Restoran Aroma Ikan Bakar Jeram. Tempat Makan Ikan Bakar Best di Selangor
Cerita tentang ikan bakar, di Selangor ada satu restoran ikan bakar yang agak popular. Restoran ini terletak di Pantai Jeram, sesuai dengan tema restoran yang menyediakan makanan laut. Jarak antara restoran ni dengan Pantai Remis cuma 3 km.
Penulis pernah kongsikan tentang restoran ni pada tahun 2018. Waktu tu blog penulis agak sendu, jadi hari ni penulis nak kongsikan sekali lagi tentang restoran ni dengan gambar-gambar terbaharu. Siapa yang ikut blog penulis dari dulu, mesti dah tahu restoran apa yang penulis maksudkan.
Restoran Aroma Ikan Bakar ni tak asing lagi bagi penduduk sekitar Jeram, sebab restoran ni dah beroperasi lebih dari 5 tahun. Makin tahun makin besar restoran ni, tetapi macam mana pula dengan kualiti dan servis? Makin mantop atau makin kecundang?
Pertama sekali, kalau dah datang ke restoran ikan bakar, mesti kita nak tengok makanan laut apa yang ada kan? Ikan, udang, sotong, dan ketam kira wajiblah. Selain daripada tu, ada juga kerang, pepahat, dan lala. Yang satu ni penulis tak pasti, udang ketak atau lipan.
Antara pilihan ikan yang ada ialah siakap, jenahak, kerapu, gerut-gerut, cencaru, merah, senangin dan pari. Jenis masakan yang penulis pernah pilih antaranya sambal, tiga rasa, masam manis atau stim limau.
Harga makanan laut di Aroma Ikan Bakar nampaknya tak jauh beza dari harga beberapa tahun yang lepas. Ikan siakap, jenahak, dan gerut-gerut contohnya masing-masing berharga RM5.50, RM6.80, dan RM4.80 untuk 100 gram, sama seperti pada tahun 2018. Ikan pari pula berharga RM5.00 untuk 100 gram, berbanding RM4.50 pada tahun 2018. (boleh tengok Aroma Ikan Bakar 2018)
Untuk kunjungan kali ni, penulis pesan sotong goreng tepung, ikan siakap masak tiga rasa, cencaru masak asam pedas, dan ikan ayam bakar. Jangan keliru ye, ikan ayam adalah sejenis ikan, bukannya ayam.
Cencaru masak asam pedas boleh tahan sedap juga, boleh dijadikan kuah untuk dimakan bersama dengan nasi menggantikan gulai atau tomyam.
Ikan ayam bakar pula bagi penulis biasa je, tak ada apa yang istimewa selain sambal yang digunakan. Rasa macam pertama kali makan ikan ni, untuk ikan bakar penulis lebih suka ikan pari.
Menu kegemaran penulis, ikan siakap masak tiga rasa memang terbaik. Sambal yang digunakan memang sedap, rasa macam sambal yang ditumis, bukannya seperti sos. Ada rasa manis dari bawang, tepung yang digunakan agak rangup, dan ia juga dihiasi dengan lobak dan kubis.
Nampaknya macam kualiti makanan masih dikekalkan sehingga ke hari ni, sebab itulah pelanggan restoran ni semakin hari semakin ramai. Dari segi harga, agak berpatutan juga jika dibandingkan dengan beberapa restoran ikan bakar lain yang penulis pernah pergi di Selangor (tak banyak pun yang penulis pernah pergi).
Cuma masalahnya bila ramai pelanggan, lama jugalah menunggunya kalau bilangan pekerja tak cukup ramai. Penulis pergi pada hujung minggu di pengakhiran bulan Mac, ramai betul org walaupun baru pukul 2:30 petang. Mungkin sebab cuti sekolah, ataupun gaji baru masuk, ataupun kedua-duanya.
Untuk hujung minggu, restoran beroperasi bermula 12 tengah hari, untuk hari minggu pula bermula 3 petang. Restoran dibuka sehingga tengah malam. Penulis memang syorkan sangat restoran Aroma Ikan Bakar ni. Cuba elakkan hujung minggu kalau taknak bersesak.
p.s. Penulis pergi pada waktu PKPB, mungkin bilangan pekerja perlu dikurangkan atas sebab SOP. Jadi penulis kena tunggu dalam sejam ke sejam lebih sebelum makanan siap dihidang. Notis dan peringatan ada diletakkan di kaunter hadapan dan kaunter ikan.
Post a Comment