Dari Bandar Hilir ke Tanjung Bidara Melalui Pantai-Pantai di Melaka

Mainan di atas pasir tepi pantai
Ada beberapa pantai di Melaka yang terkenal dengan orang luar, antaranya — mengikut turutan dari selatan ke utara — Pantai Klebang, Pantai Puteri atau Kundor, Pantai Tanjung Bidara dan Pantai Pengkalan Balak.

Kalau balik ke Selangor dari bandar Melaka menggunakan jalan belakang, boleh lalu kesemua pantai tadi sebelum sampai ke Port Dickson. Dari Port Dickson, boleh teruskan melalui Morib, PLUS atau LEKAS.

Pantai Klebang Sekarang Bukanlah yang Dulu

Pantai Klebang sekarang selepas pembukaan Dataran 1 Malaysia
Dah banyak yang berubah di Pantai Klebang sejak ditambak. Ada 3 ke 4 medan selera bersebelahan bulatan — berdekatan Dataran 1 Malaysia — di Jalan Klebang Besar/Klebang Kecil, belakang medan selera tu la sempadan lama Pantai Klebang.

Sekarang kalau nak ke Pantai Klebang kena keluar sedikit dari jalan utama. Sejak ditambak dah macam tempat rekreasi, ada Muzium Kapal Selam, litar go-kart, dan tempat bermain ATV.

Muzium Kapal Selam
Pantai Klebang terkenal sebagai tempat pelancong, jadi memang ramai kalau datang pada waktu cuti. Selalunya penulis akan langkau tempat ni dan teruskan perjalanan ke Pantai Puteri.

Hasil Laut di Pantai Puteri

Pelanggan sedang memilih udang di Pasar Nelayan Pantai Puteri
Singgah di Pantai Puteri tak lama. Tengok hasil laut di Pasar Nelayan Pantai Puteri, kemudian lepak sekejap makan makanan yang dibeli dari gerai tepi jalan sambil tengok laut, lepas tu boleh sambung perjalanan.

Kalau nak berkelah, Pantai Puteri lebih panjang berbanding Pantai Klebang. Cuma Pantai Klebang nampak lebih baru dan bersih, ada lebih banyak gerai makanan, dan lebih banyak aktiviti nak dibuat.

Ikan tongkol di Pasar Nelayan
Perjalanan dari Pantai Puteri ke Pantai Tanjung Bidara mengambil masa antara 30 minit ke 1 jam. Sebelum ke Abadi Chalet — tempat penulis bermalam — sempat singgah makan di restoran Asam Pedas Zink.

Antara Tanjung Bidara dan Pengkalan Balak

Pemandangan matahari terbenam di Tanjung Bidara
Tempat yang penulis pergi ni bukanlah betul-betul di Pantai Tanjung Bidara, tapi di tengah-tengah antara Pantai Tanjung Bidara dan Pantai Pengkalan Balak. Tak banyak pilihan yang ada bila rancang percutian di saat akhir.

Banana boat sedang mengambil penumpang
Tapi, penulis rasa ok juga tempat ni sebab tak ramai orang. Tak dinafikan Pantai Pengkalan Balak nampak lebih menarik dan chalet pun lebih banyak, cuma orang lebih ramai, dan jalannya agak sempit dan sehala.

Botol terpakai yang terdampar di pantai
Walaupun tak jauh dengan chalet, pantainya yang sedikit sempit tak berapa sesuai untuk berkelah. Kalau nak mandi rasanya tak ada masalah, sekali sekala ada juga banana boat dari arah Pantai Pengkalan Balak datang.

Benteng Pemecah Ombak
Nak memancing di tepi pantai atau atas benteng pemecah ombak pun boleh — permukaan atas benteng agak rata, boleh jalan dengan selamat. Tak tahulah ikan apa yang orang dapat memancing di sini.

Cari Makan Sehingga ke Masjid Tanah

Nasi lemak daun pisang dengan sambal dan telur
Ada beberapa tempat makan di lorong yang sama dengan Abadi Chalet. Di sebelah utara ada warung yang menjual nasi lemak dan mi kari untuk sarapan, di sebelah selatan ada kedai ikan bakar dan warung menjual lempeng dan masakan panas untuk makan petang dan malam.

Selain daripada warung tadi, boleh juga ke restoran Asam Pedas Zink untuk bersarapan. Tak pasti apa yang ada untuk sarapan di Asam Pedas Zink seawal 7 pagi, mungkin roti canai.

Ayam gril atau panggang The Tokyo Burger Masjid Tanah
Kalau nak cari makan jauh sikit boleh ke Taman Bidara Permai (4 km) atau Pekan Masjid Tanah (10 km). Untuk makan malam penulis cuba burger ayam di restoran The Tokyo Burger di Masjid Tanah.

Tak terfikir pula nak makan di kedai ikan bakar bersebelahan chalet walaupun pemandangannya cantik, sebab dah biasa makan ikan bakar di Pernu atau Alai kalau ke Melaka.

Semangkuk mi kari berisikan ayam dan tauhu
Secara keseluruhannya, untuk bersantai dan berehat sangat ok tinggal di sini. Tapi kalau nakkan pantai yang lebih luas dan tak kisah orang ramai, carilah chalet yang betul-betul di pantai Tanjung Bidara atau Pengkalan Balak.

Singgah Makan Durian

Durian XO Port Dickson
Dalam perjalanan balik ke Selangor melalui jalan belakang, sempat singgah makan di sebuah gerai durian sebelum sampai di pantai Port Dickson. Katanya durian XO, adik beradik kepada D24. Waktu ni dah hujung-hujung musim jadi harganya pun tinggi sikit.

Isi durian XO yang gebu
Warna isi tak terlalu kuning, lebih pucat berbanding Musang King. Tapi isinya berlemak, dengan rasa manis yang sedikit pahit dihujung lebih kurang D24. Kalau ada yang pakar tentang durian, boleh komen sikit beza XO dengan D24.

azizinet00 | Hari3aku

Post a Comment

To Top