Stimbot dan Gril Tepi Sawah di Bendang Steamboat & Grill, Sungai Petani, Kedah

Stimbot dan Gril
Tak puas rasanya ke restoran bufet stimbot dan gril kalau pilihan makanan atau lauk yang ada di kaunter makanan tak banyak. Kalau boleh, nak ada sekurang-kurangnya 3 jenis perapan ayam dan daging.

Makanan laut pula, mesti perlu ada sekurang-kurangnya udang, ketam, dan sotong. Lagi banyak pilihan lauk lagi bagus, barulah rasa berbaloi bayar puluhan ringgit. Tolak tepi dulu soal mampu atau tak nak makan semua tu.

Bendang Steambot & Grill

Papan tanda restoran Bendang Steamboat and Grill
Dah banyak restoran stimbot dan gril penulis pergi, tapi cuma beberapa je yang memenenuhi citarasa penulis. Antaranya ialah restoran Bendang Steambot & Grill di Tikam Batu, Sungai Petani, Kedah.

Cuma 1.2 kilometer dari Jambatan Merdeka, 2 kilometer dari pekan Tikam Batu, 7.2 kilometer dari pekan Kepala Batas, dan 13.5 kilometer dari pekan Sungai Petani, restoran ni terletak bersebelahan bendang berhampiran dengan Sungai Muda.


Alamat: Kampung Padang, Tikam Batu, 08000 Sungai Petani, Kedah.
Waktu: Setiap Hari (17:30PM - 12AM)

Bukan sahaja pemandangannya cantik, restorannya juga luas, surau disediakan, dan pilihan lauk di sini banyak. Cuma parkir di sini tak seluas restorannya, mungkin kena letakkan kereta di tepi jalan.

Dapur stimbot dan gril
Dalam satu masa, restoran Bendang Steamboat & Grill boleh memuatkan sehingga 600 orang pelanggan.

Harga Bufet di Bendang Steamboat & Grill

Papan tanda harga bufet Bendang Steamboat and Grill
Harga untuk dewasa dan kanak-kanak di Bendang Steamboat & Grill adalah seperti di bawah:

Umur Harga (RM)
Dewasa 39.90
6 ke 12 Tahun 19.90
5 Tahun ke Bawah Percuma

Boleh juga tambah dapur gas, dapur arang, atau keju pada harga RM10:
Add-on Harga (RM)
Dapur 10.00
Arang 10.00
Keju 10.00

Pilihan Makanan Siap Dimasak

Isi kambing golek yang dah dimasak
Makanan siap dimasak disini agak pelbagai, tak terhad kepada menu-menu biasa seperti mi dan nasi goreng. Di sini juga ada gulai kari kepala ikan kerapu, dan makanan laut yang dimasak cara shellout.

Shellout Kepah dan Lala
Ada juga sup kambing, pasta aglio olio, dan kuih seperti bengkang, agar-agar, dan kek. Paling istimewa di sini ialah kambing golek, cuma dihadkan sepinggan untuk setiap pelanggan.

Lauk Perapan dan Makanan Laut

Ayam dan daging perap lada hitam
Ada empat jenis perapan daging dan ayam. Boleh pilih antara perapan blackpepper, korean, original bbq, dan pedas. Bagi penulis kesemuanya sedap, cuma beza rasa antara perapan tak terlalu ketara.

Tak jumpa pula kambing perap, berbeza dengan apa yang penulis baca di posting Facebook. Sepatutnya ada dalam 3 ke 4 jenis perapan ayam, daging, dan kambing. Mungkin kambing perap tak ada stok.

Udang mentah diletakkan di atas ais
Untuk makanan laut pula, boleh pilih antara kerang, lokan, kupang, lala, kepah, pepahat, ketam, udang, dan sotong, sama macam yang ada pada shellout.

Ikan Siakap dan Tilapia Bakar

Ikan siakap dibakar atas arang
Menarik lagi di sini, ada sediakan tempat untuk bakar ikan. Waktu penulis ke sini, ada ikan siakap dan tilapia. Kalau nak bakar di tempat makan, boleh add-on dapur arang.

Ikan tilapia dan siakap mentah sedia untuk dibakar
Saiz ikan antara kecil dan sederhana, lebih senang dibakar, dan boleh dimakan seorang dua. Mungkin juga akan ada ikan lain, seperti bawal emas; pada hari lain.

Lebih Daripada 10 Jenis Sos

Sambal kicap bersama bawang dan cili
Selain Seoul Garden, cuma di Bendang Steamboat & Grill penulis dapat tengok pelbagai jenis pilihan sos. Kalau korang dah bosan dengan sos cili, lada hitam, dan mayonis, di sini ada banyak lagi sos lain.

Antara sos istimewa yang penulis cuba ialah sos danok dan sos bendang. Sos danok sedikit pedas, dan sos bendang pula sedikit masam seakan-akan lemon, kedua-duanya sedap dimakan bersama daging perap.

Lebih 8 Pilihan Minuman

Lapan air manis berperisa buah-buahan
Di restoran bufet stimbot dan grill selalunya cuma ada beberapa pilihan air selain teh dan kopi. Tapi di Bendang Steamboat & Grill ada sekurang-kurangnya 8 pilihan air manis berperisa buah-buahan.

Tak bosan bertukar-tukar minuman antara epal, oren, lemon, blackcurrant, laici, strawberi, mangga, dan kiwi. Ais disediakan kalau nak lebih sejuk, mesin coway pun ada kalau nak kurangkan manis.

Ada juga bahan-bahan dan mesin untuk buat ABC secara layan diri.

Filet Ketam dan Tauhu Ikan Berkeju

Filet ketam, tauhu ikan berkeju, dan bebola ketam
Terus terang, pilihan makanan sejuk beku di sini tak sebanyak pilihan makanan lain yang ada di sini. Pada hari penulis ke sini, cuma ada beberapa pilihan antaranya filet ketam dan tauhu ikan berkeju.

Tak ada sosej atau koktel, bebola telur ikan pun tak ada. Mungkin menu berubah mengikut hari dan stok.

Pilihan yang Banyak pada Harga Berpatutan

Ketam dan kupang di atas piring
Dengan pilihan yang ada, harga RM39.90 untuk dewasa adalah berpatutan. Sangat menguntungkan kalau korang suka makan makananan laut. Harga sekilo ketam bunga pun dah mencecah antara RM30 ke RM50.

Disebabkan ruang makannya yang luas, sangat sesuai dijadikan tempat berkumpul. Suraunya juga luas, boleh menempatkan sehingga 15 orang. Tak ada masalah kalau nak duduk dari 6 petang sehingga tengah malam.

Kupang dimasukkan ke stimbot
Berbanding kambing golek, daging perapan di sini lebih lembut. Tak seperti daging di kebanyakan restoran bufet lain yang lebih liat walaupun tak dimasak sehingga well done atau kering.

Peliknya di sini tak ada mentega atau marjerin, jadi makanan seperti filet ketam, bebola ikan, dan tauhu ikan akan melekat pada kerajang aluminium apabila digril pada suhu yang tinggi.

Lokan di kaunter makanan laut
Walaupun ada kekurangannya, penulis memang berpuas hati dengan pilihan sos, perapan dan makanan laut yang ada. Cuma sedikit kecewa sebab kambing perap tak ada pada hari penulis ke sana, cuma ada kambing golek.

azizinet00 | Hari3aku

Post a Comment

To Top