Bercuti ke Cameron Highlands? Ini Antara Tempat Menarik dan Wajib Singgah di Cameron Highlands

Tak perlu ke luar negara untuk bercuti, di Malaysia pun ada banyak tempat-tempat percutian yang menarik dengan pemandangan yang indah. Salah satunya ialah Cameron Highlands, dingin dan nyaman.

Kita tolak tepi dulu soal kesesakan jalan raya pada waktu percutian. Penulis nak kongsikan beberapa tempat wajib yang penulis sendiri akan pergi apabila bercuti di Cameron Highlands.

Bagi yang pernah ke Cameron Highlands, mungkin dah pernah ke tempat-tempat yang penulis senaraikan dalam artikel kali ni. Bagi yang belum, dan tak tahu nak ke mana; bolehlah jadikan sebagai panduan.


1. Ladang Teh Cameron Valley dan BOH

Cameron Valley Tea House

Tak sah kalau ke Cameron Highlands tak tengok ladang teh. Dari Cameron Valley Tea House 1 dan 2 di Tanah Rata, kita boleh lihat pemandangan ladang teh milik Bharat Plantation sambil menikmati sehirup dua air teh.

Parkir, kafe, dan kedai teh di Cameron Valley Tea House 2 adalah lebih luas berbanding di Tea House 1. Selain air teh, ada juga scone, pie, waffle, kek dan muffin — bolehlah acah-acah inggeris.


Boleh juga dapatkan pelbagai perisa teh di sini, antaranya teh berperisa buah-buahan seperti anggur, lemon, dan strawberi.

BOH Tea Centre dan BOH Tea Estate

Photo by BOH Tea

Selain Cameron Valley Tea House, boleh juga ke BOH Tea Centre untuk lihat ladang teh BOH di Sungai Palas, Brinchang.

Ataupun, boleh juga ke ladang teh BOH di Habu, Ringlet. Kedua-dua lokasi ladang teh BOH di Brinchang dan Ringlet ada menyediakan lawatan kilang untuk kita lihat dan belajar proses pembuatan teh BOH.



Secara peribadi, penulis cuma pernah pergi ke ladang teh BOH di Ringlet, jalan ke sana agak mencabar juga. Rasanya pemandangan di ladang Teh BOH Sungai Palas jauh lebih cantik.

2. Kampung Taman Sedia

Mungkin ada yang belum sedar tentang kewujudan Kampung Taman Sedia di Tanah Rata. Penulis sendiri baru sedar tentang kewujudan kampung ni dalam empat tahun yang lepas.

Kampung Taman Sedia adalah perkampungan orang Melayu di Cameron Highlands dengan tarikan seperti kafe, ladang strawberi, dan inap desa atau homestay. Bersebelahan dengan Kampung Taman Sedia juga ada tapak perkhemahan.


Jalan di Kampung Taman Sedia agak sempit, ada beberapa lorong mati yang menyukarkan pemandu untuk berpatah balik. Jadi kalau datang pada waktu cuti memang sesak, perlu berjalan jauh sedikit.

Tiny Boutique Cafe

Kafe dan homestay, kedua-duanya ada di Tiny Boutique Cafe. Di Tiny Boutique Cafe kita boleh makan pizza yang dipanggang menggunakan kayu api. Katanya pizza kayu api pertama di Cameron Highlands.


Mereka menyediakan perkhidmatan inap desa, Tiny Boutique Habitat (Geranium Homestay) dengan rekaan rumah yang moden. Berhadapan dengan homestay yang disediakan pula ada taman bunga yang cantik.

200 Seeds Cafe

Pernah viral suatu masa dahulu, 200 Seeds Cafe menjual Nasi Lemak dan Nasi Goreng sambal strawberi. Sambal strawberi bukan sekadar gimik, rasanya juga sedikit masin disebabkan oleh penggunaan ikan masin dalam pembuatan sambal tersebut.

Kafe 200 Seeds dikendalikan oleh Abang Strawberry. Boleh dapatkan produk berasaskan strawberi seperti sambal strawberi, kordeal strawberi, dan jem strawberi di Abang Strawberry.


Abang Strawberry juga mempunyai ladang strawberi mereka sendiri, bolehlah datang dan pilih sendiri strawberi yang kita nak. Nak cari Homestay di Tanah Rata, pun Abang Strawberry boleh sediakan


3. Taman Agroteknologi MARDI

Bagi yang berminat untuk melihat dan mengenal kaedah tanaman hidroponik, akuaponik, dan sebagainya, bolehlah ke Taman Agroteknologi Mardi di Tanah Rata. Katanya di sinilah terletaknya ladah teh dan kilang teh pertama di Malaysia.

Boleh datang, lihat, dan kenal sayur-sayuran dan buah-buahan yang ada di sini. Mereka juga ada menjual sebahagian jenis pokok bunga yang ada di Taman Agroteknologi Mardi.


Bayaran masuk juga tidaklah terlalu mahal, RM6.50 untuk dewasa, RM2.50 untuk pengunjung berumur 7 sehingga 17 tahun, dan percuma untuk kanak-kanak 6 tahun dan ke bawah.


4. Avant Chocolate and Ice Cream

Pencinta coklat dan aiskrim yang datang atau balik dari Cameron Highlands melalui jalan Simpang Pulai mesti akan singgah di Green View Garden untuk cuba aiskrim di Avant Chocolate and Ice Cream.

Avant Chocolate and Ice Cream ada jual pelbagai jenis aiskrim, contohnya aiskrim strawberi, coklat, avokado, dan beri biru. Kek aiskrim, dan salad strawberi pun ada di sini.


Selepas selesai makan di kafe, bolehlah melawat taman bunga lavender yang tak jauh pun dari kafe, juga di Green View Garden. Di sini juga ada ladang strawberi, tanaman hidroponik, dan taman haiwan mini.


5. Lavender Garden

Kalau rasa taman bunga di House of Lavender, Green View Garden agak kecil. Boleh ke taman bunga Lavender yang lebih besar di Lavender Garden, Tringkap. Bayaran masuk ialah RM15 untuk dewasa, dan RM10 untuk kanak-kanak.


Boleh datang dan bergambar sambil dikelilingi keunguan lavender, atau kemerahan strawberi. Selain lavender, ada juga bunga-bunga lain seperti bunga matahari, bunga orkid, bunga seri pagi, dan bunga Siti Zubaidah.


Dan Banyak Lagi

Kalau nak senaraikan kesemua tarikan yang ada di Cameron Highlands, memang tak siaplah blog kali ni. Apa yang penuliskan kongsikan ni tempat yang penulis pernah atau teringin nak pergi.

Ada banyak lagi tempat di Cameron Highlands yang kita boleh singgah, contohnya ladang lebah; pasar malam di Golden Hill; Big Red Strawberry Farm; Kea Farm; Mossy Forest; dan Time Tunnel Museum.

Kalau bercadang nak ke Cameron Highlands, rancanglah perjalanan dengan sebaiknya untuk mengelakkan kesesakan pada waktu percutian. Pastikan kita dah tahu apa dan di mana tempat yang kita nak pergi nanti.

azizinet00 | Hari3aku

Post a Comment

To Top