Nasi Lemak Ayam Berempah dan Maggi Goreng di Teh Tarik Place
Roti canai, mi segera dan nasi lemak bukanlah makanan yang penulis kaitkan dengan golongan orang berada. Itu semua makanan yang penulis kaitkan dengan warung-warung, gerai-gerai dan kedai mamak.
Belum pernah lagi terfikir akan keluarkan lebih daripad RM16 untuk sepinggan nasi lemak ayam goreng berempah, walaupun ayamnya dipotong empat. Terkejut, tapi tak pelik untuk sebuah restoran di dalam sebuah pusat membeli belah.
TEH TARIK PLACE
Tak macam dulu, keadaan agak lengang waktu penulis ke Teh Tarik Place baru-baru ni — hari yang sama penulis makan teppanyaki di Torii Teppanyaki. Yang masih sama ialah tempatnya yang berada di aras atas Setia City Mall bersebelahan panggung wayang dan berhadapan pusat boling.
Kalau nak jimat, bolehlah pesan daripada menu "santai Petang". Dalam menu "santai Petang" ni boleh pilih dan padankan makanan macam murtabak ayam mini, cucur udang atau cekeodok, dengan minuman seperti teh tarik, milo dan kopi o.
Tapi tujuan ke Teh Tarik Place bukan untuk bersantai-santai, sebab perut dah lapar. Masih belum sarapan walaupun dah masuk tengah hari. Alang-alang nak makan biar bagi kenyang, lagi pun makanan akan dikongsi empat orang.
Jadi penulis pesan nasi lemak ayam berempah dan maggi goreng. To be fair, rasa nasi lemak dan ayamnya sedap jadi berbaloilah walaupun
perlu bayar harga yang lebih mahal berbanding kebiasaan.
NASI LEMAK AYAM BEREMPAH
Dalam sepinggan nasi lemak penulis dapat nasi yang diletakkan di atas daun pisang, timun, sambal, sebiji telur rebus yang dibelah dua, ikan bilis dan kacang yang banyak dan rangup, dan ayam goreng berempah bahagian paha.
Makanan dihidang panas-panas, serdak ayam gorengnya pun sedap dimakan dengan nasi, cuma penulis tak faham kenapa sambalnya sikit sangat sampai penulis perlu catu sambal untuk setiap suapan.
Bab sambal ni bukan masalah di sini je, nasi lemak bungkus yang dijual di gerai atau vendor pada waktu pagi pun ada yang sedikit sangat sambalnya. Sudahlah nasi pun kurang rasa santannya, janganlah kedekut pula dengan sambalnya.
Bezanya nasi lemak di sini berbanding nasi lemak bungkus bermasalah yang penulis sebutkan tadi, di sini masih ada rasa santannya, jadi kalau kurang gunakan sambal pun rasanya masih sedap.
MAGGI GORENG BERSAMA TELUR MATA
Maggi goreng di Teh Tarik Place pun sedap, cuma kalau makan sambil pejam mata akan teringat maggi goreng di kedai mamak sebab rasanya lebih kurang je kecuali kalau korang biasa pergi kedai mamak yang tak pandai goreng maggi.
Cuma maggi goreng di sini nampak lebih ceria. Ada sedikit warna hijau daripada timun, sedikit warna jingga daripada lobak, dan sedikit warna kuning daripada jagung dan telur mata. Sosej pun ada, sesuailah untuk kanak-kanak.
Secara peribadi, lebih sukakan ayam berbanding sosej, jadi kalau dipaksa pilih penulis akan beli nasi lemak ayam berempah walaupun harganya satu setengah kali lebih mahal berbanding maggi goreng.
Kalau nak cuba makan di Teh Tarik Place, penulis memang syorkan untuk cuba nasi lemak ayam berempah. Cuma penulis tak boleh jamin korang — terutamanya yang makan kuat — akan kenyang sebab nasinya tak banyak walaupun bahagian ayamnya besar.
BERSIH DAN MENGALU-ALUKAN
Keadaan kedai bersih dan rekaan dalamannya pun nampak welcoming. Penulis suka dengan meja dan kerusinya yang menggunakan kayu. Dinding berhampiran dengan kaunter bayaran pun dihias menggunakan papan kayu.
Menu | Harga |
---|---|
Nasi Lemak Ayam Berempah | RM16.40 |
Maggi Goreng | RM11.90 |
Roti Canai | RM3.10 |
Teh Tarik | Panas: RM4.20 Sejuk: RM4.50 |
Selain daripada nasi lemak dan maggi ada lagi makanan lain contohnya nasi goreng, nasi kerabu, mi rebus, mi kari, roti canai, telur setengah masak dan roti bakar. Makanan barat macam chicken chop dan fish and chip pun ada. Boleh ke laman sesawang Teh Tarik Place untuk dapatkan menu.
Jadi kalau korang berada berdekatan dengan restoran Teh Tarik Place di Malaysia ataupun Brunei bolehlah pergi cuba. Kalau nak jimat, walaupun taklah jimat macam di kedai mamak ataupun warung; boleh pesan roti canai dengan teh tarik — tak sampai RM10 pun.
Post a Comment