Cara ke Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur, PBAKL (PWTC) Dengan Pengangkutan Awam LRT/MRT/KTM

Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur
Kementerian Pendidikan Malaysia, melalui Majlis Buku Kebangsaan Malaysia; saban tahun akan menganjurkan Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) yang bertempat di PWTC.

Seorang pencinta buku, "bibliophile" mesti tahu betapa meriahnya PBAKL. Tak terhad kepada menjual buku, di PBAKL juga diadakan pelancaran buku, sesi bertemu penulis, seminar, dan aktiviti-aktiviti lain.

Jadi tak peliklah apabila setiap kali diadakan Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur, PWTC akan sesak dengan pengunjung dari pelbagai latar belakang, jantina dan umur.

Ke PBAKL dengan LRT/MRT/KTM

Klik gambar di atas untuk paparan yang lebih besar

Kalau taknak terperangkap dalam trafik yang sesak, sangatlah digalakkan untuk datang ke Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur dengan pengangkutan awam seperti LRT, MRT dan KTM.

Untuk ke PBAKL kita perlu berhenti di stesen LRT PWTC ataupun stesen KTM Putra. Jarak antara PWTC dengan stesen LRT PWTC adalah lebih dekat (140 meter) berbanding KTM Putra (450 meter).

Stesen KTM Putra merupakan stesen pertukaran, dan memandangkan KTM cuma ada dua laluan, laluan Batu Caves - Pulau Sebang dan laluan Tg Malim - Pelabuhan Klang; kita boleh ke stesen Putra daripada mana-mana stesen KTM yang ada.

Tetapi kalau kita datang dengan LRT atau MRT, ada beberapa perkara yang kita perlu tahu.

LRT: Laluan Ampang dan Sri Petaling

Peta LRT laluan Ampang dan Sri Petaling
Untuk pergi ke stesen LRT PWTC, kita perlu menaiki LRT laluan Ampang atau Sri Petaling. Jadi kalau kita naik LRT laluan Kelana Jaya, ataupun MRT laluan Kajang atau Putrajaya, kita perlu cari stesen pertukaran.

Penulis tak galakkan untuk buat penukaran dari LRT/MRT ke KTM sebab waktu menunggu KTM agak lama. Cuma perlu buat penukaran dari LRT/MRT laluan lain ke LRT laluan Ampang atau Sri Petaling.

Dari LRT Laluan Kelana Jaya

Stesen Pertukaran ke LRT laluan Ampang atau Sri Petaling
Dari LRT laluan Kelana Jaya, ada dua stesen pertukaran ke LRT laluan Ampang atau Sri Petaling. Kita boleh ke stesen LRT Putra Heights ataupun stesen LRT Masjid Jamek untuk tukar laluan LRT.

Penulis nasihatkan untuk buat pertukaran di stesen LRT Masjid Jamek untuk jarak dan masa perjalanan yang lebih pendek.

Dari MRT Laluan Kajang

Stesen MRT Kwasa Sentral
Dari MRT laluan Kajang pula, ada dua stesen pertukaran. Stesen pertukaran pertama di stesen MRT Merdeka yang bersambung dengan stesen LRT Plaza Rakyat. Keduanya stesen MRT Maluri yang bersambung dengan stesen LRT Maluri.

Boleh lakukan pertukaran dari stesen MRT Merdeka ke stesen LRT Plaza Rakyat, kemudian terus menuju ke stesen LRT PWTC.

Dari MRT Laluan Putrajaya

Ada tiga stesen pertukaran ke LRT laluan Ampang atau Sri Petaling dari MRT laluan Putrajaya, iaitu stesen MRT Sungai Besi, stesen MRT Chan Sow Lin dan stesen MRT Titiwangsa.

Boleh buat pertukaran laluan di stesen MRT Titiwangsa kalau datang dari arah Kwasa Damansara, ataupun di stesen MRT Chan Sow Lin kalau datang dari arah Putrajaya.

Gunakan PULSE dan Moovit

Aplikasi PULSE Prasarana
Untuk dapatkan perincian tentang jarak, masa, tambang dan butiran perjalanan boleh gunakan aplikasi PULSE yang disediakan oleh Prasarana. Cuma perlu letak stesen permulaan dan pengakhiran.

Aplikasi PULSE juga boleh digunakan untuk mendapatkan cadangan perjalanan menggunakan bas atau campuran antara bas dengan LRT/MRT/Monorel. Kalau PULSE tak memenuhi citarasa, boleh cuba juga aplikasi Moovit.

Selamat Sampai

Sangat mudah untuk ke Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur menggunakan pengangkutan awam, khususnya LRT. Yang penting kita perlu tahu stesen dan laluan permulaan, stesen pertukaran, dan cara nak ke stesen LRT PWTC atau KTM Putra.

Kepada semua "bibliophile", semoga selamat sampai ke PBAKL.

azizinet00 | Hari3aku

Post a Comment

To Top