Berkelah dan Bermandi-manda di Pantai Teluk Bayu, Teluk Kumbar, Pulau Pinang: Luas dan Bersih

Membesar di bandar, sudah tentu kita akan rindu suasana luar bandar seperti di kampung-kampung dan pantai-pantai. Untungnya kita rakyat Malaysia sebab kita dikelilingi lautan dengan pantai yang cantik.

Pantai Penarik di Terengganu, Pantai Cahaya Bulan di Kelantan, Pantai Morib di Selangor, Pantai Merdeka di Kedah, dan Pantai Penyabong di Johor. Setiap negeri ada pantai-pantainya yang tersendiri.

Pantai Teluk Bayu, Pulau Pinang

Di Pulau Pinang khususnya, penulis selalu pergi ke Pantai Tanjung Bungah. Cuma kunjungan penulis ke Pulau Pinang kali ni membawa penulis ke sebuah pantai yang berbeza iaitu Pantai Teluk Bayu.

Bertentangan dengan Pantai Tanjung Bungah, Pantai Teluk Bayu terletak di bahagian selatan pulau Pulau Pinang — di Sungai Batu, Teluk Kumbar, Bayan Lepas.

Untuk sampai ke Pantai Teluk Bayu, kita perlu melalui kawasan perumahan dan kampung, kedudukannya agak tersorok berbanding Pantai Tanjung Bungah yang kita boleh lihat dari jalan utama.

Kalau datang pada waktu pagi, gerai-gerai di Pantai Teluk Bayu masih belum dibuka jadi kita boleh dapatkan sarapan di kawasan perumahan tadi. Boleh makan roti canai sarang burung di warung Roti Canai Gebu Abg R.


Jalan dari kawasan kampung ke Pantai Teluk Bayu sedikit sempit, sama seperti kawasan parkir di pantai. Namun, kesusahan memasuki dan mencari parkir di Pantai Teluk Bayu memang berbaloi.

Sebelum tiba di Pantai Teluk Bayu, kita akan nampak sebuah tasik yang luas di sebelah kiri.

Pantai yang Luas

Pantai Teluk Bayu merupakan pantai yang luas, memang sesuai dijadikan tempat berkelah dan berkhemah. Memang ramai yang mandi di sini, ada juga yang datang untuk memancing.

Dari pemerhatian penulis, ramai yang datang ke sini membawa khemah sebagai tempat persalinan. Mungkin sebab tandas terletak agak jauh, di hujung sebelah kanan pantai.

Kalau datang awal, bolehlah cari kawasan berhampiran tandas. Tidak pun, boleh juga ke tandas di belakang warung Pak Tam Mee Udang, cuma bagi penulis kurang sesuai dijadikan tempat persalinan.

Pantai dan Laut yang Bersih

Walaupun tak jernih, air di sini agak bersih. Cuma perlu berhati-hati sebab lautnya agak dalam selang beberapa meter dari gigi air, ada juga bahagian yang berselut.

Kalau pandai berenang memang seronok, masih rasa luas walaupun ramai orang. Boleh ber"freestyle" dan ber"breaststroke" tanpa perlu risau berlanggar dengan orang lain.

Lapar? Tiada Masalah

Selesai mandi laut mesti lapar kan? Di Pantai Teluk Bayu ada gerai takoyaki, lokching, dan jagung rebus. Untuk makanan yang lebih berat, boleh makan mi udang di warung Pak Tam Mee Udang.

Kemudahan seperti tempat duduk dan tong sampah disediakan. Boleh duduk di kerusi, berehat sambil menikmati pemandangan laut, ataupun hampar tikar di atas pasir dan berkelah.

Yang paling penting, kalau ke pantai tolong jangan buang atau tinggalkan sampah di merata-rata tempat, buang di tong sampah yang disediakan, atau bawa pulang kalau tiada tong disediakan.

Kalau datang ke sini tetapi tak berkesempatan untuk berkelah disebabkan pengunjung yang terlalu ramai, jangan sedih, boleh cuba berkelah di Pantai Tanjung Asam — cuma 5.1 kilometer dari Pantai Teluk Bayu

azizinet00 | Hari3aku

Post a Comment

To Top