Bazar Ramadhan 2021: Rambang Mata Melihat Juadah di Bazar Ramadhan PKNS Shah Alam

Baru ni penulis ke bazar Ramadhan Stadium Shah Alam, terliur tengok juadah yang ada di sana. Kali ni penulis pergi ke bazar Ramadhan PKNS Shah Alam pula. Ntah bila kali terakhir penulis ke bazar PKNS Shah Alam, rasanya macam dah lama.

Masalah dengan bazar PKNS Shah Alam, parkir agak terhad, jalan pun agak sibuk. Kawasan bazar juga, disebabkan ruang sekeliling bangunan PKNS Shah Alam yang terhad; jauh lebih kecil berbanding bazar Stadium Shah Alam

Sama seperti di bazar Stadium Shah Alam, setiap pengunjung akan diberikan nombor ketika tiba giliran untuk masuk ke kawasan bazar. Kanak-kanak berumur 12 tahun ke bawah juga tidak dibenarkan masuk ke kawasan bazar.

Walaupun bazar PKNS Shah Alam tidak sepanjang bazar Stadium Shah Alam, juadah yang ada di sini tetap menggiurkan. Jom kita tengok apa yang ada di bazar PKNS Shah Alam.

Nasi Tomato Ayam Percik

Antara tarikan di bazar PKNS Shah Alam ialah nasi tomato ayam percik. Walaupun penulis lebih sukakan nasi tomato dengan ayam masak ros, ayam percik pun nampak menarik juga. Sekali sekala tukar selera apa salahnya.

Takoyaki

Penulis memang suka betul makan takoyaki, dengan syarat mayonis dan sos takoyaki yang digunakan tu sedap. Kalau ada kubis lagi sedap, macam takoyaki yang penulis pernah cuba di Aeon dulu, tak ingat dah cawangan mana.

Kebab

Di hujung laluan bazar ada satu gerai kebab, S.I. Kiosk namanya. Nampak menarik bila tengok ayam yang dimasak di pemanggang. Beratur juga pelanggan mencari kebab dan roti john di gerai ni.

Pasembor

Nama lainnya rojak Singapura. Ada banyak pilihan gorengan di sini antaranya sosej, bebola ikan, cucur udang, wantan, tauhu, kentang dan filamen ketam. Pasembor kalau makan dengan kuah kacang memang sedap.

Popia

Satu benda yang penulis perasan, di bazar Shah Alam banyak betul gerai Popiah S.S. Ali. Penulis dah pergi bazar Stadium Shah Alam, PKNS Shah Alam, dan Seksyen 19, ketiga-tiga tempat ada gerai Popiah S.S. Ali

Kalau dah banyak sangat buka gerai, mesti sedap popianya. Boleh pilih nak basah atau goreng, penulis dulu sukakan popia goreng, tapi sekarang lebih sukakan yang basah. Lagipun popia goreng cuma sedap apabila dimakan panas-panas.

Keria Gula Melaka

Siapa yang pernah ke Melaka, mesti tau tentang Kuih Keria Antarabangsa di Jalan Limbongan. Antara keistimewaan kuih keria di Jalan Limbongan ialah penggunaan gula melaka. Di bazar PKNS Shah Alam pula, kita ada Keria Gula Melaka Mabelesss.

Aneka Minuman

Tak puas kalau tak berbuka dengan air yang manis. Di setiap bazar Ramadhan mesti ada jual minuman bermacam jenis, setiap berapa hari boleh tukar citarasa. Hari ni air durian belanda, esok kedondong asam boi pula.

Dalam banyak-banyak juadah di bazar Ramadhan PKNS Shah Alam, penulis cuma cuba pasembor. Bukan sebab yang lain tu tak sedap, penulis percaya semuanya sedap cuma tak elok membazir. Bila lapar semuanya kita nak beli, dah berbuka nanti tak habis pula.

Tak banyak yang penulis boleh cakap tentang gorengan pasembor melainkan bagi penulis ianya kurang berminyak. Selain itu, penulis memang sukakan kuah kacang yang disediakan. Bila makan pasembor, kuahnyalah yang akan tentukan sedap atau tidak pasembor tu.

Terliur tak? Kalau terliur bolehlah datang ke bazar Ramadhan PKNS Shah Alam. Kalau nak datang, datanglah awal supaya tak perlu beratur lama. Yang tak dapat masuk ke bazar sebab bawa anak kecil bolehlah jalan-jalan di Tasik Shah Alam, biar wakil keluarga je masuk ke bazar.

2 Comments

To Top