Simpanan atau Pelaburan? Cara Mudah Memulakan Pelaburan

Photo by Anna Nekrashevich from Pexels

Financial literacy, atau celik kewangan merupakan skil atau kemahiran yang amat penting pada abad ke-21. Celik kewangan ialah keupayaan seseorang, berbekalkan pengetahuan tertentu; dalam membuat keputusan yang bijak berkaitan kewangan.


Kemahiran ini termasuklah keupayaan dalam menguruskan perbelanjaan, hutang, dan pelaburan, tiga perkara yang tidak asing lagi dari kehidupan kita. Kemahiran ini juga penting untuk kemandirian dan kelangsungan hidup individu.


Pelaburan, khususnya; merupakan satu usaha atau tindakan yang melibatkan perbelanjaan sebahagian wang atau harta dengan tujuan mendapatkan keuntungan dari perbelanjaan tersebut. Tidak terhad kepada hartanah dan perniagaan, pelaburan juga boleh dilakukan dalam instrumen kewangan seperti saham, sukuk, bon, dana bersama, dan amanah saham.


Walaupun pelaburan dilakukan dengan tujuan mendapatkan keuntungan. setiap pelaburan datang dengan risikonya yang tersendiri. Pelaburan berisiko tinggi dapat memberikan pulangan yang lebih besar, tetapi ia juga boleh membawa kerugian yang sama besar juga.


Kalau boleh rugi kenapa perlu melabur, sedangkan kita boleh menyimpan bukan? Tidak ada masalah dengan menyimpan tetapi kita perlu sedar, walaupun tiada risiko kerugian dengan menyimpan, ringgit akan terkesan dengan susut nilai matawang.


Dalam kata lain, nilai RM100 pada tahun ini, tidak akan sama dengan RM100 pada tahun yang akan datang. Jika kadar inflasi ialah 2%, ini bermakna kita perlukan RM102 untuk dapatkan nilai yang sama pada tahun yang akan datang.


Disebabkan susut nilai matawang, kita amat digalakkan untuk melabur bagi mendapatkan keuntungan melebihi kadar inflasi. Bagi mereka yang masih baru dalam dunia pelaburan, dan tidak mempunyai masa untuk belajar ilmu pelaburan atau menguruskan pelaburan mereka sendiri, ada beberapa cara yang boleh dilakukan.


Amanah Saham

Sebagai pemula, amat sesuai untuk melabur dalam pelaburan berisiko rendah seperti amanah saham ASB (Amanah Saham Bumiputera) dan ASM (Amanah Saham Malaysia). Amanah saham merupakan antara pilihan pelaburan yang rendah risiko, tetapi dengan pulangan yang lebih rendah.


Keuntungan dari amanah saham adalah dalam bentuk dividen yang diagihkan setiap tahun. Walaupun prestasi ASB beberapa tahun lepas kurang memberangsangkan, ASB mempunyai rekod yang baik dalam memberikan dividen sekurang-kurangnya 7% setiap tahun sejak 30 tahun yang lepas.


Urusan berkaitan unit amanah ASB boleh dilakukan melalui cawangan ASNB, laman portal myASNB, dan ejen-ejen ASNB seperti, tetapi tidak terhad kepada; Pos Malaysia, Maybank, CIMB, dan Bank Islam (rujuk cawangan ASNB dan ejen-ejen ASNB).


Akaun Simpanan Tetap

Photo by Pixabay

Untuk setiap wang yang kita simpan dalam akaun simpanan, pihak bank akan membayar pulangan atau faedah. Namun, pulangan untuk wang yang disimpan dalam akaun simpanan, bergantung pada jenis akaun; adalah rendah.


Untuk mendapatkan kadar pulangan atau faedah yang lebih tinggi, kita boleh simpan wang dalam akaun simpanan tetap. Wang yang disimpan dalam akaun simpanan tetap tidak boleh dikeluarkan untuk satu tempoh yg ditetapkan dan telah dipersetujui. Lebih lama tempoh penyimpanan dalam akaun simpanan tetap, pulangannya lebih tinggi.


Kaedah ini mempunyai risiko yang terendah, tetapi pulangannya juga lebih rendah berbanding amanah saham. Rancang dengan teliti, kerana wang ini tidak boleh dikeluarkan sebelum tiba tarikh kematangan walaupun untuk kegunaan kecemasan.


Penasihat Kewangan Digital (Roboadvisor)

Roboadvisor telah diperkenalkan kepada umum seawal tahun 2008, namun ia mula diperkenalkan di Malaysia pada tahun 2018. Penasihat kewangan digital ini akan menguruskan pelaburan kita secara automatik menggunakan algoritma yang direka khas bagi meminimakan kerugian dan memberikan keuntungan secara optimum.


Risiko pada pelaburan menggunakan roboadvisor seperti Stashaway, myTHEO, BEST invest, Raiz dan Wahed bergantung pada pilihan portfolio yang disediakan. Portfolio berisiko tinggi boleh memberikan pulangan yang lebih tinggi. Walaupun demikian, oleh kerana pelaburan berisiko tinggi lebih terdedah atau terkesan dengan naik turun pasaran, ia lebih sesuai untuk pelaburan jangka panjang.


Kalau kita melaburkan sejumlah wang yang kita akan perlukan semula untuk kegunaan tertentu dalam jangka masa yang pendek, portfolio berisiko rendah atau sederhana lebih digalakkan.


Setiap penasihat kewangan digital adalah berbeza, mereka mempunyai produk, portfolio dan caj yang berbeza, jadi sila semak terlebih dahulu sebelum menggunakan sebarang servis penasihat kewangan digital.


Boleh ke Melabur Bermodalkan RM100?

Untuk pelaburan melalui amanah saham dan roboadvisor, kita boleh mula melabur dengan bermodalkan RM100. Namun, penulis galakkan supaya kita melabur sekurang-kurangnya RM1000 untuk lebih nampak hasil pelaburan tersebut.


Tak perlu pun terus masukkan RM1000, kita boleh mula dengan melabur RM100 pada setiap bulan, selepas setahun kita akan ada pelaburan yang bernilai lebih RM1000.


Untuk pelaburan menggunakan akaun simpanan tetap pula, kita akan perlukan modal yang lebih tinggi — RM500 ke atas.


Jadi selepas baca artikel ni, rasa-rasa lebih elok menyimpan atau melabur? Melabur ada banyak kelebihannya, tetapi jangan pula kita laburkan semua wang yang kita ada, kita masih perlukan tunai kerana tunai mempunyai tahap kecairan yang paling tinggi dan boleh digunakan serta merta ketika kecemasan.

16x16-instagram azizinet00 | facebook hari3aku

Post a Comment

To Top