Indahnya Pemandangan di Pantai Penyabong, aka Pantai Pasir Lanun, Endau, Mersing

Pantai Penyabong Endau Mersing
Sebelum ni penulis pergi ke Pantai Penarik, Terengganu untuk makan ikan celup tepung. Pantai di Terengganu memang cantik. Tetapi Terengganu bukanlah satu-satunya negeri yang terkenal dengan pantai-pantai yang cantik. 

Mersing, Johor juga terkenal dengan pantai-pantai yang cantik. Contohnya seperti Pantai Penyabong yang penulis pergi baru ni. Pantai Penyabong terletak di kawasan Endau, dalam 20km dari bandar Endau, dan 40km dari bandar Mersing.

Selamat Datang ke Pantai Penyabong
Pantai Penyabong (atau Pantai Penyabung) juga pernah dikenali sebagai Pantai Pasir Lanun. Ada lanun ke di pantai ni? Dengar cerita lanun pernah jadikan pantai ni sebagai tempat persinggahan dan bersembunyi, mereka juga sering melakukan aktiviti menyabung ayam.

Itulah asal usulnya nama Penyabong dan Pantai Pasir Lanun. Tetapi jangan risau, sebab ini cerita kurun ke-19. Sekarang, Pantai Penyabong telah pun ditambah baik menjadi lebih mesra pengunjung. Parkir, gerai makan, tandas, dan taman mainan juga ada disediakan.

Mencari Remis di Pantai Penyabong
Sewaktu penulis di Pantai Penyabong, penulis dapat lihat orang mencari sesuatu di tepi pantai, mungkin remis. Penulis juga dapat lihat orang memancing dari sebuah jeti kecil berhampiran dengan pantai. 

Jeti LKIM Pantai Penyabong
Kalau korang nak memancing di kelong, boleh ke Kelong Acheh Resort dengan menaiki bot di Jeti LKIM Penyabong. Dari Jeti LKIM Penyabong ni juga kita boleh lihat pemandangan laut dan pulau-pulau berdekatan seperti Pulau Pelanduk, Pulau Tengah, dan Pulau Acheh.

Kalau nak bermalam di Pantai Penyabong pun boleh, boleh menginap di Penyabong Warisan Resort, Endau Beach Resort, Pasir Lanun Camp & Chalet, atau Idaman Permai Resort.

Medan Selera Pantai Penyabong
Selepas bermain di pantai mesti perut pun rasa lapar kan? Bolehlah ke medan selera pula. Ada satu gerai ikan celup tepung yang murah dan sedap di sini. Keadaan medan selera juga agak selesa dan cantik.

Kalau datang ke Endau, jangan lupa singgah ke Pantai Penyabong. Lupakan sekejap kesibukan dunia, boleh ke sini untuk menikmati udara yang nyaman, dan pemandangan yang tenang.

Pantai Penyabong yang sekarang bukan Pantai Penyabong 5 atau 10 tahun akan datang. Bahkan Pantai Penyabong beberapa tahun lepas pun jauh berbeza dengan Pantai Penyabong yang telah diubah suai sekarang. Jadi kalau ada kesempatan walaupun sekali datanglah ke Pantai Penyabong.

Post a Comment

To Top