Pengalaman Menaiki ETS KTMB: Kelebihan Menaiki ETS Berbanding Kereta dan Bas

Apa yang lebih laku berbanding pisang goreng panas kalau bukan tiket bas setiap kali musim perayaan. Bila lagi nak berkumpul dengan keluarga kalau bukan waktu beraya?

Dengar pula cerita kebanyakan tiket bas dari Lembah Klang dah habis terjual semakin kita mendekati hari perayaan. Lewat dapatkan tiket? Sama ada pilihan bas menjadi terhad, ataupun tak dapat pulang beraya.

Bas ekspres sering dijadikan pilihan disebabkan oleh harganya yang jauh lebih murah berbanding alternatif lain seperti kapal terbang dan teksi. Kereta api juga adakalanya lebih mahal.

ETS, Komuter Utara, dan KTM Antarabandar

Untuk pengetahuan, KTMB menyediakan tiga jenis perkhidmatan untuk perjalanan antara negeri di semenanjung Malaysia. Pertamanya ETS, keduanya Komuter Utara dan satu lagi KTM Intercity atau Antarabandar.

Kalau naik ETS, harganya lebih mahal berbanding bas untuk kebanyakan perjalanan yang sama. Contohnya dari Kuala Lumpur ke Butterworth cuma dalam RM33 untuk bas, tetapi RM59 ke 78 untuk ETS.

KTM Intercity pula hampir sama kos tiketnya seperti bas ekspres. Perbezaan harga antara ETS dan KTM Intercity adalah bersesuaian dengan keadaan dan kelajuan kereta api yang digunakan.

Kenapa Pilih ETS?

Kelajuan KTM Intercity boleh mencecah 110 km/j, manakala ETS pula 140 km/j. Selain daripada menggunakan kereta api yang lebih baharu, ETS juga lebih pantas. Jadi memang patutlah harga ETS lebih mahal.

Sejak 2015, KTMB mula menggunakan ETS untuk perjalanan antara Gemas dan Padang Besar. Pada awal pengenalannya pada tahun 2010, ETS hanya meliputi perjalanan antara Seremban dan Ipoh.

Jadi sesiapa yang kampungnya di sekitar Gemas, Seremban, Ipoh, Butterworth, dan Sungai Petani bolehlah balik dengan ETS. Penulis sendiri dah dua kali naik ETS untuk perjalanan jarak jauh antara Selangor dan Pulau Pinang.

ETS Lebih Pantas Berbanding Kereta

Dengan keupayaannya mencapai kelajuan 140 km/j, ETS merupakan pengangkutan yang secara sah lebih pantas berbanding kereta. Ini belum diambil kira keadaan trafik lebuhraya setiap kali musim perayaan.

Walaupun lebuhraya berada dalam keadaan yang lengang sekalipun, had laju kebangsaan cumalah 110 km/j.

Bebas Tekanan Kesesakan

Perjalanan dari Sungai Buloh ke Bukit Mertajam selalunya mengambil masa dalam 4 jam atau lebih, tetapi boleh jadi 6 jam ketika musim perayaan disebabkan keadaan trafik yang perlahan.

Dengan ETS, perjalanan yang sama cuma mengambil masa 3 jam setengah luar dan dalam musim perayaan.

Kurang Risiko Kemalangan

Risiko kemalangan adalah tinggi ketika musim perayaan, lebih tinggi kalau kenderaan dibawa melebihi kelajuan 110 km/j. ETS lah alternatif yang lebih pantas dan selamat.

Kadang-kadang, risiko kemalangan menjadi tinggi bukanlah disebabkan oleh kita, tetapi disebabkan oleh pemandu lain yang memandu dalam keadaan berbahaya.

Kafe, Toilet dan Surau

ETS juga mempunyai kemudahan lain yang tiada pada bas. Di dalam ETS ada kafe, toilet dan surau, dah tak perlu tunggu berhenti di R&R untuk makan, buang air dan solat.

Pilihan makanan yang ada di kafe juga pelbagai, bergantung pada waktu dan keadaan. Mi segera dan air botol sentiasa ada, dan boleh makan di kafe ataupun tempat duduk masing-masing.

Menepati Masa

Selain daripada laju, ETS juga lebih tepat pada waktunya. Kalau tiket kata akan tiba 3:15 petang, akan tiba sekitar waktu tu. Kalau ada kelewatan pun selalunya tak lama, kalau lama tu dikira kes terpencil.

Dengan bas atau kereta, ada banyak perkara yang boleh menyebabkan kelewatan. Contohnya kemalangan, kesesakan di tol, penutupan lorong, dan sekatan jalan raya.

Jom Naik ETS

Penulis tak kisah untuk naik ETS lagi selepas ni memandangkan pengalaman penulis adalah positif. Bagi penulis, naik ETS adalah jauh lebih selesa berbanding naik bas.

Perkhidmatan ETS terbahagi kepada platinum, gold dan silver. Dari segi harga, silver lebih murah berbanding gold, gold pula lebih murah berbanding platinum. Jadi untuk dapatkan harga yang murah, dapatkan gold atau silver.

Nak lebih murah? Boleh dapatkan KTM i-Card, syaratnya mestilah seorang pelajar dan perlu bayar yuran tahunan sebanyak RM33. Dengan KTM i-Card, kita cuma perlu bayar 60% daripada harga tiket dewasa untuk ETS dan KTM Antarabandar.

Boleh juga lakukan pendaftaran konsesi kalau korang merupakan seorang tentera atau bekas tentera, ahli bomba, OKU, polis, pesara kerajaan ataupun warga emas.

Penulis harap ada kesempatan untuk penulis naik KTM Antarabandar selepas ni, bolehlah penulis kongsikan pengalaman penulis menaiki sleeper train ke Kelantan.

Untuk promosi-promosi lain atau pengumuman berkaitan perkhidmatan KTMB, boleh ke laman facebook KTM Berhad.

azizinet00 | Hari3aku

Post a Comment

To Top