Menikmati Kelazatan Aiskrim Musang King Nestle di RnR Titiwangsa

Aiskrim Musang King Nestle
Terletak di antara Gerik dan Jeli ialah hentian RnR Titiwangsa, sering menjadi tempat perhentian orang ramai, yang melalui Lebuhraya Timur Barat; untuk berehat, solat, makan, ke tandas, ataupun hanya melihat pemandangan.

Selain daripada pemandangannya yang cantik, cuaca di sini juga agak sejuk. Lagipun RnR Titiwangsa terletak di Banjaran Titiwangsa, dan berada pada paras tidak kurang 1050 meter di atas paras laut.

Kurang 100 Meter Berbanding Ringlet

Suasana di RnR Titiwangsa
Sebagai perbandingan, pekan-pekan di Cameron Highlands seperti Ringlet, Tanah Rata, dan Brinchang masing-masing mempunyai ketinggian sebanyak 1135, 1440, dan 1540 meter di atas paras laut.

Kalau singgah di sini memang tak rugi bergambar sambil menikmati suasana seakan-akan Cameron Highlands. Di sini juga ada sebuah kedai runcit dan sebuah restoran.

Kanak-kanak di RnR Titiwangsa
Di Restoran Amiza Titiwangsa ada makanan seperti nasi ayam, nasi kerabu, dan nasi lemak. Cuma penulis agak kenyang selepas makan di Nasi Kandar D'Cenerai, jadi penulis lebih tertarik dengan aiskrim di kedai runcit bersebelahan.

Aiskrim Musang King Nestle

Bungkusan aiskrim Musang King Nestle
Dah lama teringin nak cuba aiskrim durian musang king dari Nestle, cuma ditangguh-tangguhkan sebab harga aiskrimnya RM6.50, lebih mahal daripada ketiga-tiga makanan yang penulis sebutkan tadi.

Dulu, penulis pernah makan durian musang king di Kelantan, sedap betul. Aiskrim musang king, ini yang pertama, dan penulis harap berbaloilah keluarkan RM6.50.

Bungkusannya memang cantik, nampak mewah. Perkataan "Nestle" pula bertemakan keemasan pada logo, bukannya merah seperti kebiasaannya pada bungkusan aiskrim Nestle yang lain.

Aiskrim Persis Seulas Durian

Rupa aiskrim Musang King Nestle
Reka bentuk aiskrimnya juga menarik, sebab ia meniru rupa seulas durian. Jadi ada bahagian yang berwarna kuning, dan ada bahagian yang berwarna putih. Kedua-dua bahagian ada rasa yang sedikit berbeza.

Mungkin perasaan penulis, tapi ada logiknya juga kalau rasa durian pada bahagian kuning lebih kuat berbanding yang putih. Namun, kedua-dua bahagian masih manis.

Rasa aiskrim musang king Nestle memang sedap dan berlemak, asli atau tidak susah penulis nak tentukan. Katanya menggunakan musang king asli, berapa peratus tak pastilah

Aiskrim Yang Terpaling Durian

Pelawat berjalan sekitar RnR Titiwangsa
Jujur cakap, lebih sedap berbanding aiskrim durian lain yang penulis pernah makan — tak banyak pun. Yang pasti, rasanya bukanlah seperti popcorn perasa durian yang penulis biasa makan waktu sekolah dulu.


Siapa yang tak pernah singgah di RnR Titiwangsa, singgahlah. Yang belum pernah cuba aiskrim musang king Nestle, cubalah. Makan aiskrim di tempat sejuk lebih santai, sebab aiskrimnya lambat cair.

azizinet00 | Hari3aku

Post a Comment

To Top