Pizza Jangok Mek Ani: Pizza Lembut dan Gebu Terkenal di Ayer Lanas, Kelantan

Kotak Pizza Jangok Mek Ani
Walaupun Kelantan terkenal dengan makanannya seperti nasi kerabu, laksam, mi celup, dan nasi dagang. Tak salah pun untuk kita cuba makanan lain, walaupun makanan tersebut bukan berasal dari Kelantan.

Contohnya macam air kopi di Life Story, ataupun pizza yang penulis makan di restoran Pizza Jangok Mek Ani yang terletak bersebelahan Lebuhraya Timur Barat di Kampung Chedok, antara Kampung Bukit Nangka dan Ayer Lanas di Kelantan.

Pizza Jangok Mek Ani

Restoran Pizza Jangok Mek Ani ketika malam
Kalau dalam perjalanan dari timur ke barat, restoran Pizza Jangok Mek Ani terletak di sebelah kiri jalan. Cuma 3 kilometer dari kedai Nur Alya Keropok Lekor di Bukit Bunga.


Alamat: Kampung Chedok, 17700 Ayer Lanas, Kelantan
Waktu: Khamis - Selasa (11AM - 10PM)

Pelanggan di ruang makan dalam restoran
Ruang makan dalam restoran luas dan dilengkapi pendingin hawa. Dari jalan pun dah boleh nampak restorannya yang berwarna kuning dengan papan tanda kedai bertulis Pizza Jangok Mek Ani.

Sehingga 12 Jenis Pizza

Pizza seafood dan mixtaste
Ada dalam 12 jenis pizza di sini, antaranya pizza daging, ayam, tuna, dan seafood. Menu istimewa lain yang ada di sini pula antaranya pizza tora, tomyam, dan d'raja.

Harga pizza, tanpa tambahan topping ataupun keju ekstra; antara RM14 ke RM28. Saiznya 10 inci boleh dipotong 8, lebih 1 inci berbanding pizza bersaiz regular di Domino's dan Pizza Hut.

Pizza seafood dan mixtaste yang penulis makan lembut dan gebu walaupun dah sejuk. Berbeza dengan pizza cara new york Domino's, pizza di sini lebih tebal dengan kerak seperti roti.

Pizza Seafood

Pizza seafood dengan filamen ketam dan udang
Bahan utama untuk pizza seafood ialah filamen ketam dan udang yang disiap kupas kulitnya. Sos yang digunakan sebagai asas ialah sos tomato, dan di atasnya diletakkan sedikit cili benggala dan oregano.

Pizza Mixtaste

Pizza mixtaste dengan empat topping berbeza
Pizza mixtaste pula campuran antara pizza seafood, pepperoni ayam, serunding, dan satu topping, penulis kurang pasti apa; yang dipenuhi sos keju. Cuma pepperoni dah habis, digantikan dengan sosej ayam.

Sesuailah dengan namanya "jangok", dialek Kelantan yang bermakna cantik. Setiap topping disusun dengan baik, saiz potongan setiap kepingan juga sekata, dan kejunya meleleh ketika panas.

Pizza dengan keju meleleh
Walaupun pizza mixtaste antara best seller di Pizza Jangok Mek Ani, penulis lebih sukakan pizza seafood. Penulis kurang gemar dengan pizza serunding, macam tak ada beza dengan roti serunding.

Harga di Pizza Jangok Mek Ani

Papan harga di restoran Pizza Jangok Mek Ani
Berikut merupakan senarai harga pizza bersaiz 10 inci di restoran Pizza Jangok Mek Ani sebelum ditambahkan topping atau keju extra:

Pizza Harga (RM)
Daging 19
Ayam 17
Seafood 20
Tuna 18
Tora Ayam 20
Tomyam Ayam 18
Tomyam Seafood 22
Meatball 20
MixTaste 28
Pepperoni Ayam 20
D'Raja 24
Manja 14

Untuk setiap pizza, boleh tambah RM3 untuk tambahan keju mozzarella.

Berbeza Dengan Pizza Itali

Kaunter pesanan Pizza Jangok Mek Ani
Pizza secara aslinya mempunyai kerak yang lebih nipis, sedikit rangup di hujung kerak, dengan tekstur yang lebih kenyal. Pizza di sini pula lembut seperti roti, sangat sesuai untuk kanak-kanak dan orang tua.

Sejujurnya penulis lebih sukakan pizza yang sedikit kenyal dan lebih nipis, cara new york seperti di Domino's. Mungkin sebab penulis nak makan lebih banyak keping sebelum mula rasa kenyang.

Bagi penulis, menu di Pizza Jangok Mek Ani lebih kreatif berbanding di tempat lain yang menyediakan pizza yang hampir sama. Lebih menarik kalau ada menu bermusim seperti pizza ayam percik, rendang ayam, atau itik serati.

Pizza sejuk beku pun ada, cuma perlu bakar selama 20 minit pada suhu 180 darjah celsius menggunakan oven. Untuk maklumat lanjut boleh ke laman Facebook Pizza Jangok Mek Ani.

azizinet00 | Hari3aku

Post a Comment

To Top