Udang Galah di Border Kitchen, Arked Niaga Padang Besar

5 ekor udang galah goreng bersama sos thai
Tak keterlaluan rasanya kalau penulis fikir semua orang yang ke Padang Besar, Perlis akan singgah membeli-belah, dan mungkin juga makan; di sekitar Arked Niaga Padang Besar.

Lagipun tempatnya terletak bersebelahan je dengan sempadan negara Thailand. Senang nak dapatkan makanan siam seperti pulut ayam, daging bakar danok, aiskrim kelapa, dan lokching.

Border Kitchen Padang Besar

Kaunter nasi bersama daging bakar atau tomyam udang galah
Kalau lapar, ada banyak gerai makanan berhampiran laluan ke Padang Waremart. Di bangunan Arked Niaga Padang Besar pula, ada sebuah tempat makan yang bernama Border Kitchen.


Alamat: Bahagian Selatan Arked Niaga Padang Besar, 02100 Padang Besar, Perlis
Waktu: Isnin - Ahad (9am - 5pm atau 6pm)

Kalau korang letak kereta di kawasan parkir berhampiran dengan Balai Bomba Padang Besar, akan nampak Border Kitchen di sebelah kanan dalam perjalanan turun ke Arked Niaga Padang Besar.

Antara makanan yang ada di Border Kitchen
Border Kitchen ni macam one-stop-center untuk dapatkan makanan siam seperti pulut ayam, daging bakar, bihun sup, kerabu kaki ayam, miang pla, lockhing dan tomyam.

Udang Galah Goreng

Kalau datang ke sini, jangan lupa cuba udang galah goreng. Rasanya, waktu penulis ke sana sebelum ni cuma Border Kitchen je jual udang galah goreng. Harganya antara RM8 ke RM12 seekor, atau RM25 untuk satu set.

Dalam satu set udang galah goreng, penulis dapat 5 ekor udang galah. Kalau bilangan udang yang kita akan dapat bergantung pada saiz udang, mungkin akan dapat 4 kalau saiznya lebih besar.

Set Nasi Putih dan Tomyam Udang Galah

Set nasi bersama telur dadar dan tomyam udang galah
Selain udang galah goreng, ada juga set nasi dan tomyam udang galah. Dalam set yang berharga RM15 ni, akan dapat nasi putih, tomyam dan telur dadar. Dalam tomyamnya pula ada udang galah dan ayam.

Jadi, yang sukakan tomyam boleh cuba set ni. Yang nak meratah bolehlah beli set udang galah goreng.

Kuetiau Sup Siam

Kuetiau sup siam bersama ayam dan bebola daging
Penulis dah lupa apa beza sup siam di Border Kitchen berbanding sup pada kuetiau celup di Kelantan. Rasanya macam lebih kurang, dari penampakan dan warnanya yang sedikit gelap pun hampir sama.

Dalam semangkuk kuetiau sup siam ada ayam, bebola daging, taugeh, dan daun sup. Sama macam tomyam tadi, untuk ayam penulis dapat bahagian kepak. Selain kuetiau, ada juga mi, bihun, maggi dan bubur.

Kepelbagaian Menu

Semangkuk daging bakar
Agak mustahil nak cuba kesemua menu yang ada di Border Kitchen kalau datang cuma beberapa orang. Untuk makanan yang lebih ringan, boleh cuba semangkuk daging bakar atau telur sotong, tanpa nasi.

Aiskrim kelapa bersama coklat dan kacang
Untuk pencuci mulut, boleh makan aiskrim kelapa. Bagi penulis, aiskrim kelapa di Border Kitchen lebih sedap berbanding yang penulis cuba sebelum ni di depan Padang Waremart.

Di atas aiskrimnya ada coklat dan kacang, jadi rasanya bertambah manis dan sedikit rangup. Kali ni tak ada jagung krim, tapi aiskrimnya dipersembahkan dengan lebih kemas.

Kaunter miang pla ikan tilapia
Harga makanan di Border Kitchen tak terlalu mahal, tapi bukan murah juga. Kalau dibandingkan dengan Kakroh Kitchen di Penaga, harga miang pla, nasi kaomok, kerabu maggi, dan pulut mangga adalah lebih mahal di Border Kitchen.

Tak pasti pula bagaimana kalau dibandingkan harganya dengan gerai makanan lain di sekitar Arked Niaga Padang Besar dan Padang Waremart. Bagi penulis, sebagai tempat tumpuan pelancong dari luar negeri harganya masih berpatutan.

Menu makanan di Border Kitchen Padang Besar
Dah sepuluh bulan sejak kali terakhir penulis ke Border Kitchen, mungkin harganya pun dah berubah sekarang. Waktu cuti, memang ramai akan datang ke Border Kitchen. Walaupun tempat duduknya banyak, kena menunggu juga untuk dapatkan tempat. Agak susah kalau kita datang beramai-ramai.

azizinet00 | Hari3aku

Post a Comment

To Top