Deli Muara Ikan Bakar Alai. Satu Lagi Restoran Ikan Bakar Wajib Cuba di Melaka

Shopping di Freeport A'Famosa Outlet sudah, makan kuetiau sup tengkera pun sudah, sebelum tinggalkan Melaka nak jugalah makan ikan bakar kan? Persoalannya, nak makan di restoran mana?

Di Melaka, khususnya di area Pernu/Umbai dan Alai ada banyak pilihan restoran ikan bakar. Selalunya penulis akan ke restoran Parameswara di Medan Ikan Bakar Umbai.

Tetapi, kali terakhir penulis ke Melaka penulis makan di restoran Mukmin Ikan Bakar di Alai pun sedap juga. Jadi kali ni penulis nak cuba makan di restoran lain pula.

Deli Muara Ikan Bakar Alai

Restoran ikan bakar yang penulis pergi terletak di Alai juga, berdekatan je dengan restoran Mukmin Ikan Bakar. Kalau nak datang ke sini, korang cari je restoran Deli Muara Ikan Bakar, Alai.

Tempat parkir di sini agak terhad. Tambah pula dengan bilangan restoran ikan bakar yang banyak, penulis nasihatkan untuk datang seawal restoran dibuka pada pukul 5:30 petang.

King Crab, Lobster dan Scallop

Di Deli Muara Ikan Bakar pun ada king crab dan lobster tau. Pada hari penulis ke sini, harga kedua-duanya ialah RM250 sekilo. Nak cuba? Penulis nasihatkan korang call dulu restoran.

Apa lagi yang istimewa di sini? Selain daripada pepahat atau bamboo shoot, di Deli Muara Ikan Bakar juga ada scallop tau. Kalau pernah tengok logo syarikat Shell, itulah scallop atau kekapis.

Harga pepahat dan kekapis ialah RM35 sekilo. Kalau datang ke sini, penulis syorkan cuba kekapis. Kekapis ni antara makanan yang rare di restoran ikan bakar, lebih rare berbanding pepahat.

Biasalah, kalau ke restoran ikan bakar, mesti akan pesan ikan siakap tiga rasa (RM45 sekilo) dan sotong goreng tepung (RM65 sekilo). Ikan siakap digoreng tidak sampai kering, tepung pada sotong juga melekat dengan elok.

Nasi Lemak Bungkus

Kebanyakan restoran ikan bakar di sekitar pernu dan alai menyediakan nasi lemak. Jadi kalau ke sini, cubalah makan ikan bakar dengan nasi lemak, bukannya nasi putih.

Selalunya nasi lemak di restoran ikan bakar lebih ringan, tanpa telur, kacang, ikan bilis dan timun, hanya nasi dan sambal. Sebungkus tak cukup, mesti akan makan dua bungkus.

Harga Berpatutan

Kepada korang yang datang ke Melaka dan nak makan ikan bakar, tak rugi cuba makan di Deli Muara Ikan Bakar, Alai. Bagi penulis harganya berpatutan dan tempat makannya pula masih selesa walaupun sedikit sempit.

Boleh cuba bandingkan dengan harga ikan bakar di restoran Aroma Ikan Bakar di Jeram yang penulis selalu pergi. Boleh juga bandingkan dengan restoran Mukmin Ikan Bakar.

Secara total, untuk makanan yang penulis makan tadi kesemuanya RM170 — ikan pari, siakap, ketam, sotong, kekapis, telur dadar, sayur kailan, nasi lemak, dan nasi putih.


Menurut Google, restoran Deli Muara Ikan Bakar dibuka bermula 5:30 petang sehingga 11:00 malam pada setiap hari. Kalau restoran penuh jangan risau sebab ada banyak lagi restoran ikan bakar di kawasan yang sama.

Harga makanan laut bergantung pada musim.

azizinet00 | Hari3aku

Post a Comment

To Top