Dim Sum Valet: Nikmati 46 Jenis Dim Sum Halal Berharga RM4.60 di George Town

Pelbagai jenis Dim Sum di Dim Sum Valet
Dim sum ialah hidangan yang terdiri daripada pelbagai jenis makanan Cina yang selalunya disediakan dalam kuantiti yang sedikit bagi setiap jenis. Contoh makanan yang disediakan sebagai dim sum ialah dumpling dan pau.

Dulu, agak susah untuk dapatkan pengalaman penuh mencuba dim sum yang halal, kalau ada pun pilihannya agak terhad kepada beberapa pilihan shumai. Sekarang, lebih mudah.

Untuk makan dim sum, kita boleh ke Restoran Mohd Chan, ataupun ke Dolly Dim Sum untuk pengalaman dim sum yang lebih baik. Tetapi, bukan kedua-dua restoran ni yang penulis nak kongsikan hari ni.

Dim Sum Valet

Dim Sum Goreng di Dim Sum Valet
Restoran yang penulis nak kongsikan hari ni ialah Dim Sum Valet yang terletak di Lebuh Keng Kwee, George Town, Pulau Pinang. Cuma 200 meter dari Pasar Chowrasta, dalam 3 ke 5 minit kalau berjalan dari sini.

Restorannya agak ringkas, tak mewah, tak terlalu besar, dan berada di tepi jalan di sebuah lorong yang sedikit sempit dan tersorok. Parkir agak terhad, kalau rajin berjalan boleh parkir di Pasar Chowrasta.

46 Jenis Dim Sum

46 jenis dim sum di Dim Sum Valet
Ada lebih kurang 46 jenis dim sum yang terdiri daripada ladu atau dumpling, shumai, pau, dan popia, sama ada dikukus atau digoreng; semuanya dengan pilihan inti yang pelbagai.

Antara pilihan menarik yang ada di sini ialah Loh Mai Kai (sejenis pulut dengan ayam), Har Gow (dumpling udang), dan Fu Pei Guen (sejenis popia goreng yang diperbuat daripada fucuk berintikan udang).

Rambang mata dibuatnya bila tengok pilihan dim sum yang ada dalam pengukus buluh, berwarna-warni. Cuma waktu penulis sampai kebanyakan dim sum kukus yang tinggal ialah shumai.

Pelbagai Jenis Shumai

Shumai di Dim Sum Valet
Jadi penulis ambillah empat shumai berlainan jenis, dan satu seaweed roll yang mempunyai filamen ketam dan berintikan sesuatu yang mungkin daripada ayam.

Shumai yang penulis ambil ialah shumai cendawan, ayam keju, tomyam, dan fungus ayam. Kesemuanya sedap, berbeza dengan shumai sejuk beku yang penulis kukus sendiri di rumah.

Ini pertama kali penulis makan dim sum yang mempunyai banyak pilihan macam ni, jadi penulis tak cuba dim sum goreng. Selama ni penulis cuma pernah makan dim sum yang dikukus.

RM4.60 Setiap Satu

Dim Sum Kukus di Dim Sum Valet
Di sini, setiap pilihan dim sum berharga RM4.60. Kalau dibandingkan dengan Sushi King, lebih kurang harga sushi pada piring merah jambu. Masih berpatutan, tambah pula George Town ialah kawasan tumpuan pelancong.

Untuk pastikan setiap sen yang dibelanjakan berbaloi, buatlah carian terlebih dahulu tentang setiap jenis dim sum sebelum datang ke Dim Sum Valet. Boleh cuba dim sum yang susah dapat di tempat lain.

Masakan Cina Muslim

Menu makanan cina muslim di Dim Sum Valet
Ada juga menu lain seperti char kuetiau (RM7), mi wantan (RM8), chee cheong fun (RM5), char hor fun (RM8), mua chee (RM5), laksa (RM7), nasi lemak ayam (RM8) dan mi udang (RM20) untuk kita cuba.

Char kuetiau di sini digoreng secara asli kering ye, bukan basah seperti yang kita makan di sekitar Bukit Mertajam.

Jangan Lupa Bungkus Untuk Kawan atau Keluarga

Disebabkan rasanya yang sedap, penulis pun bungkus beberapa jenis shumai yang berbeza daripada apa yang penulis cuba tadi. Malangnya penulis tak ingat apa jenisnya, semuanya sedap.


Kalau datang ke George Town, jangan lupa singgah ke Dim Sum Valet di Lebuh Keng Kwee, George Town, untuk makan dim sum halal. Lain kali penulis akan datang lagi untuk cuba dim sum goreng pula.

Dim Sum Valet dibuka pada setiap hari kecuali selasa bermula 9 pagi sehingga 6 petang. Boleh ke laman Facebook Dim Sum Valet untuk maklumat yang lebih lanjut.

Jalan-jalan Sekitar Pasar Chowrasta

Pasar Chowrasta
Di sekitar Pasar Chowrasta ada banyak lagi makanan lain. Di kawasan ni jugalah terletaknya gerai Ais Tingkap dan restoran nasi kandar terkenal Hameediyah. Penulis sempat jugalah beli buah berangan di sebelah Pasar Chowrasta.

Kalau parkir kereta di Pasar Chowrasta, boleh singgah di kedai buku terpakai di dalam pasar. Ada banyak pilihan buku untuk kanak-kanak, remaja dan dewasa, buku rujukan akademik pun ada.

azizinet00 | Hari3aku

Post a Comment

To Top