Man on The Run: Ringkasan Laporan DOJ Amerika Syarikat Berkaitan Skandal 1MDB dalam Bentuk Dokumentari Netflix
Dokumentari Netflix Man on The Run mengisahkan tentang skandal 1MDB yang pernah menjadi punca kejatuhan pemerintahan 61 tahun UMNO. Tak asing lagi dengan rakyat Malaysia, ia juga digelar sebagai "largest kleptocracy case to date" pada tahun 2016 oleh Jabatan Keadilan (DOJ) Amerika Syarikat.
Kleptokrasi merujuk kepada sebuah kerajaan yang mana pemimpinnya menyalahgunakan kuasa politiknya untuk mengambil atau "mencuri" harta atau kekayaan negara untuk kegunaannya atau kepentingannya dengan cara seperti melakukan penyelewengan.
Walaupun dokumentari menekankan peranan Jho Low sebagai dalang utama disebalik skandal 1MDB, sebahagian besar daripada dokumentari juga adalah berkenaan mantan perdana menteri Malaysia Najib Razak yang disyaki sebagai individu disebalik nama "MALAYSIAN OFFICIAL 1" pada laporan 136 muka surat yang diterbitkan DOJ pada tahun 2016.
Sumber IMDb
Menariknya, Najib Razak juga salah seorang daripada 18 orang kenamaan yang ditemuramah dalam dokumentari Man on The Run — antara lainnya Tony Pua, Syed Saddiq, Tommy Thomas dan Anwar Ibrahim.
Dokumentari arahan Cassius Michael Kim ni memang menarik untuk ditonton tapi tak boleh dijadikan satu-satunya rujukan berkaitan kes 1MDB. Kebanyakan perkara yang disebutkan dalam dokumentari juga bukannya perkara baru.
Cumanya, penulis kurang berminat dengan cerita-cerita yang tak disekalikan dengan rujukan atau pembuktian. Contohnya sangkaan-sangkaan atau perkaitan-perkaitan yang cuba diwujudkan atas sebab-sebab yang masih — disebabkan tanpa bukti — dikira satu kebetulan.
Sumber IMDb
Apa kaitan money trail atau jejak wang yang dibuktikan pihak DOJ Amerika Syarikat dengan kes Altantuya atau Kevin Morais? Di Malaysia, kedua-dua kes dah terbukti tak ada kaitan dengan kes 1MDB.
Walaupun dokumentari secara ringkas — sangat ringkas — menerangkan macam mana sebahagian daripada wang 1MDB yang dikumpulkan melalui jualan bon — bernilai 6.5 juta USD — dengan bantuan Goldman Sachs boleh berada dalam akaun peribadi Najib Razak, fakta sebenarnya jauh lebih rumit.
Penulis bukanlah pakar jejak wang, penulis juga tak pasti apa kaedah yang digunakan DOJ dalam mengenal pasti sama ada wang yang dipindahkan tu daripada sumber yang halal/kosher ataupun tak.
Dan sebenarnya, selepas daripada menonton Man on The Run penulis rasa macam timbul lebih banyak persoalan berbanding jawapan. Antaranya, kenapa Xavier Justo pilih untuk lari ke Thailand dan bukannya negara lain, dan di manakah rantai leher berlian 22-carat berwarna merah jambu yang didakwa diberikan kepada Rosmah disimpan?
Sumber IMDb
Antara persoalan lainnya, sejauh atau sebesar mana sebenarnya peranan dan penglibatan Najib Razak dalam skandal 1MDB? Ke mana duit 1MDB yang dikaitkan kepada Najib Razak dibelanjakan dan apa kepentingan perbelanjaan tersebut kepada beliau?
Tapi kalau korang memang betul-betul nak tahu tentang kes yang melibatkan Petrosaudi, 1MDB dan SRC International ni, penulis nasihatkan korang baca laporan yang diterbitkan DOJ, beberapa buku dan juga artikel berkaitan.
Contohnya laporan yang mengaitkan Red Granite Pictures, The Goldman Sachs Group, Jho Low dan Roger Ng, dan Viceroy Hotel Group dengan wang yang dipindahkan daripada 1MDB. Selain daripada tu, baca juga buku Billion Dollar Whale oleh Tom Wright dan Bradley Hope, dan Rendezvous with Injustice oleh Xavier Justo.
