Antara Guru dan Ibu Bapa, dan Peranan Dalam Mendidik Generasi Yang Akan Datang
Mungkin angkara peredaran zaman, fikiran manusia menjadi kacau dalam
memikirkan tugas siapa sebenarnya untuk mendidik generasi akan datang. Dalam
ibu bapa semakin diharapkan untuk mencari rezeki buat keluarga, khususnya
anak-anak; para guru pula semakin diharapkan untuk mendidik anak-anak
tersebut.
Kadang-kadang agak membingungkan juga apabila teknologi yang asalnya bertujuan
untuk memudahkan urusan kini menjadi asbab kepada permasalahan lain yang lebih
merunsingkan. Dalam masa peralatan-peralatan dan perisian-perisian dipercayai
menjadi semakin bijak, manusia pula menjadi semakin bodoh.
Apa guna fasiliti-fasiliti bertaraf dunia dan bangunan-bangunan yang tersergam
indah jika masyarakatnya sendiri masih bermentaliti picisan dan hidup
berpaksikan falasi. Di manakah silapnya? Siapa harus dipertanggungjawabkan
atas kegagalan tersebut? Apakah sistem pendidikan negara kita gagal untuk
melahirkan satu generasi yang bertamadun?
Tugas mendidik bukan hanya untuk guru, ia merupakan tanggungjawab masyarakat
secara umum kerana pembelajaran tidak hanya berlaku di dalam kelas. Sedia
maklum bahawa guru berperanan mendidik anak-anak di sekolah, tetapi apa pula
peranan masyarakat lain khususnya ibu bapa?
Mana mungkin kita dapat mengharapkan generasi yang bertamadun sedangkan ibu
bapa yang seharusnya lebih bertanggungjawab dalam mendidik anak-anak
menyerahkan tugas mendidik anak-anak mereka sepenuhnya kepada guru.
Mana mungkin juga kita dapat mengharapkan generasi yang bertamadun sedangkan
ahli-ahli politik yang sepatutnya menjuarai isu-isu kebajikan rakyat sibuk
meracuni minda masyarakat khususnya mahasiswa demi kuasa dan kepentingan
politik mereka.
Alangkah baiknya jika kita berhenti mementingkan diri sendiri dalam kita hidup
bermasyarakat. Tidak seharusnya juga wujud alasan 'kubur masing-masing' untuk
tidak berfikir tentang orang lain. Kita seharusnya jadi contoh yang baik buat
anak-anak, kerana anak-anak tersebut juga bakal menjadi contoh kepada
rakan-rakannya.
Dalam erti kata lain, apa yang ibu bapa ajarkan atau tunjukkan kepada
anak-anak, akan memberi kesan kepada anak-anak orang lain. Oleh itu, ibu bapa
yang memenangkan sikap buruk anak mereka sebenarnya tidak berlaku adil kepada
ibu-bapa yang lain. Bukan sahaja anak itu membawa satu pengaruh yang tidak
baik, dia juga akan mengganggu tugas seorang guru untuk mendidik anak-anak
lain yang juga berhak mendapatkan didikan.
Jika dilihat secara menyeluruh, sikap sambil lewa ibu bapa dalam mendidik
anak-anak bakal memberikan kesan yang cukup besar kepada generasi akan datang.
Pada masa kini, pengaruh barat yang semakin menebal menjadi cabaran baharu
dalam mendidik. Jika tugas mendidik itu diberikan sepenuhnya kepada guru,
sebaik-baik sistem pendidikan sekalipun mungkin akan gagal.
Benar, ada silapnya menghukum anak-anak sehingga memudharatkan, tetapi
bukankah ia jauh lebih silap jika anak-anak dibiarkan berterusan bersikap
buruk sehingga membawa pengaruh yang tidak baik kepada orang lain?
Ada masa pendekatan seorang guru perlu ditegur, tetapi jangan sehingga kita
secara tidak langsung menggagalkan anak-anak dengan menjadikan seolah-olah
guru yang menghukum itu jauh lebih bersalah dari seorang murid yang berlaku
biadap dan berakhlak buruk. Mereka berani kerana ada yang memenangkan mereka,
mereka berani kerana ada yang menerima tindak-tanduk mereka.
Ingat, guru sebenarnya membantu, ibu bapalah yang mendidik.
(1) Main image by
ddimitrova via pixabay
Post a Comment