Kuetiau Goreng Lembap dan Bihun Sup Power di Warung Simpor Utara, Tikam Batu, Kedah

Penat mengejar trend makanan barat dan kafe yang rata-ratanya terletak di tengah-tengah bandar atau pekan, ada masanya penulis akan balik ke warung-warung dan gerai-gerai macam yang penulis biasa lazimi sebelum daripada zaman TikTok.
Di tengah-tengah bandar dan pekan pun ada juga warung dan gerai, tapi agak sibuk. Jadi, untuk lari daripada kesibukan dan trafik adakalanya penulis rasa lebih baik cari warung di kampung-kampung. Manalah tahu bernasib baik dapat jumpa sebuah hidden gem.
Warung Simpor Utara

Contohnya macam satu warung yang penulis pernah pergi di Tikam Batu, Kedah. Warungnya ringkas, berkerusi plastik, bermeja lipat, dan tak berpendingin hawa, tapi makanannya yang sedap buatkan penulis ke sini setiap beberapa kali ke Kedah.
Tak jauh pun dari tempat yang pernah tular macam Jon Ikan Tikam Batu dan Kafe Milla Hana yang terletak di pekan Tikam Batu. Cuma 9 minit perjalanan menaiki kereta dari dua tempat ni.
Alamat: F122 Kampung Simpor, Tikam Batu, 08600 Sungai Petani, Kedah.
Waktu: Rabu - Isnin (2:00pm - 8:00pm).
Waktu: Rabu - Isnin (2:00pm - 8:00pm).
Kedudukan warung Simpor Utara yang bersebelahan dengan bendang sedikit membantu dari segi pencahayaan dan pengudaran. Walaupun dalam keadaan matahari yang sedang terik, belum pernah lagi sampai berpeluh.

Kalau ke sini, mesti akan pesan kuetiau goreng dan bihun sup, kadang-kadang akan bungkus sup gearbox untuk dibuat makan di rumah. Harganya pun murah, tak macam di kebanyakan kedai — termasuklah warung — di bandar.
Kuetiau Goreng dan Bihun Sup Power

Taklah macam char kuetiau Pulau Pinang, rasanya agak lain. Tapi kuetiau goreng di sini pun tak ada kurangnya, rasa manis dan masamnya cukup, dan teksturnya sedikit lembap. Antara ayam dan daging, penulis lebih sukakan daging tapi disebabkan faktor kesihatan sekali-sekala akan pesan ayam.
Bihun supnya gaya utara, tapi waktu penulis tulis blog ni macam tak ingat pula apa bezanya sup di Kedah dan di selatan. Cuma yang pasti memang berbeza dengan rasa sup di Kelantan, dan selalunya dimakan dengan sambal seakan-akan sos, sambal kicap, dan lobak masin.

Yang penting, bahan macam daging dan perut babat yang digunakan dalam hidangan ni empuk dan mudah dimakan. Kalau nak dibandingkan dengan sup mamak, sup utara agak jernih walaupun rasanya agak power.
Berhampiran dengan warung ni ada sebuah gerai menjual makanan ringan seperti keropok lekor, cucur udang, dan kentang goreng. Keropok lekornya, walaupun tak setanding Terengganu; boleh tahan sedap juga kalau dimakan panas.

Kentang goreng sedikit berminyak, mujur ada air sirap selasih dan asam limau untuk basahkan tekak. Selalunya penulis cuma akan pesan keropok lekor, kentang goreng ni atas permintaan budak-budak je.
Harga Menu yang Murah lagi Rahmah

Waktu pertama kali ke warung Simpor Utara sebelum pandemik Covid-19 dulu, harga kuetiau gorengnya cuma RM4 dan bihun sup pula bermula daripada RM2 untuk saiz kecil. Sekarang, kalau naik harganya pun cuma dalam RM1 ke RM2.
Penulis harap restoran ni tak ditularkan pempengaruh TikTok. Sebab laluan masuk ke warung yang terletak cuma 1 kilometer daripada warung Kambing Buluh Addarowish 99 ni agak sempat.
Post a Comment