Makanan Thai di Kakroh Kitchen Thai Street Food, Penaga: Jom Cuba Khao Mok Gai dan Miang Pla Pao.

Miang Pla Pao Kakroh Kitchen
Nak makan makanan siam tak perlu pun travel jauh sampai ke Padang Besar. Kalau nak ke Arked Padang Besar cuma untuk makan makanan siam, elok lupakan je sebab makanan yang sama kita boleh dapat di tempat lain.

Dulu, setiap kali nak makan makanan siam seperti ketam lembut, lokching, kerabu kaki ayam, dan pulut mangga, mesti kena tunggu ada karnival atau ekspo makanan siam.

Kakroh Kitchen: Thai Street Food

Warung Kakroh Kitchen
Sekarang tak perlu dah. Contohnya kalau korang berada di sekitar Penaga, Pulau Pinang boleh je ke Kakroh Kitchen: Thai Street Food yang berada di Jalan Permatang Bendahari.

Tak jauh pun dari restoran shell out Port Seafood yang penulis cuba baru ni (dalam 3.2 km), warung Kakroh Kitchen terletak berhadapan dengan sebuah bendang yang luas.

Ada banyak pilihan makanan thai atau siam di warung Kakroh Kitchen. Antara makanan yang ada di sini ialah daging bakar danok, kerabu maggi, pulut mangga, nasi kaomok, mee celup, dan miang pla.

Kerabu Maggi dan Kuetiau Celup

Kerabu Maggi dengan udang
Penggemar mi segera bolehlah cuba kerabu maggi. Walaupun udang yang digunakan tak besar, sesuai dengan harganya; rasanya sedap. Lebih sedap kalau boleh lebihkan sikit lagi bahan macam ketam filet.

Kuetiau celup campur ayam daging dan perut
Kuetiau celup di sini pun sedap juga, cukup rasa walaupun nampak ceroi. Untuk mee/bihun/kuetiau/maggi celup, kita boleh pilih antara ayam, daging, dan perut. Nak campur ketiga-tiga pun boleh.

Daging dan perutnya pula tak terlalu liat, empuk dan mudah dimakan.

Tomyam

Tomyam Kakroh Kitchen
Untuk tomyam pula, bagi penulis rasanya sedikit berbeza berbanding tomyam yang penulis biasa makan di kedai masakan panas. Penulis lebih sukakan tomyam yang penulis makan di Sri Pinang.

Kalau korang pernah ke karnival jom santai ke, karnival makanan thai ke, kadang-kadang tomyamnya agak ceroi kan? Di sini rasanya lebih kurang, mungkin gunakan pes yang sama; cuma lebih pekat.

Pulut Mangga

Pulut mangga di Kakroh Kitchen
Pulut mangga berlemak, tak boleh nak makan banyak sangat sebab muak. Pulut dah lemak, santan lagi, mangga pun lemak-lemak manis. Satu piring tu eloklah kongsi 2 ke 3 orang.

Nasi Kaomok

Nasi Kaomok Kakroh Kitchen
Disebabkan penulis sukakan nasi ayam, mestilah kena cuba nasi kaomok. Makanan ni sebenarnya dipanggil khao mok gai, khao bermaksud nasi dan gai pula bermaksud ayam.

Rasanya tak seperti nasi ayam, tetapi seperti nasi briyani. Cuma bezanya kita tak makan dengan gulai, tetapi dengan sos thai — gabungan nasi ayam dan briyani.

Miang Pla Pao Siakap

Miang pla pao Kakroh Kitchen
Di sini pun ada miang pla tau. Jarang-jarang dapat jumpa miang pla, walaupun di karnival makanan thai. Pla pao bermaksud ikan gril atau bakar, tetapi ada juga yang menggunakan ikan goreng.

Di sini, miang pla menggunakan ikan siakap bakar, boleh pilih saiz sederhana atau besar, dan seperti biasa untuk miang pla kita akan makan ikan siakap bersama dengan bihun dan salad.

Pelanggan di Kakroh Kitchen
Cara makan miang pla adalah dengan membalut isi ikan dan bahan-bahan lain menggunakan salad, sama seperti kita makan miang kham. "Miang" merujuk kepada perbuatan kita membalut makanan.

Boleh juga beli set kombo miang pla yang disediakan sekali dengan daging bakar (100 gram).

Lokching

Lokching Kakroh Kitchen
Sebagai pembuka ataupun penutup selera, bolehlah makan lok ching. Selalunya kalau makan lokching penulis akan pilih sosej keju dan sosej pulut, kali ni penulis ambil juga sosej pedas.

Yang ni dah biasa sangat dah makan, di pasar malam pun ada banyak dah. Jadi kalau tak makan pun tak ada masalah.

Harga Makanan di Kakroh Kitchen

Menu warung Kakroh Kitchen
Bagi penulis, harga makanan di sini tidaklah terlalu mahal. Boleh rujuak senarai harga di bawah untuk makanan yang penulis cuba:

Menu Harga
Miang Pla Pao Siakap 25.00 (M)
30.00 (L)
Daging Bakar Danok 11.00 (100 g)
20.00 (200 g)
Combo Miang Pla dan Daging Bakar 35.00 (M)
40.00 (L)
Nasi Kaomok 6.00
Pulut Mangga 6.00
Kerabu Maggi 6.00
Kuetiau Celup Ayam/Daging/Perut 6.00
Teh Ais/Teh Hijau Thai 3.00
Kebanyakan menu di sini berharga RM6, mudah nak kira.

Nikmati Suasana Bendang

Bendang berhadapan dengan Kakroh Kitchen
Sambil makan, sambil menikmati suasana bendang. Mungkin menarik untuk mereka yang datang dari negeri lain. Bagi penulis harganya masih berpatutan, modal untuk seorang makan cuma dalam RM9

Dalam banyak-banyak menu yang penulis cuba tadi, penulis syorkan untuk korang cuba kerabu maggi, nasi kaomok dan kuetiau celup. Nak lebih jimat, pesan sirap ais je, cuma RM1.50.


Warung Kakroh Kitchen: Thai Street Food beroperasi pada setiap hari kecuali Jumaat, bermula 2 petang sehingga 10 malam. Dah tak perlu tunggu ekspo makanan thai dah.

azizinet00 | Hari3aku

Post a Comment

To Top