Keropok Lekor Goreng, Rebus dan Sejuk Beku di Nur Alya Keropok Lekor, Tanah Merah, Kelantan

Papan tanda kedai keropok lekor Nur Alya di Kelantan
Orang kata keropok lekor di Terengganu lebih banyak ikan berbanding keropok lekor di Kelantan, betul ke? Yang penting bagi penulis, keropok lekor mana yang lebih rangup di luar selepas digoreng. Isi pula, mestilah lembut.

Di Kuala Terengganu baru ni, sempat penulis singgah — tapi tak sempat nak dapatkan bahan untuk blog — di gerai keropok lekor di Jalan Kuala Hiliran, Kampung Losong dan di Keropok Lekor SSAJE di Kampung Wakaf Tengah untuk dapatkan keropok lekor sejuk beku.

Keropok lekor sedang digoreng menggunakan minyak
Tapi tak cukup, dalam perjalanan balik ke barat semenanjung sempat penulis singgah di sebuah lagi kedai keropok lekor. Kali ni di Kampung Bukit Bunga, Tanah Merah, Kelantan bersebelahan Lebuhraya Timur-Barat.

NUR ALYA KEROPOK LEKOR

Kedai Nur Alya Keropok Lekor dari bahagian luar
Berbanding beberapa kedai keropok lekor yang penulis pergi di Kampung Losong, kedai Keropok Lekor Nur Alya nampak lebih kemas dengan pilihan produk — termasuk bukan keropok lekor — yang lebih banyak.

Kedainya juga dilengkapi surau dan tandas, jadi bolehlah dijadikan tempat perhentian pemandu yang hendak berhenti solat dan buang air sebelum membeli-belah dan menyambung semula perjalan.


Alamat: Jalan Tanah Merah/Jeli, Hadapan Pantai Timor, 17500 Tanah Merah, Kelantan.
Waktu: Isnin - Ahad (8:30am - 10pm).

Setahu penulis, ada dua cawangan. Yang penulis pergi baru ni cawangan yang ke-2, dalam 3 kilometer dari restoran Pizza Jangok Mek Ani. Di sebelah kanannya ada restoran nasi ulam, di sebelah kiri pula ada gerai-gerai menjual permainan, pakaian dan toto.

KEROPOK LEKOR, MAKANAN HASIL LAUT DAN BANYAK LAGI

Himpunan botol sos pencicah berjenama Wanie
Apa yang ada di kedai Nur Alya Keropok Lekor? Kebanyakannya produk dan makanan hasil laut macam yang kita boleh dapatkan di Pasar Siti Khadijah dan Pasar Payang — antaranya kerepek pisang, kacang, cencaluk, budu, gula melaka, biskut dan pelbagai jenis keropok ikan.

Keropok lekor pula boleh beli yang sejuk beku, direbus panas, ataupun digoreng rangup. Penulis lebih sukakan keropok lekor yang digoreng berbanding direbus — lebih mudah dimakan, tak berlendir dan kurang berlengas.

Harga keropok lekor dan losong di kedai Nur Alya Keropok Lekor
Kalau beli keropok lekor yang direbus atau sejuk beku untuk digoreng di rumah sekalipun, tak sama dengan yang digoreng di kedai. Selalunya yang digoreng di kedai lebih sedap berbanding yang penulis goreng sendiri.

KEROPOK LEKOR GORENG

Keropok lekor goreng bersama sos keju
Jadi, kalau kedai yang penulis pergi ada jual keropok lekor yang siap digoreng — macam di SSAJE dan Nur Alya — penulis akan cuba walaupun dah beli yang direbus atau sejuk beku.

Di Nur Alya Keropok Lekor, penulis pesan keropok lekor goreng dengan sos keju. Bagi penulis, lebih baik tak dicampurkan dengan sos keju untuk elakkan rasa muak selepas keropok lekor menjadi sejuk.

Keropok lekor yang digoreng di kedai
Salah satu sebab kenapa keropok lekor yang digoreng di kedai tak sama dengan yang penulis goreng, di sebahagian kedai keropok lekor akan diuli bersama dengan tepung — tak pasti jenis apa, mungkin tepung sagu — sebelum digoreng tanpa direbus terlebih dahulu.

Mungkin ada jenis keropok lekor sejuk beku yang sesuai digoreng untuk dapatkan bahagian luar yang rangup sama macam beli di kedai, cuma penulis tak pandai pilih atau ada langkah-langkah tambahan yang perlu dibuat sebelum digoreng di rumah.

Keropok lekor keju sejuk beku berjenama Nur Alya Keropok Lekor, NAKL
Di sini ada juga keropok lekor keju, lada hitam dan bawang yang dijual secara sejuk beku. Cuma penulis, secara peribadi; kurang berminat dengan keropok lekor keju — selalunya dalam bentuk bebola — sebab susah nak dapat yang betul-betul sedap.

Ini kali kedua atau ketiga penulis singgah di Nur Alya Keropok Lekor. Tak semestinya singgah di sini untuk beli keropok lekor, ada banyak lagi barang lain yang boleh dibeli untuk dijadikan buah tangan.

azizinet00 | Hari3aku

Post a Comment

To Top