, dan yang paling umum diketahui ramai ialah lintasan belang ataupun zebra. Lintasan belang atau zebra mempunyai jalur berwarna hitam putih menyerupai warna seekor zebra.

Apabila melalui jalan dengan lintasan belang, kereta perlu diperlahankan, dan keutamaan hak laluan diberikan kepada pejalan kaki yang sedang melintas pada lintasan belang.

2 Lintasan Undan

Photo by Google Maps
Mesti pernah tengok lintasan yang menggunakan belang berwarna kuning hitam kan? Apa bezanya dengan lintasan belang? Menurut JKR, lintasan ini dipanggil sebagai lintasan undan.

Berbeza dengan lintasan belang, lintasan undan menggunakan lampu isyarat, dan keutamaan hak laluan diberikan mengikut pematuhan lampu isyarat. Lintasan undan selalunya dibina di kawasan berkepadatan trafik tinggi.

Kebanyakan sumber di internet yang menyatakan bahawa lintasan berjalur kuning memberi hak laluan secara "first come first serve" adalah kurang tepat.

3 Lintasan Berpengawal

Photo by Harian Metro
Lintasan berpengawal melibatkan pengawal lalu lintas. Tidak kira di persimpangan berlampu isyarat, lintasan belang atau undan, keutamaan hak laluan diberikan mengikut budi bicara pengawal lalu lintas.

Lintasan ini selalunya disediakan mengikut keperluan, dan kebiasaannya disediakan di laluan hospital dan sekolah.

Kekeliruan Antara Lintasan Belang dan Lintasan Undan

Photo by PickPik
Lintasan undan, atau pelican crossing pertama kali digunakan di UK pada tahun 1969, pemasangan terakhir pelican crossing adalah pada tahun 2016. Bermula 2017, ia digantikan dengan puffin crossing.

Di Malaysia, kekeliruan antara lintasan belang dan undan berpunca daripada reka bentuk lintasan undan yang juga menggunakan jalur seperti lintasan belang. Ini tidak berlaku di UK yang menggunakan reka bentuk berbeza.

Lebih keliru lagi apabila ada juga lintasan belang yang menggunakan reka bentuk jalur kuning berbanding putih tanpa lampu isyarat.

Photo by Stephen Cravenvia Wikimedia Commons
Pelican Crossing di UK

Tiada perundangan yang jelas berkaitan lintasan undan di Malaysia. Lintasan belang yang diwarnakan kuning dan diletakkan lampu isyarat tidak menjadikan ia lintasan undan yang sama digunakan di UK.

Dalam kata lain, lintasan belang berlampu isyarat tidak sama dengan lintasan undan seperti di UK jika tiada peraturan dan definisi rasmi yang jelas membezakan kedua-dua lintasan tersebut.

Perundangan Lintasan Undan

Adakah undang-undang lintasan belang masih digunapakai untuk lintasan undan di Malaysia? Walaupun sering ditegaskan bahawa pejalan kaki perlu menunggu lampu isyarat pejalan kaki bertukar hijau.


Undang-undang apa yang akan digunapakai dalam keadaan lampu isyarat di lintasan undan rosak? Ataupun lampu isyarat pejalan kaki bertukar merah ketika pejalan kaki masih melintas ke seberang jalan?

Penyebaran maklumat atau peraturan menggunakan infografik atau artikel tanpa sebarang sumber rujukan kepada undang-undang yang digunapakai tidak menjadikan ia undang-undang atau peraturan bertulis.

Perkongsian peraturan tanpa merujuk kepada sebarang sumber rasmi juga bukanlah satu amalan yang sihat jika tujuan utama perkongsian tersebut adalah untuk menjadikan rakyat peka dengan undang-undang sedia ada.

Untuk Pejalan Kaki dan Pemandu

Photo by Donald Tong from Pexels
Undang-undang yang lebih jelas berkenaan lintasan pejalan kaki bukan sahaja diperlukan untuk keselamatan pejalan kaki, tetapi untuk kewaspadaan pemandu apabila berhadapan dengan lintasan tersebut.

Undang-undang yang kurang jelas, dan ketiadaan penguatkuasaan yang konsisten bercanggah dengan tujuan utama lintasan tersebut diadakan — untuk mengurangkan kemalangan melibatkan pejalan kaki.

Reka bentuk jalan raya, perancangan bandar dan penggubalan undang-undang lalu lintas harus mengambil kira dan mengutamakan golongan yang paling terdedah kepada bahaya, dalam hal ini pejalan kaki.

Penulis menggesa supaya lebih banyak kajian berkaitan lintasan pejalan kaki dan sistem trafik diadakan. Ketidakpercayaan pejalan kaki terhadap sistem sedia ada menggalakkan salah laku di kalangan pejalan kaki.

Kenapa perlu gunakan lintasan belang sedangkan ia tidak memudahkan sedikit pun untuk melintas apabila tidak ada sebarang kenderaan pun yang berasakan mereka perlu memberikan laluan?

Kenapa perlu menunggu begitu lama di lintasan undan apabila tiada trafik yang sedang bergerak? Sedangkan kalau menggunakan lintasan belang, kita dah boleh melintas pun.

Nampak remeh, tapi inilah realiti yang perlu diambil kira oleh jurutera trafik dan penggubal undang-undang.

Sayangi Nyawa Anda

Photo by *angys* via Wikimedia Commons
Walau bagaimana pun, letakkan nyawa kita sebagai prioriti. Gunakan lintasan pejalan kaki atau jejantas yang disediakan, dan sentiasa membuat keputusan yang paling selamat untuk melintas.

Walaupun kita mempunyai hak laluan, jangan rasa orang lain pun berfikir yang sama. Perlu sentiasa melihat dan mendengar aliran trafik sebelum dan ketika melintas walaupun di lintasan undan.

Sesiapa yang mempunyai rujukan rasmi dari Kementerian Pengangkutan, Polis, JPJ atau JKR berkaitan dengan pejalan kaki atau lintasan pejalan kaki, bolehlah share di bawah.

azizinet00 | Hari3aku

Post a Comment

To Top