Sup Ayam dan Kambing di Restoran Sri Kota Raja, Terpaling Padu di Klang

Sup ayam mamak dengan isi yang banyak
Kalau pernah baca ulasan penulis tentang Sup Haji Abu Jalan Doraisamy di Setia City Mall, penulis ada kongsikan tentang sebuah kedai sup lama di Jalan Kota Raja, Klang.

Sejak 1980, dah lebih 40 tahun kedai ni bertapak di tempat yang sama, di Kampung Jawa, bersebelahan Jalan Kota Raja yang menghubungkan antara Kampung Telok Menegun dan Istana Alam Shah di Bandar Klang.

Restoran Sri Kota Raja

Pelanggan sedang menikmati sup di gerai
Kedainya kecil je, bolehlah muatkan dalam 4 ke 5 keluarga. Di sini ada sup mamak — ayam dan kambing — yang rasanya memang padu dari dulu. Mungkin ramai orang Klang yang tahu tentang kedai legenda ni.


Alamat: Jalan Kota Raja, 41000 Klang, Selangor.
Waktu: Isnin - Ahad (11am - 7:30pm).

Cumanya, ruang letak kereta tak banyak dan jalannya pula agak sibuk — terlalu dekat dengan persimpangan berlampu isyarat. Mungkin susah sedikit nak keluarkan kereta.

Sup Ayam dan Kambing Padu

Tiga mangkuk sup, ayam dan kambing dikumpulkan bersama
Dah cuba sup mamak di beberapa restoran lain, antaranya Pelita Nasi Kandar; tapi setiap satu ke dua tahun — bagaikan acara dwitahunan — mesti akan datang semula makan di sini.

Sup ada tiga saiz dengan harga bermula RM6 — mangkuk kecil, mangkuk besar dan bungkus. Walaupun mangkuk kecil, isi ayam dan kambingnya banyak. Kalau nak lebih banyak sup boleh pesan sup kosong, cuma RM2 untuk semangkuk kecil.

Sedap dimakan dengan roti, lebih-lebih lagi roti benggali. Tapi, penulis lebih suka makan sup tanpa roti atau nasi untuk lebih menghayati rasa supnya yang likat. Sampai sekarang tak tahu apa rahsia dan resepinya.

Sambal cuka, kicap dan lada yang disediakan di atas meja
Sambal cuka dan lada disediakan, bolehlah sesuaikan sup ikut citarasa masing-masing. Untuk rasa yang lebih pedas dan sedikit masam, penulis suka campurkan sedikit sambal cuka.

Bukan Kedai Roti Canai atau Nasi Kandar

Rojak mamak, isinya cucur, tauhu, telur, sengkuang dan tauge
Sini bukan tempat lepak makan cendol, roti canai atau nasi kandar, kedainya pun dah mula tutup selepas Maghrib. Yang ada cumalah sup ayam, sup kambing, rojak dan mi goreng.

Ada orang Klang yang kata rasa supnya sekarang, walaupun masih padu; kurang padu berbanding dulu. Tapi bagi penulis yang datang sekali setiap satu ke dua tahun, tak banyak yang berubah.

Lain kali ke Klang, boleh cuba dan nilai sendiri sup di Restoran Sri Kota Raja. Tak jauh pun, cuma dalam 2.5 kilometer — 5 minit — dari stesen KTM Klang.

azizinet00 | Hari3aku

Post a Comment

To Top