GameSir T4 Pro Controller. Pengawal Permainan Pelbagai Platform untuk PC, Android, iOS, dan Nintendo Switch

GameSir T4 Pro

Pemilihan peranti yang bersesuaian dalam permainan video dapat memberikan pemain kelebihan berbandingan pemain yang lain. Walaupun demikian, pengguna PC atau komputer akan lebih cenderung kepada tetikus dan papan kekunci, manakala pengguna konsol pula lebih cenderung kepada alat kawalan permainan atau controller. 


Bagi penulis pula, pemilihan peranti penulis bergantung kepada platform dan jenis permainan. Berbanding pengawal permainan, tetikus dan papan kekunci amatlah tidak sesuai digunakan untuk bermain permainan video pada telefon pintar. Jadi hari ni penulis nak berkongsi tentang sebuah pengawal permainan yang penulis guna.


GameSir T4 Pro bersama kotak

Pengawal permainan tersebut ialah GameSir T4 Pro dari GameSir. Untuk pengetahuan, GameSir keluarkan tiga jenis pengawal permainan untuk siri T4, iaitu T4w, T4, dan T4 Pro. T4w dan T4 hanya berfungsi untuk komputer, cuma T4 Pro sahaja boleh digunakan bersama iOS dan Android. Bukan itu sahaja, GameSir T4 Pro juga boleh digunakan bersama Nintendo Switch. 


Pemasangan bersama PC boleh dilakukan secara berwayar ataupun tanpa wayar dengan menggunakan penerima USB berfrekuensi 2.4GHz. Untuk Android, iOS, dan Switch pula, pemasangan adalah menggunakan bluetooth.


Untuk setiap pembelian GameSir T4 Pro, kita akan dapat sebuah pengawal permainan GameSir T4 Pro, sebuah buku manual, sebuah kabel USB-C, sebuah penerima USB berfrekuensi 2.4GHz, dan juga sebuah pemegang telefon.


Susun atur dan reka bentuknya menyerupai Nintendo Switch Pro Controller dan Xbox One Controller. Kualiti pembuatannya pula terasa premium walaupun diperbuat daripada plastik, hanya kedua-dua stik analog diperbuat daripada getah.


GameSir T4 Pro Programmable Buttons

Selain daripada butang-butang utama seperti yang ada pada pengawal-pengawal permainan lain, GameSir T4 Pro juga mempunyai empat butang boleh atur cara (programmable). Keempat-empat butang ini boleh ditetapkan untuk mewakili kombinasi butang-butang utama yang dilakukan secara serentak atau berturut.


Walaupun plastik merupakan material utama, GameSir T4 Pro amat selesa digenggam dan digunakan kerana reka bentuknya yang ergonomik dan teliti. Contohnya pemegang pengawal ini direka untuk  menguatkan genggaman. Stik analog pula menggunakan getah yang bersifat anti slip untuk memudahkan kawalan.


GameSir T4 Pro LED

GameSir T4 Pro juga mempunyai lampu LED yang berwarna biru, kuning, merah, dan hijau pada bahagian kanan pengawal.  Ini menjadikan pengawal permainan ini nampak lebih menarik terutamanya di dalam keadaan gelap.


GameSir T4 Pro Charging Port

GameSir T4 Pro dibekalkan dengan bateri berkapasiti 600mAh yang boleh dicas semula menggunakan kabel USB-C yang telah disediakan. Untuk setiap pengecasan penuh, pengawal permainan ini boleh digunakan sehingga 8 jam tanpa wayar bergantung pada corak penggunaan.


Untuk penggunaan bersama telefon pintar pula, telefon boleh diletakkan pada pemegang telefon yang disangkutkan pada pengawal. Bagi penulis GameSir T4 Pro ni agak ringan, masih selesa dan seimbang digunakan walaupun bersama telefon.


GameSir T4 Pro

Penulis gunakan pengawal ini untuk bermain permainan-permainan retro menggunakan perisian emulator atau pelagak. Oleh kerana banyak permainan retro, contohnya seperti Metal Slug, King of Fighter, dan Pokemon; berasal daripada konsol, penggunaan pengawal permainan seperti GameSir T4 Pro amat sesuai.


Bukan semua permainan Android dan iOS mempunyai sokongan untuk pengawal. Dalam keadaan ini, 'keymapper' seperti Tincore KeyMapper, Panda Controller Pro, atau GameSir World daripada GameSir sendiri perlu digunakan. Penulis secara peribadi menggunakan Mantis Gamepad Pro. Cara pemasangan setiap perisian 'keymapper' ini sedikit renyah.


GameSir T4 Pro with Smartphone

Sebelum menggunakan GameSir T4 Pro, baca buku manual terlebih dahulu. Buku manual ada menerangkan cara-cara yang berbeza untuk membuat sambungan pada Android, iOS, Switch dan PC. Cara untuk membuat tetapan keempat-empat butang boleh atur cara juga ditulis pada buku manual. 


Walaupun ada banyak pengawal permainan lain yang lebih murah seperti pengawal keluaran Ipega dan Mocute, penulis amat berpuas hati dengan GameSir T4 Pro. Namun, nasihat penulis; kalau perlukan pengawal permainan hanya untuk bermain di telefon pintar secara santai, boleh usyar pengawal-pengawal lain yang lebih murah terlebih dahulu.


Harga yang diiklankan bagi GameSir T4 Pro ialah 39.99USD, tetapi penulis dapatkan di Lazada pada harga RM98.80 termasuk penghantaran. Untuk pengetahuan lanjut mengenai GameSir T4 Pro boleh layari laman sesawang GameSir.

16x16-instagram azizinet00 | facebook hari3aku

2 Comments

  1. Kalau main COD, penulis sarankan untuk pakai controller tak?

    ReplyDelete
  2. @Anonymous Buat masa ni, COD cuma support berapa jenis controller je, DualShock PS4 dgn Xbox One.

    ReplyDelete
To Top