Pertama Kali Mencuba Durian Musang King. Berbaloi ke dengan Harga?

Durian Musang King

Di Barat, buah durian sangat terkenal dengan baunya yang kuat, ada yang menggelar baunya seperti bawang putih, ada juga yang mengatakan baunya busuk. Tetapi di Asia, buah durian dikenali sebagai raja buah, atau 'King of Fruit'.


Siapa sangka di dalam buah yang besar, berkulit keras, dan kelihatan ganas ada isi yang manis berkrim. Biarpun ia digeruni di barat, buah durian tetap digilai ramai rakyat Malaysia sehinggakan ada yang sanggup mengeluarkan berpuluh-puluh ringgit hanya untuk sebiji durian.


Ada lebih dari 100 jenis atau varieti buah durian di Malaysia. Kebanyakannya ialah durian klon yang didaftarkan menggunakan kod 'D', contohnya D24 untuk durian Sultan dan D159 untuk Mon Thong. Walaupun demikian, hanya beberapa jenis sahaja yang dikomersialkan penanamannya.


Isi Durian Musang King

Antara yang popular ialah D197 atau Musang King yang juga dikenali sebagai Raja Kunyit kerana warna isinya yang sangat kekuningan. Dengar cerita 10 ke 15 tahun lalu durian Musang King sangat murah, tetapi sekarang boleh mencecah sekitar RM30 ke 35 sekilo.


Seumur hidup penulis, ini kali pertama penulis dapat makan durian Musang King. Sebelum ni cuma pernah cuba pizza musang king di US Pizza, sedap juga. Jadi macam mana rasa Musang King yang sebenar?


Seulas Durian Musang King

Durian Musang King, sama seperti durian yang lain boleh diklasifikasikan kepada gred dan saiz yang tertentu pada harga yang tertentu, jadi mungkin jenis Musang King yang penulis cuba tak sama dengan apa yang orang lain pernah cuba.


Salah satu ciri khas yang ada pada durian Musang King ialah bahagian bawah buahnya lebih tumpul dan membentuk bintang seperti tapak sulaiman. Isinya kekuningan, manis dan sangat berlemak.


Apa yang lebih menarik ialah bentuk bijinya yang lebih pipih, maksudnya kita akan dapat lebih banyak isi berbanding biji. Memang puas hati kalau dapat ulas yang bijinya kecil.


Biji Durian Musang King

Sebiji durian secara mudah boleh mencecah 2 kilo, kiranya sebiji durian Musang King boleh mencecah harga RM60. Persoalannya sekarang, berbaloi ke? Untuk cuba memang berbaloi, untuk suka-suka mungkin kurang berbaloi. Kalau suka-suka nak makan durian, lebih berbaloi beli D24 atau IOI, nak mewah sikit boleh cari Udang Merah yang jauh lebih manis.


Semoga manusia yang beri penulis makan Musang King percuma kali ini dilimpahi rezeki. Walaupun cuma seulas memang puas hati sebab akhirnya dapat tahu juga apa sebenarnya rasa durian Musang King yang sebenar, bukannya dari pizza atau aiskrim.


Korang dah pernah cuba ke Musang King? Lepas ni siapa pulalah yang nak bagi penulis cuba Duri Hitam. Untuk mengetahui lebih lanjut tentang gred dan saiz durian, boleh tengok risalah yang dikeluarkan FAMA di sini.



Artikel Berkaitan:

Sekilo RM10? Sekilo RM20? Sekilo RM45? Kulit Lebih Berat dari Isi? Perlukah Boikot Durian Timbang? Pengalaman Makan Durian Udang Merah.

16x16-instagram azizinet00 | facebook hari3aku

Post a Comment

To Top