Antara Aktiviti di Tasik Empangan Timah Tasoh, Perlis: Bergambar Dengan Binaan dan Perhiasan yang Menarik

I Love Perlis, Tasoh Lake
Rugilah kalau ke Perlis cuma untuk membeli-belah dan makan makanan siam di Arked Niaga Padang Besar. Mestilah kita nak melawat tempat menarik yang lain juga kan?

Disebabkan kurangnya perancangan sewaktu ke Perlis baru-baru ni, penulis pun tak tahu sebenarnya nak ke mana selepas ke Padang Besar. Mujur di Google Maps penulis terlihat sebuah tasik yang besar.

Empangan/Tasik Timah Tasoh

Tasik ini dikenali sebagai Tasik Timah Tasoh, ataupun Empangan Timah Tasoh. Sebelum ni pernah digelar sebagai hidden gem negeri Perlis, tetapi sekarang semakin dikenali ramai.

Kisahnya, empangan ini telah dibina untuk menyelesaikan masalah air di negeri Perlis. Akibat daripada pembinaan empangan ni, sebuah kampung bernama Kampung Tasoh terpaksa ditenggelamkan.

Ada yang pernah cuba menyelam di tasik ni? Boleh ke nampak sekolah dan masjid yang ditenggelamkan tu, ataupun Sungai Timah dan Sungai Tasoh yang katanya masih mengalir di bawah tasik?

Arca berbentuk Ironman di Tasik Timah Tasoh
Di sini ada sebuah kawasan di mana kita boleh bergambar dengan sebatang pokok yang separa tenggelam ketika air sedang pasang. Tetapi penulis tak ke sana, penulis ke kawasan yang berhadapan dengan Tasoh Lake Resort.

Untuk masuk ke kawasan di hadapan Tasoh Lake Resort kita perlu membayar sebanyak RM5 untuk sebiji kereta. Jangan lupa bawa tiket parkir ke tasik, sebab ia boleh digunakan sebagai kupon untuk menyewa basikal.

Bergambar di Tasik Timah Tasoh

Ros tiruan di Tasik Timah Tasoh
Penggemar swafoto dan OOTD mesti akan suka datang ke sini sebab ada banyak perhiasan dan binaan untuk bergambar. Di sini ada bunga ros tiruan, buayan sarang burung, dan arca berbentuk Hulk dan Iron Man.

Binaan pintu dan tangga di Tasik Timah Tasoh
Langit agak mendung sepanjang hari penulis ke Perlis, cuaca juga hujan sepanjang perjalan dari Pulau Pinang ke Perlis. Mujur hujan mula berhenti sebaik penulis tiba di Perlis, dapatlah keluarkan kamera.

Antara binaan yang menarik bagi penulis ialah tangga berwarna-warni dengan pintu di puncaknya. Kalau kena gaya, memang cantik gambar yang diambil di sini, seolah-olah berada di tempat yang tinggi.

Tangga warna warni di Tasik Timah Tasoh
Memang berbaloi RM5 yang kita bayar apabila diambil kira gambar-gambar yang kita boleh ambil di sini. Bolehlah gilap kemahiran fotografi kita dengan mengambil gambar produk, perkahwinan, graduasi, dll.

Berbasikal pun seronok juga, cuma malangnya penulis tak berkesempatan menaiki basikal sebab basikal yang tinggal kebanyakannya rosak. Takpelah, dapat tengok orang lain berbasikal pun ok.

Aktiviti bergambar di Tasik Timah tasuh
Sedang kita sibuk mengambil gambar, jangan lupa pula bahawa perkara utama di sini ialah Tasik Timah Tasoh. Jadi ambil juga masa untuk melihat suasana dan keadaan tasik, boleh tenangkan fikiran.

Tempat makan pun disediakan di laluan keluar berhampiran dengan parkir, jadi selepas penat berjalan, berbasikal, dan bergambar bolehlah singgah makan di sini.

Aktiviti Lain di Tasik Timah Tasoh

Bot pelancong ronda di Tasik Timah Tasoh
Selain daripada bergambar dan berbasikal, di Tasik Timah Tasoh juga kita boleh bersiar-siar di atas tasik dengan menaiki bot pelancong. Port berkayak, memancing dan berkhemah pun ada.

Tak semestinya kena pergi tempat yang penulis kongsikan hari ni, ada lagi tempat-tempat lain berhampiran yang kita boleh lawat untuk aktiviti-aktiviti lain yang penulis sebutkan tadi.

Lonely Tree Perlis


Nak bergambar dengan "Lonely Tree" perlis yang dikatakan persis "Lonely Tree" di Wanaka, New Zealand? Boleh ke sini. Kalau nak memancing, berkayak dan berkhemah pula, boleh ke Santuari Ikan Air Tawar Timah Tasoh.

Kalau ada lagi aktiviti atau tarikan di Tasik Timah Tasoh yang penulis belum sebutkan, bolehlah kongsikan di bawah ye.

azizinet00 | Hari3aku

Post a Comment

To Top