Pengalaman Pertama Berbelanja Secara Dalam Talian di Potboy Groceries

Sebagai seorang rakyat yang prihatin, kita akan lakukan segala yang terdaya dalam mengekang wabak Covid-19 seperti mengawal pergerakan di luar rumah untuk menjaga penjarakan fizikal.

Atas sebab yang sama juga lebih ramai mula beralih arah kepada perbelanjaan secara online, termasuklah dalam membeli barangan dapur dan kelengkapan harian.

Disebabkan kes yang meningkat di Selangor, penulis telah membuat keputusan untuk membeli barangan dapur secara dalam talian menggunakan perkhidmatan Potboy Groceries.

Menurut carian penulis, Potboy Groceries sudah berkhidmat sejak 2016 untuk kawasan sekitar Lembah Klang. Jadi penulis menjangkakan servis yang lancar dan baik dari mereka.

Namun, apa yang penulis dapat adalah sebuah servis yang kurang lancar dengan beberapa isu sistemik dan teknikal yang sepatutnya tidak berlaku selepas 4 tahun penubuhan.

Jangan salah faham, penulis tak bermaksud yang servis dari Potboy Groceries tidak bagus, cuma ada beberapa perkara yang perlu lebih diperbaiki.

Pelayaran pada laman sesawang agak mudah, penulis tak ada masalah mencari barang yang hendak dibeli. Proses pemilihan dan pembelian juga tiada masalah.

Satu lagi yang penulis puji ialah sistem penjejakan penghantaran yang bukan sahaja dikemaskini statusnya pada akaun Potboy Groceries, tetapi juga melalui e-mel.

Untuk setiap pembelian juga akan disertakan invois secara automatik, amat berguna untuk mereka yang hendak merekod perbelanjaan bulanan

Namun, ada beberapa perkara yang penulis hendak ketengahkan, yang penulis rasa boleh diperbaiki atau dinaik taraf bukan sahaja oleh Potboy Groceries, tetapi peniaga-peniaga dalam talian yang lain juga.

Pengurusan Stok

Daripada 11 barang yang penulis beli, penulis hanya terima 7. 4 daripadanya tidak dapat dihantar dalam tempoh dua minggu dari tarikh pembelian.

Tetapi, barang-barang yang tidak dapat dihantar tadi tidak menunjukkan sebarang tanda ketiadaan stok pada waktu pembelian pada laman Potboy Groceries. Hal yang sama juga selepas dua minggu dari tarikh pembelian.

Persoalannya, adakah Potboy Groceries menjual barangan yang ketiadaan stok? Kalau barangan yang diambil dan dihantar ke sesebuah tempat datang dari gudang yang berlainan, maklumat stok barangan haruslah dari gudang yang berkaitan.

Apa gunanya kalau dalam laman sesawang menunjukkan kewujudan stok yang datang dari gudang yang peniaga itu sendiri tidak akan hantar kepada pembeli disebabkan oleh jarak yang lebih jauh dan sebagainya?

Untuk servis yang lebih efisyen, barang haruslah datang dari beberapa, atau lebih bagus lagi hanya satu; gudang berhampiran pembeli. Jadi penulis nasihatkan untuk mengemaskini maklumat stok barangan berdasarkan poskod pembeli, dan gudang yang ditugaskan untuk membuat penghantaran ke poskod tersebut supaya masalah seperti ini tidak akan berulang.

Untuk barang yang ketiadaan stok, peniaga mempunyai tanggungjawab untuk meletakkan status ketiadaan stok ataupun pra-pesanan.

Penghantaran

Pertama sekali, penghantaran oleh Potboy Groceries adalah percuma. Cuma penulis harap barang yang dihantar dikumpulkan dan disusun mengikut penerima. Jadi tak ada la tercari-cari barang sewaktu penghantaran, semakan sebelum dan sewaktu penghantaran pun lebih mudah dilakukan selain daripada mengurangkan risiko keciciran.

Kegagalan dalam mengumpul dan menyusun barang akan menyebabkan penghantaran menjadi kurang efisyen kerana banyak masa akan digunakan untuk mencari barang di dalam kenderaan penghantar.

Menurut Potboy Groceries, pembeli akan diberitahu jika ada barang yang tidak sempat atau gagal dihantar pada hari sepatutnya penghantaran dilakukan, tetapi ini tidak berlaku. Sebaliknya penulis diberitahu barang dalam proses penghantaran pada hari selasa, tetapi barang dihantar pada hari rabu tanpa diberitahu.

Maklumat atau Butiran Pesanan

Barang yang dihantar dan tidak juga perlu disemak sebelum penghantaran dilakukan, kemudian dikemaskini pada maklumat pesanan. Dengan cara ni, peniaga, penghantar, dan pembeli sudah sedia maklum barang apa yang akan dihantar, dan barang apa yang tidak dihantar.

Mengikut carian penulis, pada tahun 2017, pengguna akan dapat lihat barang apa yang dibeli, dan barang apa yang sudah dihantar dari maklumat pesanan. Tetapi sekarang, pengguna cuma boleh lihat barang apa yang dah dibeli. Walaupun penulis hanya dapat 7 daripada 11 barang, tidak ada sebarang perubahan pada maklumat sebagai pengesahan.

Selepas dua minggu dari tarikh pembelian, sistem memberitahu bahawa penulis perlu memohon bayaran balik daripada potboy untuk tiga, bukannya empat; barang yang masih belum dihantar. Apa status lagi satu barang?

Disebabkan maklumat pesanan tidak dikemaskini dengan maklumat status penghantaran setiap barang, pembeli tidak mempunyai bukti untuk barangan yang tidak dihantar. Pembeli juga tidak dapat membuat semakan atau teguran jika ada maklumat pesanan yang tersalah, sehinggalah diberitahu selepas dua minggu.

Remeh atau Tidak?

Mungkin ada yang anggap remeh isu-isu yang penulis ketengahkan tadi. Tetapi, secara total penulis telah berbelanja sebanyak RM99.54, dan perlu menuntut bayaran balik sebanyak RM31.24 atau 31.4% dari jumlah perbelanjaan.

Berbaloi atau tidak menghabiskan masa selama dua minggu untuk penghantaran, dan dua minggu lagi untuk tuntutan bayaran balik, jawapannya terpulang pada masing-masing. Tetapi bagi penulis, memang tidak berbaloi.

Lebih-lebih lagi apabila tuntutan itu perlu dilakukan atas sebab atau masalah yang sepatutnya tidak berlaku pun jika daripada awal lagi pengurusan stok dilakukan dengan lebih cekap dan sistematik.

Ini bertentangan dengan tujuan pengguna berbelanja secara dalam talian yang sepatutnya memudahkan dan lebih efisyen, jadi tidak peliklah kalau masih ramai orang lebih selesa berbelanja di pasaraya untuk barangan dapur.

Penulis akan berbelanja lagi di Potboy Groceries atau tidak? Disebabkan bayaran balik untuk nilai bawah RM50 dari Potboy Groceries menggunakan "shopping credit", penulis kena lah berbelanja lagi di sini.

Penulis tak ada masalah untuk gunakan perkhidmatan Potboy Groceries lagi selepas ni, cuma penulis akan ada trust issue. Jadi penulis akan utamakan alternatif lain terlebih dahulu sehingga Potboy Groceries selesaikan isu-isu yang penulis sebutkan tadi.

1 Comments

To Top