Pasar Payang dengan Sentuhan dan Wajah Baharu. Lebih Bersih, Kemas dan Teratur.

Memandangkan dah lama tak ke Kuala Terengganu, penulis mengaku yang penulis tak sedar pun yang Pasar Besar Kedai Payang, atau lebih dikenali sebagai Pasar Payang telah dirobohkan tahun lepas.

Para peniaga juga telah dipindahkan ke bangunan baharu di lokasi yang tidak jauh dari tapak Pasar Payang yang lama. Keputusan pemindahan ini telah menerima respon yang pelbagai disebabkan oleh status pasar tersebut yang cukup ikonik kepada negeri Terengganu.

Penulis tak tahu apa tujuan sebenar pasar yang telah bertapak selama 51 tahun itu dirobohkan, tetapi Pasar Payang yang baharu kelihatan agak kemas dan bersih dengan pencahayaan yang cukup baik.

Parkir yang disediakan juga agak luas, dari sini juga boleh nampak Jambatan Angkat Kuala Terengganu, salah satu lagi tarikan baharu di Kuala Terengganu. Walaupun parkir luas, dinasihatkan untuk datang sebelum tengah hari pada hari cuti.

Perjalanan dari parkir berhadapan Jeti Shahbandar ke pasar hanya memakan masa 5 minit. Di hadapan Pasar Payang ada gerai-gerai yang menjual makanan, minuman dan permainan.

Kalau rasa lapar, selain daripada medan selera yang menjual makanan yang lebih berat; boleh juga cari makan minum di bahagian hadapan ni. Rojak buah pun ada, bolehlah makan sementara menunggu orang habis membeli-belah.

Kalau korang rasa jauh nak ke Kelantan untuk dapatkan serunding, singgah je di Pasar Payang. Boleh dapatkan serunding daging dengan harga serendah RM 7 setiap 100 gram. Terpulanglah nak beli dari kakak atau abang.

Di bahagian dalam pasar juga boleh dapatkan makanan kering dan kain yang murah-murah. Disebabkan persaingan yang banyak, ramai peniaga akan mula turunkan harga masing-masing untuk memikat hati pelanggan.

Memang cantik corak dan warna batik yang ada, boleh dapatkan dengan harga serendah RM 15 sehelai je. Bolehlah beli lebih untuk bagi ke kawan atau jiran. Selalunya batik yang dihasilkan dengan cara moden jauh lebih murah berbanding batik yang dihasilkan secara tradisional.

Dah penat membeli-belah, berehat sekejap di medan selera. Disebabkan kita tak dibenarkan untuk duduk berehat tanpa makan minum di medan selera ni, pesanlah apa-apa. Mi celup ke, nasi ayam ke, nasi air ke.

Untuk mengelakkan sebarang isu, digalakkan korang pesan juga makanan atau minuman dari kedai yang berhadapan dengan meja yang korang duduk. Mungkin tu cara orang di Terengganu kut, ada peniaga yang tegur penulis sebab tak pesan dari gerai dia walaupun duduk di meja berhadapan gerai dia.

Kisahnya waktu penulis ada di meja, dia sibuk dengan kerja lain, peniaga gerai sebelah yang datang ke meja ambil order dulu. Sebagai pengunjung kali pertama yang agak naif, memang tak tahu macam mana sistem atau SOP medan selera di Pasar Payang yang baharu ni.

Barang semua dah beli, perut pun dah kenyang jadi bolehlah balik. Tapi sebelum balik, penulis singgah untuk beli lokching, antara makanan kegemaran penulis. Paling suka sosej keju dan pulut.

Jadi macam mana Pasar Payang yang baharu ni? Bagi penulis agak kemas, bersih dan teratur. Selain itu, rekaannya yang tidak bertingkat menjadikannya lebih mesra pengunjung, sangat penting untuk pengunjung yang berumur, ada masalah belakang dan kelainan upaya.

Walaupun demikian, tak dapat dinafikan juga bahawa Pasar Payang yang lama mempunyai nilai sejarah dan sentimental yang jauh lebih tinggi, menjadikannya lebih dirindui dan dekat di hati mereka yang pernah ke Kuala Terengganu suatu masa dahulu.

Post a Comment

To Top