Berkelah dan BBQ Sambil Bermain Air di Air Terjun Sungai Sendat

Batu sungai yang tersusun di Sungai Sendat
Pantai dan sungai sering dijadikan pilihan sebagai tempat mandi dan perkelahan. Penulis walau bagaimanapun, secara peribadi; lebih sukakan suasana dan aktiviti di sungai berbanding pantai.

Air di sungai selalunya lebih jernih, udaranya lebih nyaman, dan kewujudan tumbuhan-tumbuhan seperti pokok yang sudah berusia mungkin ribuan tahun menjadikan suasana lebih redup walaupun pada waktu tengah hari.

Daun hijau di Sungai Sendat
Mungkin bukan semua sungai mempunyai ciri-ciri yang penulis sebutkan tadi. Tetapi, kalau korang mencari tempat yang nyaman untuk lakukan aktiviti bersama rakan atau keluarga, Air Terjun Sungai Sendat ada kesemuanya.

Air Terjun Sungai Sendat

Pengunjung berkumpul di hadapan air terjun Sungai Sendat
Terletak di mukim Hulu Yam Bharu, Air Terjun Sungai Sendat cumalah 26km dari pekan Rawang. Ia juga terletak dalam 20km dari Air Terjun Serendah, satu lagi tarikan popular di negeri Selangor.

Laluan ke Air Terjun Sungai Sendat agak sempit sebab kita akan melalui laluan selorong sepanjang 4 kilometer. Bermula dari laluan tersebut juga kita akan mula sukar mendapatkan rangkaian telefon.

Jadi kalau ada apa-apa pesanan atau panggilan penting yang perlu dilakukan, lakukanlah lebih awal.

Pernah Ditutup Beberapa Kali

Pengunjung selesai mandi di Sungai Sendat
Ada sebab kenapa Air Terjun Sungai Sendat kurang popular berbanding Air Terjun Serendah, salah satunya sebab tempat ni dah banyak kali ditutup sebelum ni atas faktor keselamatan.

Dalam tempoh 10 tahun antara 2009 dan 2018 sahaja, seramai 12 orang lemas di sini. Sekarang, hanya satu daripada tiga tingkat kawasan Air Terjun Sungai Sendat dibuka kepada orang awam.

Bayaran Masuk ke Air Terjun Sungai Sendat

Geng Fatsodi Sungai Sendat
Untuk masuk ke sini, bayaran sebanyak RM2 untuk dewasa dan RM1 untuk kanak-kanak dikenakan. Setiap kenderaan juga dikenakan sebanyak RM3, melainkan kalau parkir di luar — sebelum pagar masuk.

Selain kemudahan parkir, di sini juga disediakan surau dan tandas. Penulis cuma harap semua kemudahan diselenggara dengan lebih baik, lagipun kita tak masuk secara percuma.

Berkelah dan Barbeku

BBQ di tepi Sungai Sendat
Beberapa pondok dan tempat barbeku juga disediakan, kita cuma perlu bawa arang dan peralatan barbeku, barang masakan, dan plastik sampah yang mencukupi. Namun, lebih selamat kalau kita bawa dapur bbq kita sendiri juga.

Kalau tak ada pondok atau tempat barbeku yang kosong, boleh juga berkelah berhampiran sungai dengan syarat kita menjaga kebersihan kawasan yang kita pilih. Dah selesai, jangan lupa kemas.

Nasi goreng bersama ayam dan kambing bakar
Memang syahdu dapat makan nasi goreng cina bersama ayam dan kambing bakar di sini. Tak panas seperti di tepi pantai, nak duduk lama-lama pun boleh. Kalau rasa panas boleh berendam sekejap.

Cuma, rasa bersalah betul mandi sungai selepas makan lemak kambing.

Air Yang Jernih dan Bersih

Kanak-kanak bermain di Sungai Sendat
Kecuali berhampiran air terjun, sungai di sini tak terlalu dalam dan sesuai untuk kanak-kanak. Air di sini memang jernih dan bersih, boleh nampak ikan-ikan kecil dari permukaan air.

Ada batu yang besar berhampiran dengan kawasan air terjun yang dijadikan sebagai gelongsor semula jadi. Kanak-kanak sangat suka main di sini, penulis pun tak lepaskan peluang untuk cuba, memang seronok.

Kasut air Aquashoes 100 dari Decathlon
Cuma perlu berhati-hati sebab di sini ada banyak batu. Ada batu yang licin, ada yang sedikit tajam, jadi ada baiknya gunakan kasut air untuk elakkan dari tergelincir.

Macam kasut yang penulis pakai ni, harganya cuma RM25 di Decathlon, boleh juga beli secara atas talian di sini. Boleh kurangkan licin, dan elakkan kaki daripada luka. Tetapi, tak berapa sesuai digunakan untuk berenang.

Air Terjun yang Deras

Air Terjun Sungai Sendat
Semakin menghampiri air terjun, sungai menjadi semakin dalam. Kedalamannya melebihi 5 kaki, penulis dah cuba menghampiri ke dinding bukit tempat air terjun turun, penulis pun tenggelam. Mungkin juga kedalaman boleh berubah mengikut musim.

Kalau nak bergambar dalam keadaan air terjun jatuh ke kepala, memang susah. Airnya sangat deras sampaikan kita akan tertolak semula jauh daripada air terjun, lagipun air terjun sekuat tu akan buatkan dasar menjadi lebih dalam dan bahaya.

Air Sungai Sendat yang jernih
Kalau nak berenang, kawasan berdekatan air terjun lebih dalam walaupun kurang sesuai. Pelampung disediakan, boleh gunakan dalam kecemasan seperti kekejangan otot, diserang angin ahmar, atau mengalami epilepsi.

Mengemas Sebelum 5 Petang

Rama-rama di atas batu sungai
Kawasan air terjun hanya dibuka sehingga pukul 5 petang, jadi dah boleh mengemas bermula pukul 4 petang. Jangan tinggal satu pun sampah, tolong buang di tong sampah yang disediakan.

Kalau semua tong sampah penuh, bawa balik sampah untuk dibuang ke tempat lain yang sesuai. Risau kalau kita tinggalkan plastik sampah di tepi tong sampah, akan dikacau oleh haiwan liar sebelum sempat dibersihkan.

Enam Jam Tanpa Telefon

Bayo dan bapanya di Sungai Sendat
Pengalaman berkelah di Sungai Sendat pasca Covid-19 suatu yang tak mudah untuk dilupakan. 6 jam berada di sungai tanpa rangkaian telefon dan pautan internet, sangat berbeza dengan keadaan ketika PKP.

Ngeri juga memikirkan nyawa-nyawa yang telah diragut oleh Air Terjun Sungai Sendat. Walaupun ditingkat pertama, tak dapat dinafikan masih ada kawasan yang dalam dan boleh menyebabkan lemas.


Jadi, kalau korang datang ke Air Terjun Sungai Sendat, tolong berhati-hati, dan patuhi arahan yang ditetapkan untuk tidak menceroboh ke kawasan yang lebih tinggi.

Kalau berminat dengan aktiviti perkhemahan, ada beberapa tapak perkhemahan disini seperti ASB Campsite, Abah Legacy Sendat Camp dan I SKOVEN @ Sendat.

azizinet00 | Hari3aku

Post a Comment

To Top