Shackburger di Shake Shack The Exchange TRX (TRX Mall)

Shackburger bersama fries di Shake Shack
Gara-gara burger Ramly yang dijual pada harga mampu beli dan mampu makan sejak 1979, burger menjadi sebuah makan utama sebahagian besar rakyat Malaysia. Sejak daripada tu banyak lagi jenama tempatan lain yang muncul dan menjual burger seperti Sempoi, Marrybrown, Abang Burn, Otai, GTR, OSB, Woodfire, myBurgerLab, Muiz Fried Chicken, Ahmad's, Zack's Burger and Chicken, Burghub.co, THEFAT.BURGER, Paparazzi Offroad Burger, The Permanent Choice Burger, dan BGM Burgerman.

Kita juga ada beberapa pilihan daripada jenama antarabangsa yang terkenal di Malaysia antaranya Whopper di Burger King, Big Mac di McDonald's, dan Zinger di KFC. Ketiga-tiga restoran tersebut ada di setiap negeri di Malaysia, dan bilangannya agak banyak di semenanjung Malaysia terutamanya di bahagian bandar.

Halal jakim di Shake Shack TRX Mall
Namun, kalau kita bercerita tentang jenama atau rangkaian burger yang terkenal secara global, KFC tak tersenarai pun sebagai jenama lima teratas. Di peringkat global, jenama yang terkenal dari segi bilangan lokasi, kepuasan pelanggan, dan jumlah jualan ialah Wendy's, Burger King, McDonald's, Five Guys, Carl's Jr, Jollibee, Shake Shack, In-N-Out Burger, MOS Burger, dan Lotteria.

Tempat makan di bahagian luar restoran Shake Shack di TRX Mall
Di Malaysia cuma ada beberapa cawangan Shake Shack, dan salah satunya di TRX Mall atau The Exchange TRX yang merupakan cawangan pertamanya di Malaysia. Memandangkan penulis berkesempatan untuk ke TRX baru ni, tambah pula Shake Shack dah dapatkan halal daripada JAKIM, penulis pun cubalah beberapa hidangan di Shake Shack walaupun harganya sedikit keras.

Shake Shack di rooftop level 3 TRX Mall
Shake Shack di TRX Mall terletak di bahagian bumbung atau 'rooftop' tak jauh daripada tingkat terpaling atas kedai Apple dan tempat permainan kanak-kanak. Shake Shack di sini bersuasanakan 'outdoor' walaupun tempat makannya 'indoor' kerana ada bahagian tempat makan yang berdindingkan kaca. Ada juga tempat duduk di bahagian luar untuk korang yang lebih sukakan udara luar berbanding pendingin hawa.

Pesanan di Shake Shack menggunakan kiosk
Pesanan dibuat menggunakan kiosk, dan harganya macam yang penulis cakap tadi agak keras ye. Sebuah burger keju bersama tomato, salad dan sos istimewa ShackSauce yang kelihatan agak ringkas dengan hanya satu patti daging sahaja sudah berharga RM25.50 selepas dicukai sebanyak 6% — RM35.50 untuk dua patti. Itulah harga burger daging keju termurah di Shake Shack TRX.

Shackburger Shake Shack
Secara mudahnya, ShackBurger di Shake Shack nampak ringkas, kemas, segar, dan premium. Tak perlukan sos yang terlalu banyak atau serbuk kari pada patti, daging Angus, tomato dan salad segar, dan sedikit ShackSauce dah memadai untuk jadikan burger ni kelihatan dan rasa mewah. Bannya yang diperbuat daripada kentang juga sangatlah lembut, rasa patti sebagai watak utama dalam hidangan ni dapat ditonjolkan dengan jayanya.

Set hidangan Shackburger
Kelainan yang paling ketara, yang membuatkan penulis rasa susah untuk kita tiru dan masak sendiri di rumah ialah roti dan ShackSauce. Walaupun kita boleh beli roti ban kentang diluar, saiz roti di luar agak besar dan tebal berbanding yang penulis cuba di Shake Shack. ShackSauce nampak hampir sama dengan sos GCB daripada McDonald's, tapi rasanya lebih masam seolah-olah ada perahan lemon.

Untuk dua set pesanan penulis, penulis tukar hidangan sampingannya daripada air gas dan kentang goreng kepada air mineral Evian dan gegelung bawang. Untuk tukar kepada air Evian perlu tambah sebanyak RM1.20, untuk tukar ke gegelung bawang pula perlu tambah sebanyak RM1.90.

Kentang goreng jenis crinkle cut
Kentang goreng jenis crinkle-cut di Shake Shack memang win, digoreng keemasan, lebih nipis, dan lebih rangup berbanding crinkle-cut yang kita biasa beli secara sejuk beku berjenama Simplot di pasaraya dan masak sendiri di rumah. Gegelung bawang pula nampak home-made dan digoreng sedikit garing. Cuma sos yang disediakan bersama gegelung bawang agak masin (baca: terlalu masin) berbanding masam seperti yang penulis jangkakan daripada sebuah sos krim masam.

Menu Harga
ShackBurger Meal
* Value Set Promo X2 (19.34 - 8.58) [44%]
• 1 ShackBurger
• 1 Fries
• 1 Bottled Water
RM34.82
ShackBurger Meal
* Value Set Promo (19.81 - 8.58) [43%]
• 1 ShackBurger
• 1 Onion Ring
• 1 Iced Tea Regular
RM35.29
SubTotal (2 items) RM70.11
Service Tax @6% RM4.21
Rounding Adj -RM0.02
Net Total RM74.30
Harga di Shake Shack pada 30 Ogos 2026.

Secara keseluruhannya, memang berbaloi harga yang penulis bayar dengan kualiti makanan yang penulis dapat. Anggap je macam penulis bayar dengan harga USD memandangkan restoran ni daripada Amerika Syarikat dan cuma ada empat cawangan di Malaysia. Harga RM74.30 yang penulis bayar untuk dua set burger lebih kurang sama dengan 18.39 dolar US.

Gegelung bawang digoreng keemasan dan sedikit garing
Kalau difikirkan juga, harganya lebih kurang sama dengan harga burger di myBurgerLab dan Woodfire. Bezanya, lebih puas dan kenyang kalau makan di Woodfire. Di Shake Shack ni, walaupun pattinya lebih tebal berbanding di McDonald's yang penulis perasan semakin tahun semakin nipis, penulis makan sekadar buat rasa-rasa je, nak kenyang jauh sekali.

Laluan masuk ke Shake Shack di TRX Mall
Penulis akan ke Shake Shack lagi untuk cuba milkshake pula, cuma bukan dalam masa terdekat dan harapnya pada waktu tu Shake Shack masih beroperasi di Malaysia dan bukannya tinggal kenangan seperti Wendy's. Mungkin akan cuba burger ayam juga walaupun penulis tak fikir yang rasanya akan jauh berbeza berbanding burger ayam di Burger King dan McDonald's.

Basuh tangan di Shake Shack TRX Mall sangat mencabar, sinkinya terlalu sempoi dan boleh keluarkan tisu secara automatik, siap ada video tutorial cara membasuh tangan dengan betul. Buat masa ni, sementara jauh dari Kuala Lumpur penulis akan makan Whopper dan burger Ramly dulu.

Post a Comment

To Top