Sup Haji Abu Jalan Doraisamy: Sup Mamak dari KL ni Masih Kekalkan Resepi Tahun 1961

Sup Haji Abu Jalan Doraisamy
Sekali sekala pekena sup mamak memang syahdu, dan terus terang kalau diberi pilihan antara tomyam dan sup mamak, penulis akan pilih sup mamak — lebih-lebih lagi yang kaya dengan rempah ratus.

Kerap juga, waktu kecil dulu; ayah penulis bawa ke sebuah gerai di Jalan Kota Raja, Klang untuk makan sup mamak yang kami gelar sebagai "sup ganja" kerana rasanya yang betul-betul power.

Tak pernah lagi penulis jumpa sup yang boleh tandingi, ataupun mungkin sama; dengan sup di gerai berhampiran Masjid Dato Dagang tadi. Sehinggalah penulis cuba Sup Haji Abu.

Sup Haji Abu Jalan Doraisamy cawangan Setia City Mall

Gerai Sup Haji Abu cawangan Setia City Mall
Sebagai individu yang ke Kuala Lumpur sekali sekala, penulis memang tak pernah sedar pun kewujudan gerai Sup Haji Abu di Jalan Doraisamy walaupun ia berhampiran dengan Chow Kit — dalam 1.4 km.

Satu lagi cawangan Sup Haji Abu terletak di antara Jalan Kamunting dan Jalan Dang Wangi yang berada hanya dalam 100 meter dari cawangan Jalan Doraisamy. Kedua-duanya penulis tak pernah pergi.


Penulis mula sedar kewujudan Sup Haji Abu, yang berusia sudah lebih 40 tahun; apabila mereka membuka satu lagi cawangan, berkonsepkan kiosk yang lebih moden, bersih dan teratur; di Setia City Mall.

Kaya Dengan Rempah Ratus

Sup ayam di Sup Haji Abu
Pertama kali cuba Sup Haji Abu, memang penulis terus teringat sup yang penulis makan di Jalan Kota Raja. Sedap betul, kaya dengan rempah ratus, dan tak terlalu masin — terus terpikat.

Susah untuk penulis bandingkan mana yang lebih sedap, sebab penulis pun dah lama, mungkin sejak PKP; tak rasa "sup ganja". Yang pasti, sekali hirup Sup Haji Abu, memang susah nak berhenti.

Katanya masih mengekalkan resepi yang sama sejak tahun 1961, supnya juga dimasak berjam-jam untuk pastikan ia tak ceroi.

Pelbagai Pilihan Bahan

Pekerja sedang menyediakan sup di Sup Haji Abu cawangan Setia City Mall
Bukan sahaja supnya kaya dengan rempah ratus, pilihan bahannya pun pelbagai. Walaupun tak sebanyak cawangan Jalan Doraisamy, kita masih ada 7 pilihan bahan di cawangan Setia City Mall.

Boleh pilih antara ayam, perut, daging, urat, kambing, lidah lembu, dan ekor — harga meningkat dari kiri ke kanan, bermula daripada RM9.90 sehingga RM16.90.

Untuk sup kosong pula, hanyalah RM4.90. Harga di sini lebih mahal berbanding di Jalan Doraisamy, mungkin kerana ia berkonsepkan kiosk dan bertempat di dalam pusat membeli belah.

Sup Haji Abu cawangan Setia City Mall disediakan dengan mangkuk kertas yang sedia untuk dibawa pulang. Semangkuk sup boleh dimakan sehingga dua orang, kalau tak habis boleh terus bawa balik.

Makan dengan Roti atau Nasi

Nak lebih power boleh makan Sup Haji Abu dengan Roti Benggali (RM5.50). Kalau nak lebih kenyang makan dengan Nasi Putih (RM3.00). Bagi penulis, lebih suka makan dengan roti benggali.

Cuma kali ni, penulis nak rasa supnya yang asli tanpa roti dan nasi.

Roti Bakar dan Telur Separuh Masak

Menu Sup Haji Abu di cawangan Setia City Mall
Ada juga menu-menu lain seperti roti bakar, telur separuh masak, dan nasi lemak. Untuk kudap-kudapan pula, ada kepak ayam, nugget, samosa, dan karipap. Siapa kata roti bakar cuma untuk sarapan?

Cuma, kalau penulis datang lain kali pun penulis cuma akan pesan sup sebab inilah tarikan utama di Sup Haji Abu, rasa yang susah nak dapat di kebanyakan kedai lain.

Lebih Murah di Jalan Doraisamy

Logo Sup Haji Abu, est. 1961
Kalau belum pernah cuba Sup Haji Abu, penulis sarankan sangat untuk cuba lebih-lebih lagi untuk pencinta sup mamak. Kalau berada di KL tak perlu datang ke Setia City Mall, terus je ke Jalan Doraisamy.


Gerai Sup Haji Abu cawangan Jalan Doraisamy cuma dalam 500 meter dari stesen monorel Medan Tuanku, boleh ke sana untuk dapatkan rasa Sup Haji Abu berusia lebih 40 tahun yang lebih asli dan murah.

Untuk warga Klang, Shah Alam dan berdekatan, bolehlah ke cawangan Setia City Mall.

azizinet00 | Hari3aku

Post a Comment

To Top