Soy Sesame Beef Dosirak dan Kimchi Fried Rice with Cheese di Restoran Makanan Korea Daseo
Sebelum ni, ada lah beberapa restoran makanan Korea yang penulis pernah pergi. Antara yang terawal penulis cuba — waktu baru mula nak berjinak-jinak dengan makanan Korea dulu — ialah Dubuyo dan Myeongdong Topokki.
Sejak daripada tu, ada banyak lagi restoran-restoran makanan Korea lain mula bertandang ke Malaysia. Antaranya Kyochon 1991, Seoul Garden Hotpot, K-Fry, Mr.Dakgalbi, Sopoong dan Daseo.
RESTORAN MAKANAN KOREA DASEO
Baru-baru ni, penulis rasa tertarik nak cuba makanan Korea di Daseo selepas nampak sebuah logo halal terpampang di cermin bahagian luar restoran di sebuah pusat membeli belah di Pulau Pinang.
Pada waktu penulis ke sini, Daseo mempunyai sijil halal bertarikh luput antara 15 April atau 31 Oktober 2025 untuk ketiga-tiga cawangannya di Queensbay Mall, Sunway Carnival Mall dan 1st Avenue — kesemuanya di Pulau Pinang.
Tak tahulah apa yang special di sini sebab baru pertama kali datang ke Daseo. Bila tengok pada menu tak ada bibimbap, yang ada cuma dosirak — walaupun dua makanan ni berbeza, bagi penulis dosirak cumalah bibimbap yang diletakkan dalam bekas makanan.
Selain daripada dosirak, ada juga makanan lain seperti bbudae jjigae, dakganjeong, bokkeumbap, ramyeon, tteokbokki, rabokki, pasta dan buchimgae — ada diantaranya dimakan bersama keju dengan portion sebesar dua ke tiga orang.
Walaupun kali pertama ke Daseo, ini bukan kali pertama penulis cuba dosirak. Sebelum ni dah pernah cuba di CU Mart. Cumanya, di CU Mart bahannya diasingkan daripada nasi, di Daseo bahannya diletakkan di atas nasi.
SOY SESAME BEEF DOSIRAK
Dosirak yang penulis pesan ialah Soy Sesame Beef Dosirak. Bahan yang digunakan selain daging ialah kimchi, rumpai laut, cendawan dan telur dadar — diletakkan secara tersusun di atas nasi.
Dari segi bahan, sedikit berbeza berbanding bibimbap yang lebih banyak menggunakan sayur seperti lobak, taugeh, bayam dan timun. Telur yang digunakan pun bukannya telur mata.
Macam mana cara makan Dosirak? Sama seperti bibimbap, nasi dan bahannya perlu dicampurkan sehingga sebati. Boleh kacau dengan sudu sama seperti bibimbap, ataupun tutup bekas makanan dan goncang sepuas-puasnya.
Selepas dicampur, rasa dosirak daging kicap dan bijan ni bercampur antara masam daripada kimchi, manis daripada daging, dan sedikit umami daripada rumpai laut. Rasa bijannya pula tak berapa kuat.
Penulis segan nak goncang bekas makanan depan orang ramai, lagipun bekas makanannya tak cukup besar jadi bahan di dalamnya susah nak bercampur walaupun digoncang. Jadi penulis kacau je dengan sudu.
Selepas bercampur, nampak macam nasi goreng pun ada. Kalau nak makan macam bento atau donburi, tak perlu campur kesemua bahan dengan nasi — ataupun, pesan je Supreme Dosirak.
KIMCHI FRIED RICE WITH CHEESE
Ada dua jenis nasi goreng kimchi, tanpa keju ataupun dengan keju. Keju yang digunakan kemungkinan besar ialah mozarella daripada sifatnya yang mudah regang atau elastik dan rasanya yang seakan-akan keju yang digunakan pada pizza.
Nasi goreng kimchi dihidang dalam keadaan panas dan lapisan kejunya yang tebal masih cair dan mudah diregang. Di bahagian atas kejunya — yang melimpah dari atas ke bawah nasi — pula dihiasi cebisan rumpai laut dan bijan.
Menu | Harga |
---|---|
Soy Sesame Beef Dosirak | RM20.90 |
Kimchi Fried Rice with Cheese | RM16.90 |
Korean Organic Green Tea (Pot) | RM6.90 |
Cumanya, ada beberapa kimchi atau potongan kobis yang bersaiz agak tebal atau besar pada nasi goreng. Penulis lebih suka kalau kimchinya dipotong lebih halus supaya rasa kimchinya lebih sekata pada nasi.
MAKANAN DISEDIAKAN PANAS TAPI MENUNGGU SEDIKIT LAMA
Pesanan dibuat dalam pukul 5:55pm, makanan sampai dalam pukul 6:38pm. Walaupun bukan restoran makanan segera, kalau ditengok menu yang penulis pesan tak sepatutnya menunggu lebih daripada 30 minit.
Penulis anggap nasi dah habis dan perlu dimasak semula, walaupun nasi sepatutnya boleh mula dimasak semula sebelum habis. Nasib baik penulis pesan satu teko air teh hijau organik, bolehlah minum berulang kali sambil menunggu.
Secara keseluruhannya, kedua-dua makanan yang penulis cuba sedap walaupun penulis berpendapat rasa manis dosiraknya boleh dikurangkan sikit. Sejujurnya lebih berminat nak cuba stew atau jjigae, tapi risau tak dapat nak habiskan.
Selepas dah cuba keju pada nasi goreng kimchi, rasa macam nak cuba juga ayam goreng kalau datang lagi ke sini. Ayam goreng atau dakgalbi di Daseo dimakan bersama keju sama macam di K-Fry dan Mr.Dakgalbi.
Post a Comment