CU Mart: Mencuba K-Chicken Trio Dosirak dan Beef Bulgogi Gimbap, Apa Bezanya dengan Bento dan Futomaki?

Kalau di Family Mart kita boleh dapatkan makanan Jepun, di CU Mart pula kita boleh dapatkan makanan Korea kegamaran ramai seperti tteokbokki, corndog, bingsu, dan kimbap.

Tak dinafikan ada beberapa makanan Korea yang nampak seakan-akan sama dengan makanan Jepun, tetapi kalau dibandingkan sebenarnya ada perbezaan dari segi bahan dan rasa.

Jadi penulis ambil kesempatan ke CU Mart baru ni untuk cuba dosirak, kimbap dan beberapa makanan CU Mart yang lain. Kalau dilihat dengan mata kasar, dosirak ni seperti bento, dan kimbap atau gimbap pula seperti futomaki.

K-Chicken Trio Dosirak

Dalam banyak-banyak dosirak, penulis pilih K-Chicken Trio Dosirak sebab tu je yang ada di rak makanan pada waktu pagi penulis ke salah satu cawangan CU Mart. Harganya RM15.99.

Dalam satu bungkusan K-Chicken Trio Dosirak ni ada nasi, ayam ala Korea, dan beberapa pilihan banchan seperti coleslaw, kimchi dan ikan bilis. Bagi penulis, portion nasinya boleh dimakan dua orang.

Yang menariknya, dosirak ni datang dengan tiga jenis ayam Korea, ayam goreng bersama hirisan bawang putih dan lada hitam, ayam goreng dengan sos manis, dan satu lagi ayam goreng dengan sos pedas yang dihias bijan.

Ayamnya tak kering, masih lembut, dan bahagiannya memang banyak kalau dibandingkan dengan bahagian nasi. Kalau kita susun ketulan-ketulan ayam yang ada ke atas nasi, tak akan nampak dah nasinya.

Beef Bulgogi Gimbap

Antara gimbap sayuran dan daging, mestilah penulis akan pilih daging. Kalau sebut tentang makanan Korea, khususnya barbeku Korea mesti pernah dengar beef bulgogi.

Beef bulgogi memang sedap dimakan, tanpa ataupun bersama nasi. Sedap juga kalau dijadikan inti kepada gimbap. Dalam satu bungkusan Beef Bulgogi Gimbap berharga RM9.99 ada 10 potongan gimbap.

Bahagian dagingnya banyak, jumlah nasi pula "just nice" — tak terlalu banyak sampaikan kita tak dapat rasa bahan lain. Mudah dimakan, sangat sesuai untuk dijadikan bekalan naik ETS.

Samgak Gimbap

Samgak gimbap ialah gimbap yang berbentuk tiga segi dan dibalut dengan helaian rumpai laut sama seperti onigiri dari Jepun. Yang penulis cuba ni berperisa tuna mayo dan tuna kimchi.

Kedua-duanya sedap, cuma tuna kimchi sedikit pedas. Cuma perlu panaskan sekejap je (dalam 20 saat) dalam ketuhar gelombang mikro, nak makan sejuk-sejuk pun penulis tak halang.

Serupa Tetapi Berbeza

Walaupun makanan Korea dan Jepun mempunyai beberapa elemen yang sama seperti rupa, penyediaan, dan penggunaan rumpai laut, rasanya berbeza disebabkan oleh bahan-bahan yang digunakan.

Keistimewaan dosirak, berbanding bento contohnya; ada pada banchan yang disediakan seperti kimchi dan ikan bilis. Kedua-duanya sangat jarang dijumpai pada bento.

Kombinasi bahan yang digunakan pada gimbap pula mungkin berbeza berbanding futomaki. Contohnya gabungan daging dan jeruk lobak, jarang-jarang kita jumpa pada futomaki.

Nasi pada gimbap juga tak diperasakan dengan cuka, bahkan penyediaan gimbap juga menggunakan minyak bijan. Ini membuatkan rasa antara gimbap dan futomaki berbeza.

Apa Bezanya Kim dan Nori?

Kim ataupun gim hanyalah bahasa korea untuk nori, iaitu rumpai laut kering. Walaupun ada yang kata pembuatan kim menggunakan perasa seperti minyak dan garam, yang tak digunakan pada nori; penulis tak dapat rasakan perbezaannya.

Kekurangan Pada Produk Sedia Dimakan

Secara keseluruhannya, penulis memang berpuas hati dengan dosirak dan gimbap yang penulis makan di CU Mart. Terutamanya pada bilangan ketulan ayam yang penulis dapat, sesuailah dengan harganya.

Kalau ada kekurangan tu, biasalah untuk sebuah produk sedia dimakan. Contohnya seperti ikan bilis dan ayamnya yang tak rangup, coleslawnya yang sedikit masam, dan dagingya yang kurang juicy.

Jadi, sebelum beli semaklah dulu "tarikh akhir", "expiration date" atau "best before date" pada bungkusan makanan.

azizinet00 | Hari3aku

Post a Comment

To Top