Teratak Simpul D'Weng Dalam: Perkelahan di Sungai Mesra Kanak-Kanak di Kampung Weng Dalam, Baling

Papan tanda Teratak Simpul D'Weng Dalam
Selain hasil pertaniannya, Kedah juga terkenal dengan tarikan semula jadinya seperti Gunung Jerai, Tasik Beris, dan sungai-sungainya di Ulu Paip, Bukit Hijau, Sedim, Titi Hayun, dan Lata Mengkuang.

Tak terhad kepada yang penulis sebutkan tadi, ada banyak lagi sebenarnya tarikan di Kedah yang penulis, dan mungkin korang semua juga; belum pernah dengar, apatah lagi jejakkan kaki.

Teratak Simpul D'Weng Dalam

Sungai Weng Teratak Simpul
Di Kampung Weng Dalam, Baling ada sebuah tempat berkelah yang menarik dan sesuai untuk kanak-kanak. Tempatnya pun diselenggara dengan baik, pondok-pondok yang disediakan pun selesa.

Teratak Simpul D'Weng Dalam terletak dalam 23 kilometer dari bandar Baling, dan 12 kilometer dari Pusat Rekreasi Air Panas Ulu Legong. Perjalanan ke sini mudah sebab tempatnya bersebelahan dengan laluan utama.


Di sini, mereka sediakan lebih daripada 10 buah pondok untuk disewa pada harga antara RM50 ke RM80, atau lebih murah; mengikut saiz di kawasan bersebelahan sungai sepanjang lebih kurang 100 meter.

Untuk datang ke sini, kita perlu membuat tempahan terlebih dahulu bagi memastikan pondok dan parkir mencukupi. Sebarang pertanyaan atau urusan boleh hubungi +60135138487 atau +601116982187.

Kemudahan di Teratak Simpul

Pondok di Teratak Simpul D'Weng Dalam
Selain pondok, di sini juga disediakan kemudahan seperti tandas, surau dan kedai yang menjual minuman, makanan, dan snek. Ada lebih kurang tiga atau empat buah tandas.

Kalau terlupa bawa kudap-kudapan, boleh dapatkan di kedai berhampiran kaunter. Nasi campur pun ada selepas tengah hari, boleh buat tempahan makanan yang banyak juga, dan mereka boleh hantarkan ke pondok.

Plastik sampah juga disediakan berhampiran setiap pondok.

Sungai Jernih dan Cetek

Sungai Weng Teratak Simpul
Air yang mengalir di sini lebih cetek dan lebih sesuai untuk kanak-kanak. Untuk dewasa, kedalaman air hanya sampai ke paras betis atau lutut, lebih cetek berbanding Sungai Sendat di Selangor.

Namun, kawasan ni tetap cantik dan sesuai dijadikan sebagai tempat perjumpaan keluarga, berkelah, BBQ, dan perkhemahan. Pondok terbesar boleh memuatkan sehingga 10 orang, set bbq dan meja juga boleh disewa pada harga RM20.

Sambil-sambil yang dewasa sediakan makanan, kanak-kanak boleh bermain air. Boleh juga bermain dengan arus sungai menggunakan pelampung yang boleh disewa pada harga RM7 (kecil) atau RM20 (besar).

Melalui Titi Buluh

Titi buluh di Teratak Simpul D'Weng Dalam
Pondok disediakan di bahagian kiri dan kanan sungai, jadi akan ada pondok yang terletak di seberang sungai. Untuk merentasi sungai tersebut, mereka sediakan sebuah titi yang diperbuat daripada buluh.

Kalau gayat pastikan korang tempah pondok yang berhampiran dengan parkir, ataupun korang siap sedia pakai baju mandi dan rentas je sungai yang cetek tu berkaki ayam.

Pertama kali naik titi buluh disini risau juga, licin dan bergoyang. Selepas beberapa kali akan jadi biasa, kuncinya pada cara memijak, dan perlu yakin dengan ketahanan titi.

Satu lagi, jangan ada lebih daripada 4 orang di atas titi dalam satu masa.

Harga Sewaan Pondok dan Tapak Perkhemahan

Sungai Weng Teratak Simpul
Teratak Simpul D'Weng Dalam dijaga dengan elok dan bersih oleh beberapa orang yang mungkin pemilik atau pekerjanya, jadi penulis boleh faham kenapa bayaran dikenakan di sini.

Untuk senarai harga sewaan boleh tengok di bawah:

Sewaan Harga
Pondok 4-5 Orang + Parking 50.00
Pondok 6-7 Orang + Parking 60.00
Pondok 8-10 Orang + Parking 80.00
Tapak Perkhemahan 1 Malam 20.00
Pelampung Kecil 7.00
Pelampung Besar 20.00
Set BBQ + Meja 20.00

Selain tapak perkhemahan, sewaan pondok adalah antara 8 pagi sehingga 7 petang. Jadi, bolehlah rancang perkelahan dan aktiviti sepanjang 11 jam tu.

Lebih Ramai Lebih Meriah

Sungai Weng Teratak Simpul
Walaupun penulis datang dalam kumpulan kecil, penulis rasa akan lebih seronok kalau datang dalam kumpulan yang lebih ramai lebih-lebih lagi untuk perjumpaan keluarga.

Suasana di Teratak Simpul D'Weng Dalam, walaupun sungainya lebih cetek; mengingatkan penulis ke tempat yang penulis pergi sebelum ni seperti Janda Baik dan Hulu Langat.

Bunga kuning
Untuk perkhemahan, hanya tapak perkhemahan disediakan. Segala kelengkapan dan alat perkhemahan seperti khemah, kerusi, meja, perkakas memasak perlu dibawa sendiri.

Kalau datang ke Kedah, khususnya daerah Baling; jangan lupa masukkan Teratak Simpul D'Weng Dalam ke dalam senarai tempat percutian korang. Kalau datang dari selatan, mungkin juga akan nampak restoran Nasi Kandar D'Cenerai — wajib singgah.

azizinet00 | Hari3aku

Post a Comment

To Top