Khatam al-Quran dalam 30 Hari: Jenis-jenis Pembahagian dalam Mushaf Al-Quran

Image by Oltion Kola from Pixabay

Antara dua mushaf Al-Quran yang meluas penggunaannya ialah Mushaf Madinah dan Mushaf Ajmi. Selain daripada tanda bacaan dan waqaf, pada kedua-dua masahif ini juga terdapat tanda yang merujuk bahagian-bahagian dalam mushaf. Selain itu, kedua-dua masahif ini juga memperlihatkan penggunaan tanda dan kaedah pembahagian mushaf yang berbeza.


Pembahagian ini bukan sebahagian daripada mushaf al-Quran pada asalnya, tetapi kemudiannya ditambah untuk membantu hafalan dan pembacaan. Dengan adanya pembahagian tersebut, ia menjadi panduan bagi mereka yang hendak mengkhatamkan al-Quran dalam tempoh tertentu seperti seminggu atau sebulan.


Mesti ramai dah biasa dengan pembahagian dan tanda bagi pembahagian juzuk bukan? Dalam satu mushaf ada 30 bahagian yang dipanggil juzuk, tetapi pernah tak tahu pada setiap juzuk pula ada 2 bahagian yang dipanggil hizb, dan pada setiap bahagian hizb pula ada 4 bahagian yang dipanggil ruba' atau maqra'?


Mari kita lihat jenis-jenis pembahagian yang kita boleh lihat dalam kedua-dua mushaf.


Mushaf Madinah

Jenis Tanda
Juzuk: Mushaf Madinah boleh dibahagikan kepada 30 bahagian hampir sama panjang yang dipanggil sebagai juzuk. Panjang setiap juzuk lebih kurang 20 muka surat.
Hizb: Setiap juzuk pula dibahagikan kepada 2 bahagian yang dipanggil sebagai hizb. Ini bermakna akan ada 60 hizb dalam satu mushaf.
Ruba'/Maqra: Setiap hizb pula boleh dibahagikan kepada empat bahagian yang dipanggil ruba' atau maqra'. Ruba' ialah perkataan arab yang bermakna seperempat, dan ia ditandakan dengan simbol yang berupa bunga atau bintang yang dikenali sebagai rub 'el hizb, ۞.

Panjang setiap ruba' atau maqra' adalah lebih kurang dua setengah muka surat.

Ketiga-tiga pembahagian tadi, iaitu Juzuk, Hizb, dan Ruba' adalah bersifat kuantitatif. Bermaksud, pembahagian dilakukan dalam keadaan setiap bahagian mempunyai panjang yang hampir sama — masa yang diperlukan untuk membaca setiap satu hizb atau juzuk juga hampir sama.


Dari contoh di atas, kita boleh lihat tanda ruba' pada permulaan ayat 75 surah al-Kahf. Tanda ini merujuk kepada permulaan bagi juzuk yang ke 16, hizb yang ke 31. Kedudukan juzuk juga dicatat pada bahagian atas kanan setiap muka surat.


Mushaf Ajmi

Jenis Tanda
Manzil: Mushaf al-Quran boleh dibahagikan kepada 7 manzil yang terdiri daripada pelbagai surah. Walaupun mushaf madinah juga boleh dibahagikan mengikut manzil, rujukan manzil tidak digunakan pada mushaf madinah. Pada mushaf Ajmi pula, kedudukan manzil ditulis pada muka surat mushaf
Juzuk: Sama seperti pada mushaf Madinah, mushaf Ajmi juga boleh dibahagikan 30 kepada juzuk, juga dikenali sebagai siparah atau para dalam bahasa parsi dan urdu.

