SOP Bazar Ramadhan: Bazar Ramadhan Stadium Shah Alam 2021

Dengan adanya bazar Ramadhan, Ramadhan kali ni nampaknya lebih meriah berbanding tahun lepas. Dari hari pertama puasa, tak putus-putus orang ke bazar Ramadhan walaupun kes Covid-19 semakin meningkat dari hari ke hari sejak Ramadhan.

Namun, bazar Ramadhan yang kita tengok sekarang bukanlah bazar Ramadhan yang kita pernah kenal. Walaupun juadah kegemaran kita seperti tepung pelita dan roti john ada dijual di bazar, sama seperti waktu Ramadhan sebelum pandemik Covid-19; ada sesuatu yang berbeza.

SOP. Kalau ke bazar sebelum ni kita cuma fikir tentang juadah apa yang kita nak beli, sekarang kita kena fikir tentang SOP. Norma baharu sebelum ke bazar Ramadhan, bawa pelitup muka dan pensanitasi tangan.

Di bazar Ramadhan pula, kita perlu tunggu giliran, imbas kod MySejahtera dan suhu badan, bersihkan tangan, dan jaga penjarakan fizikal. Macam ni lah juga waktu penulis ke bazar Ramadhan Stadium Shah Alam pada suatu petang di bulan Ramadhan.

Bazar Stadium Shah Alam

Jumaat 4:00PM

4:00 petang hari Jumaat, penulis sampai di tapak parkir berhampiran bazar yang masih lenggang. Perjalanan dari parkir ke pintu masuk bazar cukup mudah, di pintu masuk pula hanya perlu tunggu dalam 2 ke 3 minit sebelum dibenarkan masuk.

Setiap pengunjung akan diberikan nombor untuk menjaga bilangan pengunjung yang berada dalam kawasan bazar, dan nombor tersebut perlu dipulangkan sewaktu keluar dari bazar.

Penulis dapat nombor 300. Mungkin lebih daripada, atau hanya; 300 orang dibenarkan untuk berada dalam kawasan bazar dalam satu-satu masa. Kawasan bazar agak luas, jadi tak ada masalah untuk tampung 300 orang.

Antara tarikan di bazar Ramadhan Stadium Shah Alam untuk tahun 2021 ialah Nasi Kalut Jitra Mai, Nasi Ayam Golek Zaharah, Murtabak Muar 23 Hari, dan gerai Chef Ammar.

Mungkin tak keterlaluan kalau penulis kata gerai Chef Ammar merupakan tarikan utama di bazar Stadium Shah Alam. Daripada 300 orang yang ada di bazar, mungkin 100 orang sedang beratur di gerai Chef Ammar.

Kalau datang pukul 4 petang, siap sedialah menunggu dalam setengah jam ke sejam untuk dapatkan nasi arab dan lamb shank di gerai Chef Ammar.

Sebelum ni Chef Ammar buka gerai di bazar Ramadhan USJ 4, tahun 2021 ni Chef Ammar buka gerai di bazar Stadium Shah Alam pula. Penulis nasihatkan kepada pengunjung yang nak cuba lamb shank Chef Ammar untuk datang sebelum pukul 4, mungkin lebih awal pada hujung minggu.

Sedikit kecewa sebab tak dapat cuba lamb shank Chef Ammar. Ingatkan pukul 4 dah cukup awal, rupanya lagi ramai yang menunggu lebih awal. Lain kali pula la jawabnya.

Keadaan bazar bersih dan teratur. Dalam perjalanan ke parkir sekitar jam 4:30 petang penulis dapat tengok deretan pengunjung yang sedang menunggu giliran masuk ke bazar. "Mujur aku sampai pukul 4 tadi", terdetik dalam hati.

Bagi penulis, bazar di Stadium Shah Alam tidaklah sepanjang yang penulis harapkan. Tetapi, masih banyak pilihan makanan yang menarik di sini.

Bazar Stadium Shah Alam

Jumaat 4:30PM

Jadi kalau mencari bazar terbaik di Selangor, bolehlah datang ke sini, dan jangan lupa datang awal. Sebabnya kalau datang lambat, lama juga kena beratur.

Walaupun tak dapat lamb shank, penulis pulang berbekalkan sate, keropok lekor, dan roti jala kuah durian. Rasa menyesal pula tak beli daging bakar Bangkok, terngiang-ngiang je di fikiran sepanjang perjalanan pulang.

Post a Comment

To Top