Mi Wantan dan Char Hor Fun Halal di Pasar Awam Seberang Jaya, Pulau Pinang

Sepinggan mi wantan
Ada berapa tempat yang penulis akan terus teringat bila sebut "mi wantan": RNR Tapah dan Old Town. Bila tulis blog ni, baru penulis perasan tak banyak tempat yang penulis ingat pernah makan mi wantan.

Dalam tahun ni, ada juga penulis makan mi wantan di medan selera The Portload, dan yang paling terbaru di medan selera Pasar Awam Seberang Jaya bersebelahan dengan Sunway Medical Centre Penang.

Kalau tak silap, semua peniaga di sini akan dipindahkan ke tapak yang baharu 500 meter dari tapak sekarang. Jadi selepas ni, cuma tak tahu bila; mungkin medan selera dah berpindah tempat.

WANTAN MEE PASAR SEBERANG JAYA

Pelanggan sedang menunggu makanan yang dibungkus di gerai Wantan Mee Pasar Seberang Jaya
Kalau bukan sebab video di YouTube dari Destinasi TV yang penulis tengok 11 bulan lepas, penulis pun takkan tahu tentang gerai mi wantan halal ni. Tambah pula, ini kali pertama penulis makan di medan selera Pasar Awam Seberang Perai.


Alamat: Pasar Awam Seberang Jaya, Jalan Todak/Lebuh Tenggiri 2, Seberang Jaya, 13700 Perai, Pulau Pinang.
Waktu: Rabu - Ahad (9am - 12pm).

Di gerai Wantan Mee Pasar Seberang Jaya, kita boleh dapatkan mi wantan, mi kari putih dan char hor fun. Cuma, mi kari hanya disediakan pada hari sabtu, dan char hor fun pula pada hari ahad.

Mi wantan special dengan char siew ayam
Kalau nak makan di sini, dapatkan dulu tempat duduk sebab makanan akan dihantar ke meja. Cuma meja agak terhad lebih-lebih lagi pada hujung minggu — melainkan korang selesa duduk di depan gerai lain.

MI WANTAN SPECIAL

Pandangan mi wantan bersama bahan-bahan dari atas
Dalam sepinggan mi wantan ada mi, kicap, dua keping wantan goreng, kek ikan, bebola ikan, sawi, dan cili potong. Kalau beli yang special akan ada tambahan ayam char siew.

Nampak ringkas, tapi antara mi wantan tersedap penulis pernah makan. Kicapnya tak terlalu masin, ada cili untuk rasa yang sedikit pedas, mi pula kenyal, dan rasa minyak bijannya tak terlalu kuat.

Penulis memang syorkan untuk pesan mi wantan special sebab ayam char siewnya memang sedap. Sedikit manis, rasa lebih kurang macam ayam barbeku madu — honey bbq — di kedai nasi ayam.

CHAR HOR FUN

Char hor fun yang menggunakan kuetiau dan bihun
Seingat penulis belum pernah lagi cuba makanan yang seakan-akan char hor fun, kalau pernah pun mungki cara penyediaannya berbeza. Sebabnya, di sini char hor fun menggunakan kuetiau dan bihun.

Rasa kuahnya seperti kuah ladna di kedai tomyam yang ditambahkan sedikit kicap tetapi kurang berkanji, lebih ceroi walaupun kuahnya juga menggunakan telur. Dalam sepinggan char hor fun ada seekor udang, bebola ikan, kek ikan, sawi dan sedikit cili potong.

Udang, bebola ikan, kek ikan dan sayur sawi pada char hor fun
Char hor fun atau wat tan hor juga dikenali sebagai Lad Na di Laos dan Thailand, jadi tak peliklah kalau rasa char hor fun hampir sama dengan kuetiau ladna.

RASA SEDAP, HARGA PUN MURAH

Dua pinggan mi wantan
Dari segi harga, memang murah — cuma RM5 untuk mi wantan special, RM4 untuk yang biasa. Char Hor Fun dan Mi Kari Putih pula RM4.50 — belum cuba lagi mi kari putih jadi tak dapat nak ulas.

Untuk yang tinggal di kawasan Seberang Jaya dan Perai, boleh pesan penghantaran secara percuma untuk hari Rabu sehingga Jumaat. Dengan syarat, minimum 5 bungkus dan pesanan dibuat sehari sebelum.

Sebolehnya, datanglah sendiri ke sini sebab ada banyak lagi pilihan makanan dan gerai. Antara makanan lain yang ada ialah cakoi, masala vadai, mi hokkien, char kuetiau dan sate.

azizinet00 | Hari3aku

Post a Comment

To Top