Ikan Celup Tepung (ICT) yang Murah di Medan Selera Pantai Penyabong

Gerai Ikan Celup Tepung Pantai Penyabong
Kalau ke pantai timur mesti nak makan ikan celup tepung kan? Baru ni penulis ada kongsi tentang Pantai Penyabong di Endau, salah satu pantai yang cantik kita boleh lawat di daerah Mersing, dah tengok ke belum?

Ingat tak penulis ada cerita tentang satu gerai ikan celup tepung yang penulis rekomen korang cuba tu? Gerai tersebut terletak di Medan Selera Pantai Penyabong, merupakan gerai no 1 yang terletak paling hadapan dan paling hampir dengan Jeti LKIM Penyabong.

Gerai Ikan Celup Tepung Pantai Penyabong
Pada waktu penulis ke Pantai Penyabong, ramai juga yang beratur di gerai tersebut. Nama gerai tersebut, seperti yang tertera pada gerai; hanyalah Ikan Celup Tepung (ICT). 

Laman Medan Selera Pantai Penyabong
Tempat makan sedikit sempit, tetapi selesa. Ada banyak tempat duduk, boleh pilih nak duduk di kawasan yang berbumbung ataupun tak. Rekaan laman kawasan medan selera juga agak cantik selepas diubah suai.

Di sini, kita boleh dapatkan makanan laut celup tepung seperti ikan kembong, ikan selayang (atau sardin), udang, dan ketam. Selain itu, ada juga makanan lain seperti otak-otak, satar, keropok lekor, dan juga cucur udang.

Harga Ikan Celup Tepung Pantai Penyabong
Yang menariknya, di sini harganya semua murah-murah. Ikan celup tepung, contohnya; dijual pada harga RM4, 3, atau 2 seekor bergantung pada gred atau saiz. Ketam dijual pada harga RM6, 4, atau 2. Otak-otak dan satar pula dijual pada harga 50 sen sebiji.

Bagi penulis celup tepungnya memang sedap. Satunya disebabkan oleh tepung yang digunakan, keduanya disebabkan oleh sos yang disediakan. Kalau korang lebih suka makan dengan sambal kicap, ada juga disediakan.

Ikan Celup Tepung Pantai Penyabong
Makanan yang penulis paling suka di sini ialah otak-otak. Otak-otak yang dijual memang sedap, nampak macam otak-otak Gelang Patah dari Johor, tetapi rasa dan rempahnya mengingatkan penulis kepada otak-otak pais dari Terengganu.

Kekurangannya di gerai Ikan Celup Tepung (ICT) Pantai Penyabong ni, mereka tak jual sotong goreng tepung. Kecewa sikit sebab penulis lebih suka sotong goreng tepung berbanding udang dan ketam.

Selain dari gerai Ikan Celup Tepung (ICT), ada juga gerai yang menjual asam pedas, buah-buahan, dan lain-lain. Jadi kalau korang ada atau bermalam di Endau, ringan-ringankanlah diri untuk cuba ikan celup tepung di Pantai Penyabong.

Gerai dibuka setiap hari dari pukul 2 sehingga 7 petang. Andai kata waktu korang ke sana nanti dah ada sotong goreng tepung, tolong bagitahu penulis di ruang komen di bawah ye.

Post a Comment

To Top