Mi Wantan dan Kuetiau Theng di The Mualaf Kopitiam, Georgetown
Perjalanan sepanjang Persiaran Gurney di Georgetown menyedarkan penulis betapa berbezanya Pulau Pinang sekarang dengan Pulau Pinang yang penulis kenal sewaktu kecil dulu setiap kali ke Padang Kota Lama melalui jalan yang sama.
Georgetown, sama seperti Melaka; menjadi mangsa kepada pembangunannya sendiri. Semakin banyak perumahan dan tarikan, semakin banyak penduduk dan kereta yang memenuhi dan menyesakkan jalan.
THE MUALAF KOPITIAM PERSIARAN GURNEY
Kalau datang luar daripada waktu puncak pada hari bekerja, lenganglah sedikit. Parkir pun banyak yang kosong di sepanjang jalan Persiaran Gurney, dapatlah penulis bersarapan atau brunch di The Mualaf Kopitiam.
Datang tak dirancang, penulis pun tak tahu apa yang ada sebelum sampai ke sini. Di bahagian luar ada gerai nasi lemak dan roti canai, tapi nasi lemak dah habis waktu penulis sampai — selepas 12 tengah hari.
Alamat: 63, Gurney Dr, Georgetown, 10250 George Town, Pulau Pinang.
Waktu: Isnin - Ahad (7am - 2pm).
Waktu: Isnin - Ahad (7am - 2pm).
Sebagai tempat sarapan, The Mualaf Kopitiam cuma beroperasi sehingga 2 petang. Tapi, kedai ni juga dibuka pada waktu lewat petang sehingga malam sebagai sebuah restoran steamboat and grill.
Kalau datang ke kopitiam, selalunya orang akan makan roti bakar telur goyang atau nasi lemak bersama kopi o. Tapi sebab penulis datang pun dah tengah hari rasanya lebih baik makan makanan yang lebih berat.
Jadi penulis pun pesanlah mi wantan, kuetiau theng dan air limau suam tanpa gula. Bolehlah penulis bandingkan dengan mi wantan dan kuetiau theng yang penulis makan di gerai lain sebelum ni.
MI WANTAN BERSAMA KEK IKAN ATAU TAUHU RANGUP
Dalam sepinggan mi wantan ada mi, sayur sawi, daun bawang, isi ayam yang dicarik dan kicap. Ada satu bahan yang penulis tak pasti apa, sama ada tauhu ataupun kek ikan yang digoreng — rangup dan sedap.
Rasa mi wantan lebih kurang sama dengan mi wantan yang penulis makan di Pasar Seberang Jaya, mungkin jenis mi dan kicap yang digunakan — walaupun lebih cair di sini — adalah sama.
Dalam sup yang penulis dapat bersama mi wantan ada seketul ladu atau dumpling seperti gyoza berintikan — apa yang penulis rasa seperti — isi ayam. Rasa supnya lebih kurang sup di kedai nasi ayam.
KUETIAU THENG
Kalau dibandingkan dengan kuetiau theng yang penulis makan di Gelugor, di sini rasanya kurang manis dan penyediaannya juga lebih ringkas. Isi ayamnya pun, sama macam mi wantan tadi; tak banyak.
Selain ayam, ada juga kek dan bebola ikan. Supnya pula ada cebisan-cebisan kecil bawang putih yang dicincang tapi tak digoreng. Penulis lebih suka kalau ada minyak bawang putih goreng.
ROTI PISANG
Alang-alang dah ada orang jual roti canai, penulis pun cubalah roti pisang. Tak ingatlah bila kali terakhir penulis makan roti pisang, tapi di sini penulis cuma dapat roti pisang tanpa sebarang kuah.
Memang macam tu ke? Mungkin orang Georgetown makan roti pisang macam makan crepe pisang. Cuma, kalau tak ada kuah sekalipun gantilah dengan nutella, susu pekat atau apa-apa yang manis.
Surprisingly, sedap juga makan roti pisang tanpa sebarang kuah. Rasanya lebih kurang pisang goreng atau popia pisang, kalau ditambah nutella atau biscoff rasanya akan sama dengan thai pancake.
KENA DATANG LEBIH AWAL
Rasa sup mi wantan dan kuetiau theng berbeza, rasa stok ayam pada sup mi wantan lebih kuat. Dari segi rasa, susah nak buat pilihan antara mi wantan dan kuetiau theng di sini sebab kedua-duanya sedap. Tapi dari segi harga, mi wantan lebih berbaloi.
Bagi penulis, mi wantan lebih sedap kalau gunakan ayam honey bbq atau char siu macam di OldTown dan Pasar Seberang Jaya. Kicapnya pula tak mudah melekat pada mi, mungkin bahannya perlu diolah.
Dari sini, tak akan nampak laut sebab ada kerja-kerja pembinaan Gurney Waterfront berhadapan dengan kedai. Cuma nampak orang yang sedang berjoging, kereta, pokok, beberapa jentera dan sebuah taman permainan kanak-kanak.
Kalau penulis bersarapan lagi di sini, mungkin lebih awal. Teringin juga nak makan nasi lemak, roti bakar arang telur leleh atau sarapan ala amerika macam yang tertulis pada papan di hadapan restoran.
Post a Comment