Mencuba Burger Ayam Panggang dan Crispy di The Tokyo Burger, Masjid Tanah

The Tokyo Burger Masjid Tanah
Burger, sejak wujudnya Ramly; sangat sinonim dengan makanan jalanan di Malaysia. Kadang kita lupa yang burger pun sebenarnya dikategorikan sebagai makanan barat sama seperti pasta, chicken chop dan lamb grill.

Jadi tak sepatutnya burger disisihkan daripada menu utama kafe dan restoran masakan barat. Tambah pula, ianya menu yang lebih versatil dengan kombinasi bahannya yang jauh lebih banyak.

THE TOKYO BURGER MASJID TANAH

Bahagian hadapan restoran The Tokyo Burger pada waktu malam
Inspirasi kepada resepi sebuah burger boleh datang daripada pelbagai sumber atau jenis masakan, antaranya masakan Jepun seperti yang penulis nampak dan cuba sendiri di restoran The Tokyo Burger.


Alamat: B2, Arked MARA Masjid Tanah, Jalan Masjid Tanah - Sg. Udang, 78300 Masjid Tanah, Melaka.
Waktu: Isnin, Rabu dan Khamis (3:30pm - 11:00pm), Jumaat - Ahad (3:00pm - 11:00pm).

The Tokyo Burger terletak di bangunan Arked Mara Masjid Tanah, Melaka, dalam 1.5 kilometer dari Masjid Lama Masjid Tanah. Kalau dari pantai Tanjung Bidara atau Pengkalan Balak, dalam 8 ke 9 kilometer.

ENAM PILIHAN BURGER GOURMET


Ada enam jenis burger, tiga daripadanya yang penulis cuba ialah Moja-moja Beef, Smokey Grilled Chicken dan Nanban Crispy Chicken. Selain daripada tu, ada Gojira Spicy Chicken, Spicy Grilled Chicken dan Sakana Fish.

Moja-Moja Beef

Burger daging bersama gegelung bawang goreng, tomato, salad, dan sos bbq
Burger Moja-moja Beef menggunakan pati daging buatan sendiri seberat 120 gram — 100% daging Australia. Selain sos BBQ berperisa salai, bahan lain yang digunakan juga ialah keju, salad, tomato dan gegelang bawang goreng.

Kelainannya ada pada sos BBQ yang diperbuat sendiri dan gegelang bawang yang digoreng. Tapi rasa keseluruhannya lebih kurang je dengan burger daging homemade lain. Lebih suka kalau sebaliknya bawang karamel yang digunakan.

Smokey Grilled Chicken

Burger daging rasa salai dengan sos bbq
Dari segi bahan, lebih kurang je dengan Moja-moja Beef. Cuma gantikan pati daging dengan kepingan ayam panggang daripada bahagian paha dan keluarkan gegelung bawang goreng.

Kalau nak dibandingkan dengan kepingan ayam goreng crispy, penulis lebih sukakan ayam panggang. Kepingan ayam yang penulis dapat pun masih berkulit dan saiznya besar juga.

Nanban Crispy Chicken

Burger ayam rangup dengan sos nanban dan tartar Jepun
Penulis tak pasti kenapa warna pati ayamnya sedikit gelap. Mungkin digoreng sedikit garing untuk pastikan patinya yang tebal dimasak sehingga ke dalam. Mungkin juga disebabkan oleh salutan sos nanban.

Tak menggunakan mayonis, sebaliknya sos tartar jepun — tak ingat ada gunakan telur rebus hancur atau tak. Rasanya berlemak, memang berbeza dengan rasa savuri daripada dua burger yang gunakan sos BBQ tadi.

AYAM DAN KAMBING PANGGANG

Ayam panggang bersama sos lada hitam dan salad
Selain burger, ada juga menu ruji restoran makanan barat seperti ayam dan kambing panggang. Ayam panggang yang digunakan nampak macam sama dengan kepingan ayam yang digunakan untuk burger tadi.

Isi ayam tebal, berbeza dengan kambing — 2 keping — yang lebih nipis. Walaubagaimanapun, rasa kedua-duanya — dimakan bersama atau tanpa sos lada hitam — memang sedap.

Dua keping kambing panggang dengan sos lada hitam dan salad
Sepatutnya kedua-dua ayam dan kambing panggang datang bersama dengan kentang goreng. Tapi kentang goreng dah habis, jadi digantikan dengan kentang putar yang, bagi penulis; sedap juga.

BURGER LEBIH JIMAT SECARA SET

Resit bayaran The Tokyo Burger Masjid Tanah
Kalau nak lebih murah boleh beli burger secara set, cuma tambah RM2. Akan dapat kentang goreng — atau digantikan dengan kentang putar — dan segelas teh ais lemon.

Kalau nak beli air secara berasingan, selain daripada ais kosong kebanyakannya lebih mahal daripada RM2.

HARGA PREMIUM UNTUK KAWASAN LUAR BANDAR

Penggemar burger sedang menikmati burger Nanban Crispy Chicken
Untuk sebuah restoran yang terletak di kawasan luar bandar — 30 kilometer dari Kota A Famosa — harganya, yang hampir sama dengan burger di Woodfire dan Mizukicakes; adalah premium.

Tapi jangan risau, di The Tokyo Burger juga ada burger dengan portion atau bahagian yang lebih kecil untuk harga yang lebih murah — kurang separuh daripada harga burger bersaiz penuh.

Secara peribadi, penulis paling sukakan burger Smokey Grilled Chicken diikuti dengan Nanban Crispy Chicken. Mojo-mojo Beef pula agak biasa berbanding burger daging homemade lain yang penulis pernah cuba.


Menurut laman Instagram rasmi The Tokyo Burger, ada berlaku pertukaran pengurusan. Bersama dengan pengurusan yang baharu, akan ada juga menu-menu baharu — macam beef brisket dan rusuk kambing — yang penulis tak dapat cuba sebelum ni.

Walaupun dah diambil alih oleh Bruh Kitchen, nama restorannya dikekalkan. Boleh jadi akan ada penambahbaikan pada menu asal burger dan kelainan pada cara penyediaan ayam dan kambing panggang.

azizinet00 | Hari3aku

Post a Comment

To Top