Mushaf al-Quran: Mushaf Madinah dan Mushaf Ajmi

Sebagai rakyat Malaysia beragama Islam, kita dibesarkan dengan mushaf Al-Quran yang menggunakan penulisan rasm Uthmani. Mushaf dari segi harfiahnya bererti lembaran atau helaian, manakala pada konteks al-Quran pula merujuk kepada salinan al-Quran.


Terdapat beberapa jenis mushaf al-Quran. Walaupun setiap mushaf mempunyai gaya penulisan yang berbeza, jumlah surah dan ayat pada setiap mushaf adalah sama, iaitu 114 surah dan 6236 ayat.


Mushaf Madinah

Ada dua masahif yang kita biasa jumpa di Malaysia, iaitu mushaf Madinah dan mushaf Ajmi (juga dikenali sebagai mushaf Indo-Pak, Urdu, atau Parsi) yang merujuk kepada gaya penulisan mushaf. Ajmi diambil dari perkataan ajam merujuk kepada orang-orang Parsi.


Mushaf Madinah yang ditulis oleh seorang penulis tunggal — ahli kaligrafi — Syeikh Uthman Taha kelahiran Aleppo, Syria mempunyai gaya penulisan yang lebih dekat kepada golongan Arab. Mushaf Madinah juga mempunyai empat versi mengikut riwayat Hafs, Warsh, ad-Duri, dan Qalun.


Mushaf Ajmi


Mushaf Ajmi pula, mempunyai gaya penulisan yang memudahkan pembacaan golongan bukan arab kerana ia ditulis untuk dibaca dengan satu gaya bacaan sahaja iaitu gaya bacaan dari riwayat Hafs, dan ia juga mempunyai lebih banyak tanda bacaan berbanding mushaf Madinah. Mushaf Ajmi digunakan secara meluas di negara-negara asia selatan seperti Iran, Pakistan, dan India.


Perbandingan Mushaf

Walaupun kedua-dua masahif ini menggunakan penulisan rasm Uthmani, kedua-dua masahif ini mempunyai perbezaan dari segi diakritik atau tanda bacaan. Gaya penulisan pada mushaf Ajmi juga lebih tebal dan besar berbanding gaya penulisan pada mushaf Madinah yang lebih halus. 


Selain daripada itu, kedua-dua masahif ini juga mempunyai cara pembahagian yang tersendiri. Mushaf Madinah contohnya, menggunakan pembahagian seperti juzuk, hizb, dan ruba' atau maqra. Manakala mushaf Ajmi pula menggunakan pembahagian seperti manzil, juzuk atau para, dan ruku'.


Pembahagian ini dilakukan bagi membantu hafalan dan bacaan. Contohnya, untuk menghabiskan bacaan al-Quran dalam masa 30 hari, boleh gunakan pembahagian juzuk. Untuk menghabiskan bacaan dalam masa 7 hari, boleh gunakan pembahagian manzil.


Sekarang, kebanyakan mushaf yang dijual di Malaysia ialah mushaf Madinah mengikut riwayat Hafs 'an Asim. Mushaf Ajmi, contohnya cetakan al-Quran Majeed tidak lagi digalakkan penjualan dan penggunaannya sebagai satu usaha untuk menyeragamkan penggunaan, pembelajaran dan pembacaan mushaf al-Quran.

Post a Comment

To Top