Restoran Stimbot dan Gril Santai by The Garden Sungai Petani, Kedah: Pelbagai Jenis Perapan dan Pilihan Makanan Laut

Bahan-bahan stimbot dan gril: daging ayam dan kambing, sosej dan kek ikan berkeju
Kenapa perlu makan di restoran stimbot dan gril kalau boleh makan stik yang lebih berkualiti dan kambing bakar di restoran masakan barat pada harga yang lebih murah tetapi masih mengenyangkan tanpa perlu mengambil kalori berlebihan?

Bagi penulis, tarikan yang ada pada restoran stimbot dan gril adalah masa yang berkualiti bersama kawan dan keluarga, dan pilihan makanan yang banyak. Jadi, memang akan kecewa kalau ke restoran stimbot dan gril tapi pilihannya sedikit dan kuantiti bahannya dicatu.

Daging ayam dan kambing yang sedang dimasak di atas dapur gril
Penulis pernah review sebuah restoran di Sungai Petani yang terletak di tepi bendang. Pilihan makanan, sos dan airnya banyak, cuma pada waktu tu hanya ada satu pilihan kambing — kambing golek. Jadi kali ni penulis cuba ke tempat lain pula di Sungai Petani.

SANTAI BY THE GARDEN, SUNGAI PETANI

Santai by The Garde, Sungai Petani
Tempat yang satu lagi ni berhampiran je dengan susur keluar Sungai Petani selatan dari Lebuhraya PLUS. Cumanya, kalau datang dari arah Sungai Petani atau lebuhraya kena buat pusingan U jauh sikit sebelum boleh masuk ke lorong parkir restoran.


Alamat: Jalan Kampung Baru, Padang Temusu, 08000 Sungai Petani, Kedah.
Waktu: Isnin - Ahad (5:30pm - 12:00am).

Bersebelahan je dengan simpang empat jalan raya, tak menggambarkan nama restorannya Santai by The Garden. Bukan restoran baru, cuma penulis je yang baru nak cuba. Dulunya — mungkin 6 ke 7 tahun lepas — sebuah restoran menjual mee udang, tak pasti pemilik yang sama atau bukan.

Umur Harga
Dewasa RM39.90
Kanak-kanak 6 - 12 tahun RM18.90
Kanak-kanak 5 tahun ke bawah Percuma
Sewa jag RM5

Harga lebih kurang sama dengan restoran stimbot dan gril yang lain, RM39.90 untuk dewasa, RM18.90 untuk kanak-kanak berumur 6 tahun ke atas, dan percuma untuk kanak-kanak bawah 6 tahun. Cuma di sini perlu bayar RM5 untuk gunakan jag air.

PILIHAN MAKANAN YANG BANYAK

Ayam perap
Masuk je ke restoran akan nampak kaunter makanan yang luas, ada banyak jenis air, sos, perapan dan makanan laut. Ada dalam 2 ke 3 jenis perapan daging ayam, lembu dan kambing — lebih banyak berbanding kebanyakan restoran stimbot gril yang penulis pernah pergi.

Selalunya, penulis akan makan banyak kambing di restoran stimbot gril sebab perapan ayam kebiasaannya cuma 'asal boleh'. Tapi, di Santai by The Garden perapan ayamnya pun sedap juga — dua yang penulis ulang makan ialah perapan sate dan bijan.

Daging kambing dan lembu perap

Daging kambingnya manis, lembut dan tak banyak tulang halus, bertambah sedap dimakan bersama sos namjin hijau yang sedikit masam dan pedas. Sos danok pun sedap juga, sesuai untuk daging kambing dan ayam.

Antara pilihan makanan laut yang ada ialah lokan, retak seribu, pepahat, ketam, udang lipan dan udang galah. Makanan laut nampak bersih, tersusun di atas ketulan ais yang menjadikannya kekal sejuk dan segar.

Bahan-bahan stimbot seperti sosej dan bebola
Antara stimbot dan gril, penulis lebih sukakan gril — stimbot bukan keutamaan sebab lebih mudah disediakan di rumah. Tapi kalau korang suka makan oden atau hotpot, di sini ada banyak bahan stimbot.

Yang penulis cuba antaranya tauhu ikan berkeju, bebola ikan lobster, nuget ketam, sosej dan chikuwa — semuanya digril. Ada juga bahan stimbot yang penulis suka tapi tak kelihatan seperti bebola ikan berkeju atau bertelur dan filamen ketam.

KAMBING ATAU SEAFOOD? ATAU KEDUA-DUANYA?

Udang, ketam dan lokan yang diletakkan pada piring
Lebih berbaloi rasanya kalau datang ke sini untuk makan makanan laut berbanding ayam dan kambing, cuma penulis bukan penggemar makanan laut jadi penulis lebihkan kambing dan kurangkan minum air.

Air pun sedap juga, antara dua yang penulis suka ialah air asam masin dan jagung. Cuma penulis akan minum air selepas dah makan sebanyak mana yang larat, kalau minum daripada awal akan cepat kenyang.

Makaroni, bihun goreng, spaghetti aglio olio dan nasi goreng
Restoran stimbot dan gril yang bijak memang akan sediakan banyak pilihan minuman yang sedap, lagi banyak pelanggan minum lagi kurang pelanggan akan makan. Piihan karbohidratnya pun banyak — makaroni, spaghetti aglio olio, bihun goreng dan nasi goreng.

Banyak lagilah menu lain, cuma kalau datang ke restoran stimbot dan gril penulis akan beri lebih perhatian pada protein, beberapa jenis bebola dan kek ikan, dan jagung dan cendawan enoki yang direbus dalam tomyam.

Bahan masakan
Bagi penulis, berbaloi dengan harga yang penulis bayar — mungkin penulis bernasib baik sebab semua makanan yang dihidang pada waktu penulis ke sini adalah segar. Cuma perlu kreatif dengan kuah tomyam yang kita dapat, ada bahan yang kita perlu tambah sendiri untuk jadikannya lebih sedap.

Daripada apa yang penulis baca daripada ulasan di Google Maps, ada yang dapat makanan laut yang kurang segar, ada juga yang kata tempat lain ada pilihan makanan yang lebih banyak pada harga yang lebih murah.

Udang galah bersaiz sederhana
Tapi, secara keseluruhannya restoran Santai by The Garden mendapat penilaian sebanyak 4.3 bintang secara purata di Google Maps daripada seramai 2096 pelanggan. Masih ramai yang berpuas hati.

Berbanding restoran Bendang Steamboat & Grill, restoran Santai by The Garden lebih kecil. Jadi eloklah lakukan tempahan sebelum datang ke sini, lebih-lebih lagi pada waktu malam hujung minggu.

Post a Comment

To Top