Kalau cuma nak tahu bahagian-bahagian tertentu, buatlah carian pada fail laporan menggunakan perkataan seperti "Malaysian Official" atau "Wife". Kalau rasa kesemua laporan DOJ tadi memeningkan, boleh cuba baca artikel dengan tajuk 'Stolen' 1MDB Funds: THE DOJ LAWSUIT REVISITED daripada Malaysiakini yang cuba menerangkan kesemua jejak wang daripada laporan-laporan tadi dengan lebih ringkas.
Kalau ada duit lebih sikit, boleh dapatkan buku terbitan CLJ Publication — SRC Trial: Charges, Evidence & Verdict. Tak tahulah kenapa susah sangat nak dapatkan alasan penghakiman setebal 801 muka surat berkenaan kes penyelewengan dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd, walaupun daripada laman ejudgement milik Mahkamah Persekutuan.
Sumber Netflix
Bagi penulis, Man on The Run lebih kepada ringkasan yang sangat-sangat ringkas berkenaan hasil siasatan DOJ berkaitan skandal 1MDB. Kebanyakan perkara yang disebutkan dalam dokumentari diceritakan dengan lebih tepat lagi pada laporan-laporan yang penulis kongsikan tadi.
Cuma, hanya dengan money trail penulis tak dapatlah nak lakukan apa-apa kesimpulan selain daripada adanya duit yang masuk dan keluar. Penulis lebih tertarik dengan kaedah yang digunakan dalam menganalisa jejak wang.
Penulis juga agak tertarik untuk tahu apakah kemungkinan — sama ada besar atau kecil — berlakunya helah, penipuan atau pemalsuan pada tandatangan yang diturunkan, wang yang dipindahkan, dan arahan yang dikeluarkan?
Bil. | Nama | Pertalian |
---|---|---|
01 | Bill McMurry | Retired Supervisory Special Agent, FBI: International Corruption Squad |
02 | Sharon Carpenter | Entertainment Journalist |
03 | Jennifer Peros | Former Editor-in-Chief, US Weekly |
04 | Bradley Hope | Co-Author, Billion Dollar Whale. Former Wall Street Journal Reporter |
05 | Tony Pua | Former member of parliament, DAP |
06 | Woo Lee | DOJ: Money Laundering & Asset Recovery Section |
07 | Ho Kay Tat | Publisher, The Edge |
08 | John Mallot | Former U.S. Ambassador to Malaysia |
09 | Kyle Freeny | Trial Attorney, DOJ: Money Laundering & Asset Recovery Section |
10 | AK Khoo | Museum Curator |
11 | Khor Hai Pu | Businessman |
12 | Tommy Thomas | Former Attorney General of Malaysia |
13 | Ryan Grim | Investigative Journalist, The Intercept |
14 | Clare Rewcastle Brown | Investigative Journalist, The Sarawak Report |
15 | Xavier Justo | Whistleblower, Former Director of Petrosaudi, London |
16 | George Jabbour | Former Senior Analyst, Goldman Sachs International |
17 | Patricia Hurtado | Federal Courts Reporter, Bloomberg News |
18 | John Fullerton | Founder, The Capital Institute. Former Managing Director, JP Morgan |
19 | Charles O'Neal | Former FBI Legal Attache to Malaysia |
20 | Chye Ah Boy | Street Vendor |
21 | Anwar Ibrahim | Former Leader of the Opposition, Malaysia |
22 | Najib Razak | Former Prime Minister, Malaysia |
23 | Syed Saddiq | Member of Parliament, Malaysian United Democratic Alliance |
24 | Subramaniam Ali Nagappen | Fisherman |
25 | Zarina Binti Mat Zain | Landscaper |
26 | Sahubar Ali | Restaurateur |
Andai kata Malaysia keluarkan dokumentarinya sendiri, siapa yang akan ditemuramah? Cerita apa yang akan diberikan penekanan? Bukti apa pula yang akan digunakan? Adakah rujukannya masih sekadar menggunakan laporan DOJ?
Tak dinafikan, skandal 1MDB merupakan antara kes pengubahan wang haram terbesar melibatkan ramai orang kenamaan dan selebriti, tapi masih banyak yang perlu dibuktikan untuk meletakkan label kleptokrasi pada pemerintahan Najib Razak.
Post a Comment