Santuari Ikan Air Tawar di Tasik Timah Tasoh, Perlis
Ini kali kedua penulis ke empangan atau Tasik Timah Tasoh. Untuk tasik berkeluasan 20 kilometer persegi, sangatlah rugi kalau tak diusahakan sebagai tarikan pelancongan di Perlis.
Yang penulis tahu, ada tiga tempat yang pelancong akan lawat kalau datang ke Tasik Timah Tasoh. Berhadapan Tasoh Lake Resort, Dataran Empangan Timah Tasoh, dan Santuari Ikan Air Tawar.
Santuari Ikan Air Tawar Timah Tasoh
Sebelum ni dah pernah pergi dan bergambar di kawasan tasik berhadapan Tasoh Lake Resort, kali ni penulis ke Santuari Ikan Air Tawar Timah Tasoh pula untuk tengok apa aktiviti menarik yang ada.
Alamat: Lorong Kesinai 1, Empangan Timah Tasoh, 02100 Kangar, Perlis.
Jarak perjalanan dari Tasoh Lake Resort atau Dataran Empangan Timah Tasoh ke Santuari Ikan Air Tawar cumalah 2 kilometer — dalam 3 ke 5 minit kalau jalan tak sesak. Tak rugi datang ke sini untuk lengkapkan percutian di Perlis.
Beri Makan Ikan
Dah nama pun Santuari Ikan Air Tawar, mestilah ada ikan air tawar. Cuma, penulis tak tahulah berapa jenis ikan yang ada sebab yang penulis nampak, daripada warna ekornya yang jingga bergarisan hitam; cumalah ikan lampam.
Walaupun ada kawasan berpagar yang nampak seperti kolam, setahu penulis sebenarnya tak bersangkar pun. Ikan lampam yang ada di sini liar, banyak, dan bergerak bebas.
Kalau nak berikan makanan kepada ikan lampam, boleh beli dedak di sini. Ikan lampam di Santuari Ikan Air Tawar ni agak agresif berebut makanan, lebih agresif berbanding ikan keli di Floating Market JPS Perlis.
Ronda Tasik Timah Tasoh
Di Santuari Ikan Air Tawar, kita boleh sewa satu bot ronda untuk pusing sekitar Tasik Timah Tasoh. Harga sewa satu bot ialah RM50 untuk bersiar-siar selama sekurang-kurangnya 30 minit.
Asalnya satu bot cuma dibenarkan 6 ke 8 orang, tapi kalau datang lebih ramai termasuk kanak-kanak masih boleh berunding sebab saiz botnya besar juga. Yang penting sentiasa pakai jaket keselamatan.
Bot akan berhenti di sebuah tempat bergambar, kawasan tasik yang dipenuhi pucuk setangki atau kangkung puteri, dan berlatarbelakangkan Bukit Chabang Mari — satu lagi tarikan di Perlis.
Gunung yang kita nampak sepanjang menaiki bot pula adalah sebahagian daripada sempadan antara Malaysia dan Thailand. Berhampiran kaki gunung tersebut ada tarikan lain seperti Gua Kelam, Taman Anggur Perlis, Taman Eko Rimba Bukit Ayer, dan Taman Negeri Perlis.
Pekasam Santuari Timah Tasoh
Ikan-ikan di Tasik Timah Tasoh ni juga dijadikan pekasam, siapa yang suka pekasam bolehlah beli di sini. Antara pilihan pekasam yang ada, bergantung pada musim; ialah ikan lampam, bongkok, belida dan tilapia.
Memang sedap kalau pekasam digoreng dengan bawang dan sedikit cili, tambah pula dimakan waktu panas dan beras gorengnya masih rangup. Lebih suka ikan sepat, tapi waktu penulis pergi cuma ada ikan bongkok.
Setiap pek pekasam seberat 250 gram cuma RM5.
Ikan Yang Dilarang Dilepaskan
Ada satu papan menunjukkan gambar dan jenis ikan yang dilarang dilepaskan di perairan umum. Walaupun ada ikan yang penulis biasa tengok di sungai, tetap dilarang sebab sifat spesisnya yang invasif.
Antaranya arapaima, flower horn, baung ekor merah, tilapia, peacock bass dan keli afrika. Kalau dilepaskan, boleh mengurangkan atau menyebabkan kepupusan spesis asal di sesebuah kawasan.
Berkhemah, Memancing dan Berkayak
Selain meronda sekitar tasik, ada juga aktiviti lain seperti memancing, berkhemah dan berkayak. Perkhemahan dikenakan caj mengikut kepala, RM5 untuk dewasa dan RM3 untuk kanak-kanak.
Khemah boleh disewa pada harga RM30. Harga sewa bot pula, bagi yang nak memancing di tengah tasik; cuma RM40 untuk 3 pemancing. Kayak pula RM10 (single) atau RM15 (double) untuk 30 minit.
Untuk kanak-kanak, ada beberapa ekor arnab untuk diberi makan kangkung (RM1 seikat). Di Santuari Ikan Air Tawar juga ada beberapa kemudahan seperti kerusi meja, buaian, gazebo, tandas dan surau.
Yang suka berglamping tu bolehlah berkhemah dan bermalam di sini, kemudahan BBQ pun disediakan. Tempatnya pun strategik juga, terletak di tengah-tengah antara Kangar, Wang Kelian dan Padang Besar.
Kalau tak memasak, boleh beli daripada gerai-gerai yang ada. Penulis tak pasti restoran apa yang ada di sekitar kawasan ni sebab tempat makan yang penulis pernah pergi dan review semuanya di Padang Besar (Border Kitchen) dan Kuala Perlis (Warung Kak Eta dan Api Api Ikan Bakar).
Dah banyak yang berubah sejak kali terakhir penulis ke sini, sekarang nampak lebih ceria dan berwarna-warni. Kalau tak silap, ada sebuah platform baharu yang dibina ditengah-tengah tasik untuk dijadikan tempat persinggahan bot.
Untuk maklumat terkini tentang Santuari Ikan Air Tawar boleh ke laman Facebook Santuari Santuari.
Post a Comment