Walaupun mushaf Madinah dan Ajmi mempunyai perbezaan dari segi jumlah muka surat dan bilangan garis pada setiap muka surat, permulaan setiap juzuk bagi kedua-dua mushaf adalah pada ayat yang sama.
Juzuk pada mushaf Ajmi tidak dibahagikan kepada hizb atau ruba', tetapi juzu' pada mushaf Ajmi dibahagikan kepada 4 menggunakan catatan seperti ruba', nisf, dan thalathah masing-masing merujuk kepada \(\frac{1}{4}\), \(\frac{1}{2}\), dan \(\frac{3}{4}\) daripada bahagian juzuk.
Ruku': Kalau hizb dan ruba' membahagikan mushaf dari segi kuantiti, ruku' pula merupakan pembahagian yang dilakukan berdasarkan tema. Bilangan ruku' pada mushaf adalah berbagai bergantung pada pandagan ulama. Walaupun demikian, bilangan ruku' yang ada pada mushaf Ajmi ialah 558.

Ruku' ditandakan pada mushaf menggunakan huruf 'ayn'. Nombor di bahagian atas, pertengahan dan bawah tanda ruku' masing-masing merujuk kepada bilangan ruku' yang telah dihabiskan dalam surah yang sama, bilangan ayat pada ruku' yang baru sahaja selesai, dan bilangan ruku' yang telah dihabiskan dalam juzuk yang sama.

Tanda ruku' tidak boleh dijumpai dalam mushaf Madinah, hanya pada mushaf Ajmi. Tujuan ruku' adalah untuk memastikan pembacaan al-Quran dimulakan dan dihentikan pada ayat yang lebih sesuai bergantung pada tema dan penceritaan. Perkataan ruku' diambil dari perbuatan ruku' dalam solat, bersesuaian dengan tujuan ruku' sebagai tempat untuk menghentikan bacaan dalam solat sebelum ruku'.


Dari contoh di atas, kita boleh lihat bahawa juzuk 16 bermula pada ayat 75 surah al-kahf sama seperti pada mushaf Madinah. Bezanya pada mushaf Ajmi tiada tanda ruba' atau maqra', dan tiada tanda untuk permulaan juzuk. Permulaan juzuk dicatat menggunakan perkataan, dan pada bahagian atas kanan setiap muka surat pula tercatat perkataan pertama untuk setiap juzuk. Dari catatan tersebut kita boleh lihat bahawa juzuk 16 bermula dengan perkataan "qala alam", manakala juzuk 15 pula bermula dengan perkataan "subhanalladzi".

Dari contoh yang sama juga kita boleh lihat tanda ruku' pada penghujung ayat ke 70, dari tanda ruku' yang berada di bahagian tepi pula kita boleh lihat bahawa ayat 70 merupakan pengakhiran bagi ruku' yang ke 9 dalam surah al-Kahf, ruku' tersebut mempunyai 11 ayat, dan merupakan ruku' yang ke 21 dalam juzuk 15.


Cara Khatam al-Quran dalam 30 Hari


Photo by Olya Kobruseva from Pexels

Untuk mengkhatamkan al-Quran dalam masa 30 hari, kita perlu membaca sebanyak 1 juzuk sehari. Dengan mushaf Madinah, maksudnya kita perlu baca sebanyak 8 ruba' atau maqra' pada setiap hari. Untuk habiskan 8 ruba', kita boleh membaca 2 ruba' pada waktu subuh, zuhur, asar, dan isyak. Setiap 2 ruba' panjangnya lebih kurang 5 muka surat, dan boleh dihabiskan dalam masa 15 ke 20 minit.

Kalau gunakan mushaf Ajmi, boleh baca \(\frac{1}{4}\) juzuk untuk setiap bacaan, maknanya untuk bacaan pertama kita boleh baca sehingga catatan ruba', bacaan kedua sehingga nisf, bacaan ketiga sehingga thalathah, dan bacaan ke empat sehingga bertemu juzuk seterusnya.

Mudah bukan? Kuncinya hanyalah istiqamah. Kalau kita boleh luangkan masa sebanyak sejam ke sejam setengah secara konsisten setiap hari untuk membaca al-Quran, dengan mudah kita akan dapat khatamkan al-Quran dalam masa sebulan.

Post a Comment

To Top