Spoiler Alert! Terokai Konsep Multiverse Marvel Bersama Doctor Strange in the Multiverse of Madness

Selepas Doctor Strange membuka pintu antara alam semesta yang menghubungkan alam Peter 1, Peter 2 dan Peter 3 di Spider-Man: No Way Home, kita dah boleh jangka Marvel akan keluarkan sebuah filem yang berkonsepkan multiverse atau kepelbagaian alam semesta.

Tambah pula, tiada waktu yang lebih baik lagi berbanding sekarang untuk Marvel keluarkan Doctor Strange in the Multiverse of Madness, sementara konsep multiverse masih lagi segar di fikiran penonton No Way Home.

Arahan Sam Raimi

Filem ini juga diarahkan oleh Sam Raimi, pengarah yang terlibat dengan filem Spider-Man 1, 2 dan 3. Selain trilogi Spider-Man, Sam Raimi juga terkenal dengan filem seram seperti Evil Dead dan Drag Me To Hell.

Jadi tak peliklah kalau filem kali ni, Doctor Strange in the Multiverse of Madness mempunyai unsur-unsur seram atau horror. Lagipun filem ni juga melibatkan Scarlet Witch lakonan Elizabeth Olsen, penjahat yang juga seorang ahli sihir.

Selain zombie dan roh jahat seperti yang kita boleh lihat pada treler, filem ni juga ada adegan yang mengejutkan, gelap, seram dan ngeri.

Multiverse of Madness

Kalau dahulu Marvel bermain dengan konsep masa dalam Endgame, kali ni Marvel bermain dengan konsep ruang pula. Konsep multiverse sangat menarik sebab ia bagaikan kanvas yang Marvel boleh perlakukan sesuka hati.

Tak semestinya wujud sebagai manusia di setiap alam. Dalam satu adegan, Doctor Strange lakonan Benedict Cumberbatch dan America Chavez lakonan Xochitl Gomez melalui alam di mana mereka wujud sebagai kartun dan lukisan.

Siapa Perlu Tonton Doctor Strange 2?

Peminat filem aksi yang tak terlalu deep atau mendalam bolehlah tonton filem ni. Tak begitu banyak teka-teki sebab daripada awal kita dah tahu siapa dalang disebalik masalah yang berlaku.

Kalau nak dibandingkan dengan konsep perjalanan masa pada Endgame, ataupun alam kuantum pada Antman, konsep multiverse dalam filem Doctor Strange 2 adalah lebih mudah untuk difahami.

Bermodalkan aksi yang tak henti-henti, jenaka-jenaka yang kadang sampai kadang tak sampai, dan cameo-cameo dari filem lain, penulis syorkan untuk tengok filem Doctor Strange 2.

Bagi penulis, filem ni masih menyeronokkan walaupun plotnya terlalu tergesa-gesa.

Mimpi Bukanlah Mimpi

Spoiler Alert!!! Dalam filem ni, mimpi merupakan cerminan diri kita yang berada di alam lain. Jadi setiap mimpi sebenarnya perkara yang betul-betul terjadi, cuma bukan di alam kita.

Untuk ke alam lain, ada dua cara. Pertama, merentasi alam dengan bantuan America Chavez yang berkebolehan merentasi alam. Kedua, merasuk diri kita yang berada di alam lain melalui sihir dreamwalking dengan bantuan kitab Darkhold.

Penulis tak pernah tengok Wandavision dan Loki, jadi penulis tak tahu bagaimana Darkhold berfungsi.

Filem yang Tergesa-gesa?

Walaupun masa tayangan filem Doctor Strange in the Multiverse of Madness ialah 2 jam, bagi penulis filem ini agak tergesa-gesa dan memerlukan lebih lagi masa tayangan.

Dari satu sudut, bagus juga sebab penuh dengan aksi. Tapi, ada perkara yang tak dijelaskan, atau sengaja dilupakan untuk dijelaskan dalam filem-filem yang akan datang.

Contohnya tentang asal usul Book of Vishanti, tentang dunia America, tentang dunia antara alam di mana Book of Vishanti berada, dan tentang garis masa setiap alam.

Persoalan-persoalan

Antara persoalan yang penulis ada ialah, adakah setiap orang akan wujud di setiap alam? Sebabnya, untuk seseorang wujud, susur galur keturunannya perlu wujud juga.

Kalau ada yang bermimpi dalam sedar atau lucid, dan mereka boleh kawal perbuatan mereka dalam mimpi, adakah ini bermakna mereka akan mengawal diri mereka yang berada di alam lain juga?

Terlalu kecil apa yang kita tau tentang multiverse melalui filem ni. Nampaknya macam multiverse dalam filem ni berbeza dengan konsep multiverse yang diketengahkan Spider-Verse.

Earth-616

Penulis tak tahu ada berapa alam yang wujud, tetapi alam Marvel (Marvel Cinematic Universe) seperti yang kita kenal sekarang bermula daripada Iron Man ke Avengers: Endgame sehingga ke Doctor Strange in the Multiverse of Madness ialah Earth-616.

Macam-macam boleh berlaku untuk sebuah filem berkonsepkan multiverse, penulis pun dah jangka akan ada crossover daripada siri Marvel yang lain. Yang pasti, tak ada Tom Cruise sebagai Iron Man dalam filem ni.

azizinet00 | Hari3aku

Post a Comment

To Top